Sunday, October 4, 2009

KUSYEN LANTAI


MUSIM rumah terbuka ketika ini, khususnya pada hujung minggu, sebenarnya turut mengundang satu masalah baru bagi tuan rumah iaitu bilangan kerusi terhad apabila kediaman dihadiri ramai tetamu pada satu masa serentak.


Namun jangan bimbang, kerana selain kerusi meja makan dan sofa, lantai juga tidak terkecuali boleh menjadi 'penyelamat' ketika waktu terdesak seperti ini.


Sudah semestinya, lantai yang dimaksudkan adalah di ruang tamu dan sudut bersesuaian, tetapi perlu diingat, janganlah lantai itu dibiarkan kosong. Sebaliknya, gunakan kreativiti anda dengan meletakkan alas lantai itu seperti permaidani atau paling mudah, kusyen lantai yang sememangnya mudah diperoleh di gedung beli-belah pada harga yang berpatutan


Sama ada sebagai tempat duduk tambahan, bantal dan ketika melayan tetamu atau menonton televisyen, kusyen lantai sememangnya memainkan peranan penting, cuma peranannya kurang dititikberatkan.


Silap jika ada yang beranggapan ia sekadar tempat duduk tambahan, kerana jika kena warna dan coraknya, kusyen lantai mampu menyerikan ruang yang suram, khususnya di kawasan kecil.


Apa yang menarik, kusyen bersaiz besar yang lazimnya dalam bentuk empat segi dalam aneka corak dan warna ini dijual siap sama ada lengkap bersarung atau pun kosong dengan pilihan sarung bukan saja menawarkan motif menawan tetapi juga sesuai tema kediaman.


Namun, di saat-saat 'kecemasan' meraikan tetamu, adalah digalakkan memilih kusyen lantai yang lengkap bersarung.


Berikut lima perkara penting perlu diutamakan sebelum membeli kusyen lantai:

# Fikirkan tujuan pembelian kusyen lantai itu, sama ada sebagai aksesori hiasan atau alas duduk. Jika alas duduk dan bantal, pilihlah yang lebih tebal dan besar.

# Pastikan pilihan warna dan corak bersesuaian dengan ruang, warna cat dan jenis lantai kediaman.

# Tentukan jenis kain sarung kusyen itu berkualiti, tahan lasak, mudah dicuci dan anti lapuk.

# Pilih kusyen memberikan ciri lembut dan empuk. Bagi memastikan kusyen yang dipilih selesa digunakan, anda digalakkan mencuba dulu sebelum membeli.

# Pastikan ukuran kusyen lantai cukup besar untuk menampung saiz tubuh. Ia penting dalam memastikan anda sentiasa selesa duduk di atasnya meskipun untuk tempoh berjam-jam lamanya.


Petua dan panduan ini sekiranya dipatuhi berupaya mengelakkan rasa ralat dan sesal akibat kesilapan memilih dan membeli kusyen dihajati
Petikan daripada berita harian

No comments: