Thursday, October 22, 2009

ELLY GEMURUH MENANTI GRAND PRIX



Mohd. Zulfahmi Khairuddin (kanan) dan Elly Idzlianizar Illias akan memikul cabaran Malaysia dalam perlumbaan MotoGP menerusi tiket wild card.

SEPANG - Menjadi wakil Malaysia dan menggalas harapan rakyat di pentas Grand Prix Motosikal Malaysia dalam kelas 125cc hujung minggu sememangnya satu impian buat mana-mana pelumba terbaik tanah air.

Namun, bagi Elly Idzlianizar Illias yang akan memacu jentera Aprilia 125 RSW di Litar Antarabangsa Sepang pada 23 dan 25 Oktober ini, pada peringkat awal elemen tersebut membuatkan perasaannya dalam dilema.

Pelumba berusia 25 tahun mengakui cukup teruja menerima berita tersebut, namun pada masa yang sama tidak menafikan perasaannya gementar menjelang penampilan pertamanya menerusi tiket wild card.

"Selepas meraih tiket wild card dan mewakili Malaysia, saya seperti berada di puncak dunia dan perkara pertama terlintas di fikiran saya adalah beraksi dengan pelumba-pelumba terbaik dunia.

''Saya mengakui bahawa terdapat sedikit perasaan gemuruh tetap ada terutama apabila pelbagai pihak meletakkan harapan yang cukup tinggi selaku pelumba pilihan pasukan Air Asia Team Malaysia," kata Elly.

Bagaimanapun, dia menjelaskan, tekanan tersebut kini berjaya ditangani.

''Saya kini tidak sabar untuk bertarung dan akan memulakan pengalaman pertama di peringkat dunia. Saya akan cuba menikmati peluang seumur hidup ini," ujar Elly.

Pelumba kelahiran Kangar itu berkata, dia bersemangat tinggi dan mahu menimba pengalaman pada perlumbaan yang bertaraf dunia.

''Untuk rekod, saya sudah merasai pengalaman berlumba di Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM PETRONAS, Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC), Yamaha ASEAN Cup dan kini saya berdepan pula dengan cabaran MotoGP.

"Saya akan pastikan pengalaman dalam ketiga-tiga kejuaraan akan digunakan pada perlumbaan hujung minggu ini," ujar Elly.

Ketika diajukan soalan bagaimana dia dapat menangani tekanan bagi membolehkannya beraksi dengan baik di gelanggang sendiri, ini penjelasan Elly:

"Mulai sekarang, saya tidak perlu memikirkan mengenainya, malah matlamat pada hari perlumbaan juga bukan satu kemestian untuk menjejaki kaki di podium. Ia membuatkan saya lebih tenang untuk beraksi tanpa sebarang tekanan."

sumber daripada utusan malaysia

No comments: