Friday, October 16, 2009

RIZAL TERLEPAS TIGA PIALA DUNIA


RIZAL Tisin menerima layanan daripada rakannya yang juga atlet lawan pedang, Evy James (kanan) sebaik sahaja selesai pembedahan buku lali yang mengambil masa empat jam di Hospital Pakar Damansara, semalam. Ekoran kecederaan itu, Rizal bakal terlepas tiga aksi Piala Dunia Klasik. - Utusan/Zulkarnain Mohd. Saidin


KUALA LUMPUR – Sudah jatuh ditimpa tangga. Begitulah nasib yang menimpa Rizal Tisin yang terpaksa melupakan tiga penyertaannya pada Piala Dunia Klasik.


Gara-gara patah tulang buku lali kiri selepas terbabit kemalangan kelmarin, impiannya untuk melayakkan diri ke Kejohanan Dunia itu Mac tahun depan kini bergantung kepada nasib dan masa semata-mata.



Piala Dunia Klasik adalah kejohanan yang dipertandingkan sebanyak empat pusingan dan dijadikan medan untuk mengutip mata bagi melayakkan diri ke Kejohanan Dunia.



Dengan keadaan buku lalinya yang mengambil masa untuk sembuh, Rizal mengakui bakal terlepas tiga pusingan awal iaitu di Manchester, England, Melbourne, Australia dan Cali, Colombia.



“Kini harapan saya adalah pusingan yang keempat dan terakhir iaitu di Beijing, China jika berhasrat untuk layak beraksi pada Kejohanan Dunia.



“Itu pun jika saya mampu mengembalikan prestasi dan kecergasan seperti sebelum ini. Harap-harap saya dapat melakukan seperti tahun ini,” katanya ketika ditemui di Hospital Pakar Damansara, semalam.



Rizal pernah layak ke Kejohanan Dunia 2009 lalu dengan hanya menyertai satu pusingan sahaja di mana dia berjaya muncul juara di Beijing.



Bagaimanapun katanya, keadaan kini berbeza kerana dia kali ini mengalami kecederaan serius di buku lali selain darah beku di siku kiri dan terpaksa menjalani pembedahan dan fisioterapi untuk pulih.



Selain rakan-rakan rapat, turut melawat Rizal semalam adalah Timbalan Presiden, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad.



Sementara itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedia memberi bantuan sepenuhnya kepada Rizal.



Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, pihaknya akan memantau dari semasa ke semasa bagi memastikan bahawa Rizal mendapat rawatan lengkap dan pulih sepenuhnya dari kecederaan.



“Apa yang paling penting adalah keselamatan beliau dan saya harap beliau akan segera sembuh dan selamat menjalani pembedahan,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas melawat gerai industri sukan KBS di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.



Ahmad Shabery dijadual akan melawat Rizal di Hospital Pakar Damansara hari ini pada pukul 12.30 tengah hari

No comments: