Saturday, October 24, 2009

LELAKI DITEMBAK BERTALU-TALU

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
rodelio.taucan@utusan.com.my

MOHD. Izwan Ismail terlantar di Hospital Raja Perempuan Zainab II sambil ditemani oleh ibunya, Rohani Daud selepas ditembak oleh individu yang tidak dikenali di luar rumahnya, Taman Perumahan Rantau Mas, Rantau Panjang malam kelmarin.

KOTA BHARU 23 Okt. - Seorang wanita pasti tidak dapat melupakan pengalaman dia dihujani bedilan peluru akibat ditembak bertalu-talu oleh dua lelaki yang tidak dikenalinya, malam tadi.

Kejadian yang berlaku di hadapan rumah Rohani Daud, 50, di Taman Perumahan Rantau Mas, kira-kira pukul 7.15 malam itu bukan dihadapinya seorang, malah nyaris meragut nyawa anak lelaki Rohani, Mohd. Izwan Ismail.

Mohd. Izwan, 26, bagaimanapun hanya mengalami kecederaan apabila dua daripada tembakan itu mengenai pahanya.

Rohani tidak mengalami kecederaan dalam insiden tersebut kerana diselamatkan oleh anaknya.
Ketika menceritakan detik cemas itu, Rohani berkata, dia dan anaknya baru selesai menunaikan solat Maghrib dan hendak menunggu bas di hentian berdekatan untuk melawat ibu saudaranya.

"Sebaik sahaja keluar pintu rumah, saya melihat kelibat dua lelaki menaiki sebuah motosikal seperti sedang menunggu seseorang.

"Tiba-tiba, mereka melepaskan tembakan ke arah kami bertalu-talu. Anak saya yang merasakan seperti ada sesuatu yang buruk akan berlaku menarik saya ke belakang," katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ) di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Supritendan Haliludin Rahim ketika dihubungi berkata, kejadian itu berkemungkinan mempunyai hubung kait dengan insiden yang berlaku di Daerah Sungai Golok, Thailand baru-baru ini.

Katanya, menurut maklumat yang diterima, pada April lalu, Mohd. Izwan pernah ditembak oleh beberapa suspek yang tidak dikenali, namun dia berjaya menyelamatkan diri.

"Polis tidak menolak kemungkinan kejadian ini mempunyai kaitan dengan dendam kerana mangsa pernah mengalami kejadian yang sama di sana dan waktu itu hanya rakannya yang terbunuh.

"Oleh itu kemungkinan suspek semalam adalah orang yang sama dan berasal dari daerah tersebut dan kita sedang memburu mereka," jelas beliau.


sumber daripada utusan malaysia

No comments: