Wednesday, October 7, 2009

NEGARA TIGA PULAU

Bandar Valletta, ibu negara Malta


Malta simpan mitos 7,000 tahun

WALAUPUN hanya berkeluasan 316 kilometer persegi, Malta tetap negara bertuah kerana menjadi tumpuan pelancong dan terkenal di seluruh dunia dengan pantainya yang indah serta tinggalan sejarah menjangkau lebih 7,000 tahun.

Ia yang terletak di selatan Eropah terdiri daripada kepulauan di tengah-tengah Laut Mediterranean yang berada betul-betul di selatan Itali.

Tidak lama dulu, nama Malta disebut-sebut di negara kita apabila dua wanita keldai dadah warga Malaysia ditahan di penjara pulau itu kerana diperalat sindiket dadah antarabangsa.

Kedudukannya yang strategik menyebabkan negara berkenaan menarik minat kuasa besar dulu kala, dijajah dan diperintah oleh pelbagai kuasa selama beberapa abad sebelum memperoleh kemerdekaan daripada British pada 21 September 1964.

Negara ini terbentuk daripada tiga ketumbukan pulau, iaitu Malta, Gozo dan Comino. Malta ialah pulau terbesar dan menjadi pusat kebudayaan, komersial serta pentadbiran

Gozo pulau kedua terbesar yang berunsur kekampungan, diterjemahkan melalui aktiviti perikanan, penghasilan kraf dan pertanian, manakala sebahagian besar pulau Comino pula tidak berpenghuni.

Walaupun tidak banyak pepohon pohon menghijau di bumi Malta, negara itu masih boleh memikat pelancong, terutama berbekalkan kesan sejarah dari zaman penaklukan Phoenicia, Carthginia, Roman, Perancis serta Britain.

Negara indah ini yang hanya mempunyai kira-kira 400,000 penduduk - tiga kali ganda lebih rendah berbanding jumlah pelancong yang sudah mengunjunginya - dikurniakan kelebihan dengan air laut yang dalam serta tebing tinggi.

Keadaan itu menjadikan Malta amat sesuai untuk banyak kapal berlabuh, sekali gus merancakkan aktiviti marinanya.

Dengan deretan hotel pelbagai kelas, negara ini juga mempunyai kelebihan dari segi cuaca yang sederhana panas dan sederhana sejuk yang memainkan peranan penting menggamit pelancong, terutama dari Eropah.

Di atas tebing tinggi sepanjang tempat peranginan seperti di St Julian, penuh restoran menyediakan pelbagai jenis makanan tempatan serta antarabangsa, termasuk sajian Asia.

Walaupun pantai berpasir di Malta agak terhad berbanding pantai berbatu, ia bukan penghalang untuk negara berkenaan terus dikunjungi pelancong dari semasa ke semasa.

Bagi pencinta lautan, pasir kuning keemasan berterabur di sebelah utara dan lagun dengan air yang jernih bak kristal menyajikan suasana terbaik untuk bermandi manda.

Dengan batu megalit, penjara bawah tanah zaman pertengahan dan gua kalipso, mitos Malta terserlah, bandarnya dipenuhi jalan sempit dan berliku, manakala di kawasan perkampungan tersergam gereja serta istana silam yang menyimpan kisah tersendiri.

Kesan sejarah yang memenuhi kepulauan ini melayakkan Malta yang terletak 93 kilometer di selatan Sicily dan 288 kilometer di utara Afrika, dilabel sebagai muzium terbuka.

Hamparan pantainya memanjang sejauh 196.8 kilometer, tidak termasuk 56 kilometer di pulau Gozo. Dengan suasana malam yang ceria, banyak tarikan tersaji buat pelancong.

Tempat menarik dan bersejarah amat mudah dikenali seperti struktur Hypogeum dan Kuil Tarxien di Poala yang diiktiraf sebagai tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco)

Papan tanda di Malta menggunakan bahasa Inggeris yang juga bahasa rasminya, tetapi penduduk tempatan biasanya berbual menggunakan bahasa tempatan dipanggil `Malti, contohnya `grazi’ untuk terima kasih.

Ringkasnya, Malta ialah destinasi percutian tepat jika sesuai dengan bajet anda kerana begitu banyak tarikan dan aktiviti untuk dilihat dan dibuat di pulau kecil ini.



FAKTA: Malta

Ibu negara, Valletta
Bandar terbesar, Birkirkara
Bahasa rasmi, Inggeris
Keluasan 316 kilometer persegi


dipetik drpd berita harian Oleh Ahmad Naim Tahir

No comments: