Saturday, October 17, 2009

PENGANGGUR KENA DAKWA

KOTA BHARU: Seorang penganggur yang juga suspek utama kes pembunuhan kejam membabitkan seorang suri rumah dan bayi perempuannya berusia 13 bulan di Kampung Sireh Bawah Lembah, didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Tertuduh, Mazdi Muhammad, 31, dari Kampung Sireh direman 12 hari didakwa mengikut dua tuduhan membunuh anak-beranak terbabit pada 30 September lalu.

Mengikut tuduhan pertama, tertuduh didakwa membunuh Miss Maena Ya, 36, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sireh Bawah Lembah, dekat sini, jam 2.30 pagi, 30 September lalu.

Dia yang hadir ke mahkamah dengan pakaian lokap turut menghadapi tuduhan kedua membunuh bayi perempuan mangsa, Nurasyiken, berusia 13 bulan di tempat dan masa sama.

Tiada sebarang keterangan atau pengakuan direkodkan daripada tertuduh sebaik tuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Azrol Abdullah


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Bagi kedua-dua tuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati mandatori.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Rehan Mohd Aris.

Akhbar sebelum ini melaporkan mengenai pembunuhan kejam seorang suri rumah bersama anak perempuannya itu yang mati dipercayai ditetak dan dikelar dengan senjata tajam oleh seorang lelaki yang juga jiran mangsa, kira-kira jam 2.10 pagi, 30 September lalu.

Dalam kejadian itu, suri rumah berasal dari Narathiwat, Selatan Thailand itu mati ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) akibat pelbagai kecederaan parah di kepala selain tangan kanan hampir putus.

Anak mangsa, Nurasyiken Rosli pula ditemui mati dalam rumah usang didiami keluarga terbabit dengan kesan tetakan di kepala.

Ketika kejadian, suami mangsa, Rosli Abdullah, 50-an, tiada di rumah kerana bekerja sebagai ejen insurans di Kuala Terengganu.

Pada 4 Oktober lalu, polis menahan seorang lelaki dipercayai suspek utama pembunuhan itu.

Lelaki berusia 31 tahun itu ditahan selepas menyerah diri sambil ditemani beberapa rakannya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, kira-kira jam 11 malam sebelum direman tujuh hari.


sumber daripada harian metro
Oleh Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my

No comments: