Saturday, October 17, 2009

KHABAR GEMBIRA BUAT RIZAL



Dr. Gan Eng Cheng (tengah) menerangkan keadaan kecederaan Rizal Tisin kepada Ahmad Shabery Cheek (dua dari kanan) di Hospital Pakar Damansara, Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Dr. Ramlan Abdul Aziz (kiri) dan Zolkples Embong


KUALA LUMPUR - Rizal Tisin dianggap cukup bernasib baik dan pastinya mampu menarik nafas lega apabila doktor mengesahkan dia boleh kembali berlumba dalam masa tiga bulan lagi.


Ini disahkan pakar bedah ortopedik Hospital Pakar Damansara di sini, Dr. Gan Eng Cheng yang melakukan pembedahan ke atas buku lali Rizal yang patah selepas terbabit dalam kemalangan.


Menurut Dr. Gan, Rizal bernasib baik kerana dapat menjalani pembedahan dengan cepat untuk mencantumkan kembali tulangnya yang retak sekali gus dapat sembuh dengan cepat.


"Jika tidak menjalani pembedahan segera, dia mungkin terpaksa menunggu lebih lama untuk pulih dan mungkin kecederaan itu akan datang berulang-ulang.


"Ternyata pembedahan yang dilakukan semalam (kelmarin) memberi hasil yang cukup baik walaupun tulangnya terpaksa diikat dengan besi," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek melawat Rizal di Hospital Pakar Damansara, semalam.


Sehubungan itu, Dr. Gan menegaskan berdasarkan perkembangan positif pembedahan, Rizal dijangka boleh dibenarkan pulang Isnin ini.


"Selepas pembedahan ini, kita perlu pastikan bengkak pada bahagian buku lali itu surut dan luka-luka sudah sembuh.


"Tulang yang patah itu mungkin ambil masa tiga bulan untuk sembuh. Dalam masa itu, kita perlu pastikan otot-ototnya tidak mengecut dan mengecil. Jadi banyak latihan perlu dilakukan," katanya.


Sementara itu, Ahmad Shabery berkata, Rizal akan diberi rawatan pemulihan yang terbaik selepas kejayaan menjalani pembedahan itu.


Rizal, pemenang pingat gangsa acara 1km ujian masa Kejohanan Dunia di Pruzskow, Poland pada Mac lalu, selamat menjalani pembedahan selama empat jam di bahagian buku lali kirinya di Hospital Pakar Damansara, kelmarin.


"Beliau telah mendapat rawatan yang terbaik dan telah menjalani pembedahan yang agak rumit dan diberikan perhatian yang serius terhadap setiap kecederaan yang dialaminya. Saya dimaklumkan oleh doktor yang merawatnya, beliau akan sembuh dengan cepat.


"Cumanya, beliau perlu menjalani proses pemulihan yang akan dikendalikan oleh Institut Sukan Negara (ISN).


"Saya percaya beliau akan kembali dapat beraksi secepat mungkin mengikut jadual yang telah ditetapkan," katanya.


Turut hadir melawat jaguh lumba basikal trek itu ialah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Zolkples Embong dan Ketua Pengarah ISN, Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz.

sumber : utusan malaysia
Oleh TAUFEK RAZAK
sukan@utusan.com.my

No comments: