Saturday, October 17, 2009

WAJAH LEBIH KOSMETIK



MODEL kenderaan pelbagai guna (MPV) kini menjadi pilihan orang ramai yang menggunakannya sebagai kenderaan ke tempat kerja, beriadah atau pulang kampung

MODEL kenderaan pelbagai guna (MPV) kini menjadi pilihan orang ramai yang menggunakannya sebagai kenderaan ke tempat kerja, beriadah atau pulang kampung.

MPV menawarkan ruang lebih luas dan selesa kepada mereka yang mempunyai ahli keluarga ramai, tetapi kurang berbaloi sebagai kenderaan ulang alik ke tempat kerja

Saiznya yang panjang, berat dan penggunaan bahan api agak tinggi menjadikan orang ramai lebih berhati-hati membeli kenderaan pelbagai guna ini.

Jika mahu sebagai kenderaan ke tempat kerja, MPV saiz sederhana lebih sesuai dan pengenalan model Stream RSZ antara pilihan terbaik.

Stream RSZ tidak banyak beza berbanding model terdahulu, tetapi tambahan kosmetik menjadikannya jentera menarik serta berlainan daripada pesaingnya.

Kekemasan Honda menghasilkan jentera berkualiti menjadikan jenama itu diyakini berdekad lamanya.

Ciri luaran Stream RSZ dipadankan dengan set aerokit lengkap selain rim bersaiz 17 inci menjadikannya lebih sporty.

Lampu hadapan HID dalam perumah hitam dan gril hadapan krom berwajah baru menaikkan lagi rupa kosmetik jentera tujuh tempat duduk ini.

Lampu belakang masih memanjang ke bumbung, tetapi ketiadaan spoiler menghiasi bumbung dilihat mencacatkan sedikit model ini.

Menerjah ruang dalamannya, latar hitam memperlihatkan ia direka untuk gaya sebuah MPV sporty.

Papan pemuka kemas dan disatukan dengan tombol gear menjadikan ruang antara pemandu dan penumpang hadapan lebih lapang. Malah, ia turut didatangkan dengan paddle-shifter di belakang sterengnya.

Susunan butang kawalan audio dan penyaman udara memudahkan pemandu mencapai butang dikehendaki.

Bagaimanapun, butang kawalan radio yang kecil dan tidak mesra pengguna memberi satu masalah kepada pemandu dan mengganggu tumpuan ketika memandu.

Kerusi barisan hadapan dilengkapi dengan 'armrest' bagi memberi kelegaan jika memandu jauh.

Latar kerusi fabrik gelap adalah pilihan terbaik kerana jika perjalanan jauh, kehadiran kanak-kanak mungkin menyebabkan fabrik cepat kotor jika warna cerah.

Bumbung suria menjadikan segenap ruang digunakan secara optimum. Jika ruang barangan tidak cukup, lipat sahaja kerusi barisan kedua atau ketiga.

Stream RSZ dijana enjin 1.8 SOHC i-VTEC dengan transmisi lima kelajuan automatik menawarkan kuasa yang mencukupi bagi saiznya.

Dengan tork 174Nm pada 4,300rpm, kuasa ketika memecut atau mendaki tidak mengecewakan, tambahan pula sistem pintar i-VTEC mengawal output kuasa lebih seimbang manakala penggunaan bahan api dijimatkan.

Walaupun model ini lebih panjang daripada sedan, kedudukan badannya yang rendah dengan tayar lebar membantu mengekalkan kestabilan.

Bantuan sistem suspensi topang MacPherson di hadapan dan Reactive Link Double Wishbone pada bahagian belakang membolehkan Stream RSZ meratah selekoh dengan lebih yakin.

Kesimpulannya, Stream RSZ menawarkan banyak kelebihan berbaloi untuk dimiliki dan tidak hairanlah model ini menjadi MPV kelas sederhana termahal tetapi berpatutan dengan pakej terbaik dibawanya.

>SPESIFIKASI

Honda Stream RSZ

Enjin: 1.8L Empat Silinder SOHC i-VTEC

Kuasa maksimum: 140PS pada 6,300rpm

Tork maksimum: 174Nm pada 4,300rpm

Transmisi: Automatik lima kelajuan

Ciri-ciri keselamatan: Immobilizer, ABS, EBD, Sensor Ultrasonic

Harga: RM155,980 dengan insurans

Tayar dicadangkan: ContiPremiumContact 2 205/55 R17

dipetik daripada harian metro
Oleh Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my

No comments: