Friday, October 9, 2009

NEGERI 9 TAK RELA BERPUTIH MATA DI KUCHING

GANDINGAN penggempur mantap Negeri Sembilan, Idris Karim (kiri) dan Mohd Zaquan Adha (dua dari kiri) dijangka terus galas tugas merobek gawang Sarawak di Kuching, malam esok.


BIARPUN hanya dipisahkan satu lagi kemenangan untuk tiket ke suku akhir, Negeri Sembilan tidak rela berputih mata apabila berdepan Sarawak di Kuching dalam pertemuan Kumpulan B Piala Malaysia, malam esok.



Berikutan itu, skuad Hoben Jang Hoben sudah diingatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak mengambil mudah perlawanan itu, walaupun tuan rumah sudah terkeluar dalam saingan ke suku akhir, selain tewas 8-0 kepada Negeri Sembilan di Paroi sebelum ini.



Jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan, berkata kemenangan besar di Paroi sebelum ini bukan tiket mudah untuk Negeri Sembilan mendapatkan jaminan kemenangan, kecuali pemain dapat meneruskan persembahan terbaik dan meraih kemenangan



Malah, beliau mengakui Sarawak masih boleh menjadi pengacau jika pemain Negeri Sembilan tidak berwaspada, apa lagi perlawanan itu akan diadakan pada sebelah petang.



"Saya sudah mengingatkan pemain betapa Sarawak mampu menjadi ancaman dalam menyekat misi kami ke suku akhir.



"Dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku dan inilah yang harus diingati oleh pemain," katanya.

Mengenai pandangan beberapa jurulatih pasukan lain yang beranggapan Negeri Sembilan boleh pergi jauh dalam saingan musim ini, Wan Jamak berkata, perkara itu bukan suatu tiket penentu buat skuad bimbingannya itu.



"Sebaliknya ia adalah suatu cabaran kepada pemain untuk mereka buktikan dengan memastikan hasrat pasukan melangkah ke perlawanan akhir tercapai," katanya.



Oleh Mohd Amin Jalil
bhsukan@bharian.com.my

No comments: