Tuesday, October 20, 2009

NS, 3 KELAB TUMPUAN SUKU AKHIR

Oleh HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - KL PLUS, KM Naza dan Johor FC terus cuba menjejak kejayaan MPPJ bergelar kelab pertama menjulang Piala Malaysia pada 2003 manakala kekebalan Negeri Sembilan turut teruji lagi pada suku akhir pertama persaingan berprestij bola sepak negara, malam ini.

Masih ada maruah bola sepak Kuala Lumpur, Kedah dan Johor yang terpikul di bahu anak buah Mat Zan Mat Aris, Nidzam Adzha Yusof dan Ramlan Rashid namun persoalannya, apakah perjuangan mereka direstui penyokong pasukan negeri itu yang telah kecundang di peringkat kumpulan?

Status dan nama mereka mungkin berlainan malah tidak segah negeri namun jika mutu permainan bola sepak yang dipaparkan itu sentiasa meningkat dan terpuji, tiada salahnya peluang dan sokongan peminat di Cheras, Paroi dan Pasir Gudang dialihkan kepada tiga kelab ini.

Reputasi tanpa kalah milik juara Kumpulan B Si Rusa bimbingan Wan Jamak Wan Hassan pasti dicemburui KM Naza yang turut mengidam gelaran 'Pemusnah Gergasi' terus dilabelkan pada mereka selepas menumbangkan Selangor 3-2 di Alor Setar, minggu lalu.

Malah perlu diingat bahawa Merah Kuning, pemenang tiga piala musim ini, nyaris kecundang kerana ditinggalkan dua gol oleh kelab Kedah ini di Stadium Shah Alam sebelum terpaksa tuan rumah mengerah pengalaman dan memulihkan ketahanan mental mereka untuk menang 3-2.

Misi Negeri Sembilan mempertahankan reputasi itu sebenarnya lebih perit daripada memburunya apatah lagi KM Naza membariskan orang lama seperti B. Rajnikandh, Anuar Jusoh, Liew Kit Kong dan Akmal Rizal Rakhli yang mungkin mempunyai resipi tertentu untuk dihidangkan secara 'mengejut' di Paroi.

Namun pandangan jurulatih Selangor, K. Devan agak berlainan kerana menganggap Terengganu yang bakal dihadapinya di Shah Alam, jauh lebih handal daripada ketiga-tiga lawan anak buahnya dalam Kumpulan D lalu termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah.

"Kami menang 3-1 di Shah Alam dan kalah 2-1 di Kuala Terengganu dalam kedua-dua pusingan Liga Super musim ini namun inilah sebenarnya pasukan yang wajar diberikan lebih perhatian berbanding tiga pasukan peringkat kumpulan lalu.

"Kami mahu menyerang habis-habisan kerana perlukan bekalan gol yang selesa sebelum bertandang ke sana tetapi kami percaya lawan akan lebih banyak bertahan dalam pertemuan pertama ini," kata Devan kepada Utusan Malaysia, semalam.

Dia cukup arif bahawa Ken Worden akan memainkan peranan penting dalam mendidik barisan belakangnya menutup segala ruang buat Safee Sali, Amirulhadi Zainal, Amri Yahyah, Rudie Ramli dan R. Surendren kerana setiap inci yang terbolos bererti bahaya besar buat Terengganu.

Turut menarik dalam peringkat kalah mati Piala Malaysia ini ialah kemaraan KL PLUS yang memintas Perlis sebagai juara Kumpulan A di samping gandingan berbisa Fadzli Saari-Haris Safwan Kamal yang terus ditagih untuk menggoncang Kelantan.

"Selain mereka saya harapkan kelebihan gelanggang sendiri mampu membantu kami mendapatkan modal suku akhir pertama walaupun saya tahu penyokong Kelantan akan hadir lebih ramai di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

"Saya percaya mungkin jika Khalid Jamlus tidak diturunkan pun, pelawat masih memiliki ramai pemain kebangsaan dan berpengalaman seperti Nor Farhan Muhammad dan Indra Putra Mahayuddin, jadi kami akan sentiasa berhati-hati dan sedia menghadapi apa sahaja," katanya

sumber daripada utusan malaysia

No comments: