Saturday, October 17, 2009

BRUCE WILLIS MASIH LAKU



DI kala usianya sudah menjangkau setengah abad, Bruce Willis masih lagi menjadi rebutan pengarah dan penerbit di Hollywood.

Ternyata, Willis membuktikan bahawa usia bukan satu halangan baginya untuk menerajui sesebuah filem kerana bakat sebenarnya aset penting untuk terus diterima berlakon di Hollywood.

Aura dan karisma Willis sebagai pelakon filem-filem aksi juga membuktikan bahawa pada usianya itu, dia masih lagi mampu beraksi dan bergerak cergas serta pantas.

Buktinya, filem Surrogates lakonan Willis yang kini sedang hangat ditayangkan sudah pun menghampiri kutipan sebanyak RM110 juta dalam tempoh empat minggu tayangan.

Malah, filem tersebut masih lagi berjaya menempatkan diri dalam senarai 10 filem yang mencatatkan kutipan terbaik di Amerika Syarikat.

Maka dengan itu, tidak mustahil bagi Willis untuk bergelar pelakon Gred A apabila menerima bayaran sebanyak RM69 juta untuk sebuah filem.

Karier seni Willis juga terus berkembang mekar biarpun ramai pelakon muda yang menjadi pujaan ramai serta buah hati masa kini.

Buktinya, jadual Willis padat sehingga tahun 2011 dengan lapan buah filem sedang menantinya.
Setakat ini, dua buah filem sudah pun diselesaikannya dan hanya menunggu masa untuk ditayangkan iaitu filem A Couple of Dicks dan The Expandables.

Enam buah filem yang akan menyusul pula adalah Red, Pinkville, The Last Full Measure, Kane & Lynch, Morgan's Summit dan Against All Enemies yang kesemuanya untuk tayangan tahun 2010 dan 2011.

sumber daripada utusan malaysia

No comments: