Thursday, October 22, 2009

SELANGOR AKAN KE AKHIR

SHAH ALAM - Hampir 10 peluang jaringan disekat dan disia-siakan sehingga diikat 1-1 oleh Terengganu dalam pertemuan suku akhir pertama Piala Malaysia di sini, kelmarin.

Namun, jurulatih Selangor, K. Devan masih berani menyatakan: "Kami akan ke perlawanan akhir. Anda peganglah kata-kata saya ini.

"Jika lawan boleh menjaringkan gol di sini, mengapa tidak kami pula melakukannya (apabila ke Kuala Terengganu, Sabtu ini) malah dengan kualiti pemain dan pasukan yang Selangor miliki.''

Naib juara 2008 di ambang tersingkir apatah lagi skuad Penyu lebih selesa kerana hanya perlu seri tanpa jaringan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah nanti untuk mara ke separuh akhir berdasarkan peraturan gol di tempat lawan jika terikat secara agregat.

Malah, jika gol pendahuluan menerusi Amri Yahyah pada minit ke-21 yang seolah-olah terkena tangannya terlebih dulu dibatalkan pengadil, Selangor mungkin terpaksa berputih mata dalam perlawanan yang disaksikan hampir 10,000 penonton itu.

Rekod pertemuan terakhir mereka di Kuala Terengganu dalam Liga Super lalu menyebelahi tuan rumah 2-1 sekali gus menuntut Devan dan anak-anak buah memanfaatkan rehat tiga hari menjelang suku akhir kedua dengan sesi latihan yang lebih keras.

sumber daripada utusan malaysia

No comments: