Tuesday, October 20, 2009

GADUH: 2 MAUT, 1 PARAH

Oleh ASSIM HASSAN
assim.hassan@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 19 Okt. - Sekumpulan lelaki sedang minum di bawah sebatang pokok, selepas menghadiri sambutan Deepavali di sebuah rumah di Flat Desa Puteri, Sri Petaling, awal pagi ini.

Perbualan mereka itu terganggu apabila sekumpulan lelaki bermotosikal tiba-tiba lalu di kawasan itu sambil mengeluarkan bunyi ekzos kenderaan yang agak bising.

Terganggu dengan tindakan kumpulan itu, lelaki yang sedang minum kemudian menegur kumpulan tersebut. Lalu timbullah pertikaman lidah yang akhirnya membawa kepada insiden ngeri dan meragut dua nyawa.

Dalam kejadian itu, kumpulan lelaki yang sedang minum di bawah pokok tersebut diserang oleh remaja bermotosikal menyebabkan dua daripada mereka maut manakala seorang lagi parah.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, mangsa, B. Gunalan, 23, ditemui mati di sebuah bilik milik saudaranya di flat terbabit manakala mayat rakannya S. Chaudry, 32, ditemui di persimpangan jalan kira-kira 600 meter dari tempat kejadian.

Seorang lagi rakan mereka yang masih belum dikenal pasti berusia 33 tahun, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ahmad Amir Mohd. Hashim berkata, ketika kejadian, kedua-dua mangsa bersama tiga lagi rakannya sedang minum di bawah pokok berhadapan flat terbabit.

Menurutnya, tiba-tiba, tiga lelaki bermotosikal berhenti berhampiran flat itu sambil membunyikan ekzos motosikal masing-masing sehingga mengganggu mangsa bersama rakan-rakannya.

Katanya, keadaan menjadi kecoh apabila berlaku perang mulut antara mereka. Suspek yang dilihat telah beredar kemudian datang semula bersama dua orang lagi rakannya.

''Mangsa kemudian diserang dan ditetak dengan menggunakan parang namun berusaha melarikan diri ke rumah saudaranya di flat berkenaan sebelum menemui maut.

''Seorang lagi mangsa, Chaudry pula cuba melarikan diri dan ditemui mati kira-kira 600 meter dari tempat kejadian,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Ahmad Amir, terdapat kesan-kesan pergaduhan termasuk serpihan botol-botol pecah dan tompokan darah di tempat kejadian.

Berikutan itu, beliau memberitahu, polis menahan seorang lelaki berusia lingkungan 20-an yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan itu.

Katanya, penahanan suspek berikutan penemuan sebuah motosikal yang ditinggalkan di tempat kejadian dan hasil pemeriksaan polis, motosikal itu dimiliki oleh suspek.

Bagaimanapun, beliau menambah, pihaknya tidak menemui sebarang senjata yang digunakan untuk menyerang ketiga-tiga mangsa.

''Kita sedang memburu empat lagi rakan suspek yang melarikan diri bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,'' katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Sementara itu, adik Chaudry, Visa Letchumy, 31, berkata, ekoran kejadian itu, abangnya tidak berkesempatan melihat anak ketiganya yang dijangka lahir hujung minggu ini.

Dia yang terkejut apabila mendapat berita tersebut kira-kira pukul 3 pagi daripada adik lelakinya, tidak menyangka Chaudry maut selepas menghadiri majlis rumah terbuka Deepavali di rumah rakannya.

''Kami diberitahu oleh rakan Chaudry, dia ditetak ketika cuba meleraikan pergaduhan tersebut,'' katanya ketika ditemui di bilik mayat PPUKM hari ini.

sumber daripada utusan malaysia

No comments: