Tuesday, October 20, 2009

MENJEJAK KEINDAHAN SAKURA JEPUN

Oleh SITI ZALEHA JORIMAI
Gambar Ehsan JASON KO



Bergambar di hadapan Istana Osaka yang menyimpan banyak sejarah era pahlawan Jepun, Sogun.

NAMPAKNYA tidak ada satu pun negara yang terlepas daripada kesan perubahan cuaca dunia termasuklah negara semaju dan secanggih Jepun.

Pepohon sakura yang menjadi kebanggaan rakyat negara itu tidak berbunga pada waktu yang diharapkan pada awal April lalu sedangkan musim sejuk sepatutnya sudah berakhir bagi memberi laluan kedatangan musim bunga.

Pelancong yang datang hanya mampu memandang kudup-kudup bunga sakura yang enggan mekar kerana suhu masih terlalu dingin dan pancaran matahari tidak cukup untuk menghangatkan persekitaran.

Situasi itu turut mengecewakan sedikit kumpulan wartawan dari Malaysia yang mengikuti lawatan dua pemenang Young Designer Award 2008 anjuran Nippon Paint Malaysia ke Tokyo dan Osaka.

Tersenarai sebagai antara kota termahal di dunia, Tokyo sememangnya layak dengan gelaran itu kerana di sini segala-galanya mahal bukan saja kepada pelancong bahkan sebilangan penduduk tempatan.

Bahkan menurut pemandu pelancong kami semakin ramai penduduk Tokyo yang hidup bergelandangan di kaki lima jalan raya dan kadar bunuh diri juga dikatakan meningkat ekoran tekanan pergolakan ekonomi dunia ketika ini.

Sebagai kota termahal bukan menghairankan kalau sukar untuk melihat ruang kosong di tengah-tengah hutan batu ini kerana tanah terlalu berharga untuk dibazirkan dan dibiarkan ditumbuhi semak belukar - bagi yang cintakan kehijauan destinasi anda bukan di sini.

Sebagai kota termahal ia juga memberi kelebihan kerana telah menjadikan orang Jepun sebagai masyarakat yang kuat berkerja dan sangat berdisiplin dalam semua aspek.

"Tanpa disiplin tidak mungkin kita boleh hidup di Tokyo dan kehidupan akan jadi kelam-kabut kerana segalanya ada peraturan biarpun sekecil memijak rumput di taman," kata seorang.

Dalam pada itu bagi yang menghargai kecanggihan teknologi, kecekapan pengurusan, keindahan seni dan untuk membeli-belah pasti akan terpesona dengan apa yang ada di kota ini.

'Kaki' membeli-belah kunjungan ke Tokyo tidak lengkap jika tidak menjejak kaki ke Shijuku. Ia dikenali sebagai pusat gajet dunia kerana segala gajet terkini ada di sini. Tempoh sehari tidak akan mencukupi untuk singgah dari satu ke kedai ke satu kedai.

Jadi supaya tidak membuang masa dan kaki tidak lenguh lebih elok kenal pasti dahulu apa yang hendak dibeli dan tuju lorong barang yang dicari.

Bagi yang inginkan membeli-belah cara mewah pula, bergerak saja ke Ropingi Hill. Kawasan pusat belah belah golongan elit Jepun ini kalau di Kuala Lumpur mungkin menyamai kawasan Star Hill, Bukit Bintang kerana segala jenama mewah dan terkenal 'berhimpun' di sini.

Dalam pada itu rasa terkilan tidak dapat menyentuh kelopak-kelopak sakura berakhir apabila rombongan bergerak ke Osaka menaiki keretapi laju dari Stesen Shinagawa Tokyo (antara stesen keretapi bawah tanah terbesar dan tersibuk di dunia).

Tiga jam dalam keretapi dengan tambang 12,000 Yen untuk sampai ke Stesen Shin Osaka, perjalanan melalui kawasan-kawasan luar bandar dengan landskap menghijau cukup mempesona.

Tatkala ini terbayang semula drama-drama bersiri Jepun yang kerap ditayangkan di stesen TV kita. Terasa bertuah kerana dapat menyaksikan dengan 'mata kepala' sendiri.

Malah menurut pemandu pelancong yang kami panggil Turbo ini, jika bertuah dan cuaca cukup baik boleh melihat puncak Gunung Fuji yang menjadi kebanggaan rakyat Jepun itu. Nyata kami tidak cukup bertuah.

Di Osaka cuaca lebih panas dan impian untuk menyaksikan sakura mekar berkembang menjadi kenyataan sebaik menjejak kaki di Istana Osaka.

Sememangnya tidak lengkap 'penjelajahan' di Osaka tanpa singgah ke istana yang dulu dikenali sebagai Ozakajo. Ia merupakan istana paling terkenal dan memainkan peranan penting dalam menyatukan rakyat Jepun ketika era pemerintahan Azuchi-momoyama sekitar abad ke 16.

Terletak di kawasan seluas kira-kira satu kilometer persegi istana ini mengandungi 15 struktur yang telah digazetkan sebagai aset budaya oleh kerajaan Jepun termasuk kuil Toyokuni yang dibina bagi memperingati pemerintahan Maharaja Toyotomi Hideyoshi sekitar tahun 1583.

Istana ini dibuka kepada orang awam dan menjadi tumpuan ketika musim perayaan terutama ketika musim bunga sakura berkembang

Dianggarkan kawasan tersebut mempunyai lebih 4,500 batang pokok sakura yang berkembang serentak pada musim bunga. Selain itu tarikan utamanya sudah tentu menara istana berbentuk pagoda yang tersergam indah.

Penjelajahan ke kota Osaka diteruskan ke satu lagi lokasi menarik yang rugi dilepaskan terutama di kalangan mereka yang gemar membeli-belah iaitu daerah Shinsaibshi.

Penulis sendiri terpegun dan hilang kata-kata seketika sebaik memasuki salah satu lorong di daerah ini. Terlalu ramainya manusia sehingga tidak terpandang yang lain.

Sememangnya Shinsaibashi merupakan kawasan membeli-belah terbesar di Osaka bahkan antara yang terbesar di seluruh Jepun.

Cari apa saja pastinya ada di sini daripada pakaian, kasut, cenderamata yang pelik-pelik, makanan hinggalah kepada barangan tempatan dan berjenama.

Bagi yang baru pertama kali ke Osaka, satu lagi destinasi yang disaran ialah Muzium Nippon yang terletak di ibu pejabat syarikat tersebut di Jalan Oyodokita.

Merakam sejarah panjang 120 tahun sejak syarikat itu ditubuhkan oleh dua beradik pada 1881. Pelbagai catatan sejarah menarik dan tentang penemuan-penemuan baru terakam di sini.

sumber daripada utusan malaysia





No comments: