Saturday, October 17, 2009

MODEL MEWAH TAHUN DEPAN

PENGEDAR kenderaan Nissan, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) akan membawa masuk model terbaru bagi Segmen Kenderaan berkuasa 2,000 cc ke atas (Kelas D), tahun depan.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Dr Ang Bon Beng, berkata model terbaru itu bakal bersaing dengan jenama lain seperti Honda Accord dan Toyota Camry

"Model terbaru ini akan diperkenalkan secara pemasangan tempatan (CKD) sama ada pertengahan atau suku ketiga tahun depan.

"Ramai beranggapan model Sylphy adalah kenderaan daripada segmen Kelas D tetapi ia tergolong dalam Kelas C bersaing bersama Honda Civic, Toyota Altis dan sebagainya," katanya.

ETMC turut bercadang membawa masuk model kenderaan daripada Kelas A (1,000cc ke bawah) dan B (1,000 hingga 1500cc) selewat-lewatnya 2012.

"Segmen Kelas A adalah 'Entry Level' yang bersaing bersama model Perodua Viva dan Proton Saga manakala Kelas B merangkumi model seperti Perodua Myvi, Honda City dan Toyota Vios," katanya.

Menurutnya, model Kenderaan Pelbagai Guna (MPV) Grand Livina masih mengekalkan tahap jualan terbaik dan menguasai 44 peratus pasaran tempatan bagi kenderaan bukan nasional.

"Grand Livina mendapat kepercayaan pelanggan selain pelbagai promosi 'Beli Satu Kereta Percuma Satu Kereta', kepuasan pelanggan selain perkhidmatan terbaik Nissan.

"Menakjubkan apabila tempahan Grand Livina meningkat sehingga 10 peratus selepas Proton melancarkan MPV pertamanya, baru-baru ini," katanya.

Sementara itu, kilang pemasangan kenderaan Tan Chong Motor (TCMA) yang memasang kenderaan Nissan seperti Grand Livina, Latio dan Sylphy turut menerima dua sijil ISO di Serendah, Selangor, baru-baru ini.

Pengarah Eksekutif TCMA, Low Seng Chee, berkata pensijilan itu berdasarkan hasil penilaian terhadap sistem pengurusan alam sekitar dan kualiti TCMA berkaitan keperluan piawaian, prosedur dalaman, perundangan dan pemegang saham.

Anugerah itu disampaikan Pengerusi Lembaga Penasihat Pensijilan Moody International, Datuk Dr Mohinder Singh dan Pengurus Besar Kanan Sirim QAS International Sdn Bhd, Parama Iswara Subramaniam.

SUMBER DARIPADA HARIAN METRO
Oleh Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my

No comments: