Wednesday, October 7, 2009

KEDAH HIDUP PELUANG MARA


PEMAIN Terengganu, Mohd Shazlan Alias (kiri) merembat bola ke pintu gol dalam saingan Piala Malaysia Kumpulan B di Stadium Sultan Nasiruddin Shah, malam tadi. Terengganu menang 7-0


TERENGGANU dan Perak berpesta jaringan apabila masing-masing membenam Sarawak dan UPB-MyTeam dalam kancah saingan Piala Malaysia, malam tadi, ketika Kedah menghidupkan kembali harapan untuk mara selepas meraih kemenangan sulung ke atas Tentera.


Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin, Terengganu menang 7-0 ke atas Sarawak dalam saingan Kumpulan B dan tuan rumah mendapat dua gol pertama pada minit ke-12 dan 37 menerusi Manaf Mamat.


Gol ketiga Terengganu diperoleh menerusi Mohd Shazlan Alias Izwan minit ke-39 dan Manaf melakukan hatrik pada minit ke-50 untuk gol keempat sebelum Mohd Shazlan menambah koleksi jaringan pada minit ke-56 dan Ashaari Shamsuddin minit ke-82 dan 89.


Di Stadium Perak, Perak mendahului Kumpulan C apabila turut berpesta jaringan dengan kemenangan 6-1 ke atas UPB MyTeam dengan dua gol dijaringkan oleh Razali Umar Kandasamy, minit ketujuh dan 48.


Azrul Hazran Amiludin turut mencatat nama selaku penjaring gol Perak pada minit ke-18, Mohd Hafiszuan Salehuddin (m31), Mohd Syazwan Mohd Roslan (m70), Mohd Noor Hazrul (m78) manakala UPB-MyTeam mendapat gol sagu hati menerusi jaringan Dewan Sakwati Kandasamy (m44).


Johor FC pula membenam Kuala Lumpur 4-0 dalam saingan Kumpulan C, tetapi kedudukan mereka di tangga teratas dirampas Perak hasil beza jaringan lebih baik.


Tuan rumah membuka tirai jaringan pada minit ke-22 hasil tolakan Azizan Baba manakala Nurul Azwan Roya menambah duka pelawat menerusi gol pada minit ke-33 dan 37 sebelum mengutip hatrik dengan gol minit ke-55 menerusi sepakan penalti.


Sementara itu, Kedah menang 3-0 ke atas Tentera di Stadium Selayang dalam saingan Kumpulan E manakala Perlis turut mencatat kemenangan besar di Stadium Utama dengan menang 5-0 ke atas Melaka dalam Kumpulan A.


Selangor bangkit di Stadium Shah Alam apabila menundukkan Sabah 4-1 dalam saingan Kumpulan D menerusi jaringan Mohd Amri Yahyah, Mohd Safee Sali dan Hardi Jaafar selepas Sabah menjaringkan gol pendahuluan menerusi Zainizam Marjan (m-33).


Keputusan lain menyaksikan Kelantan menewaskan Pulau Pinang 2-1, KM Naza menundukkan Polis 3-0, Negeri Sembilan menewaskan Johor 1-0 dan KL Plus menundukkan Pahang 3-1 hasil hatrik Fadzli Saari.
Oleh Wan Faizal Ismayatim, Kamudin Baharom, Hamid Salleh, Amin Jalil, Azizan Hashim, Rizar Mohd Noor dan Bashah Zainol Abidin bhsukan@bharian.com.my

No comments: