Saturday, October 17, 2009

KHATAM AL-QURAN USIA EMAS

SELEPAS lebih enam tahun mendalami serta mempelajari cara membaca al-Quran dengan tajwid, lebih 50 peserta termasuk wanita dan kanak-kanak berkhatam beramai-ramai di Surau Ittihadiah Kampung Jawa di Bayan Baru, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Lebih manis lagi, mereka yang rata-rata adalah golongan warga emas berusia dalam lingkungan 55 hingga 62 tahun. Peserta termuda pula berusia 12 tahun.

Mereka diraikan dalam satu majlis khas dan dijamu dengan gulai daging batang pisang dimasak oleh penduduk kawasan itu.

Majlis khatam al-Quran beramai-ramai pada pukul 11 pagi itu dimulakan dengan tahlil yang diketuai oleh Imam surau tersebut, Mohd. Isa Othman, 61, sebelum peserta mengambil tempat masing-masing dengan membawa bunga telur yang disediakan pihak surau.

Mohd. Isa yang ditemui Mega pada majlis itu berkata, tempoh yang panjang diambil kerana kelas diajar seorang guru yang juga bekas polis, Saidin Saad, 61, hanya diadakan pada sebelah malam selepas solat maghrib pada setiap Sabtu.

“Program ini bermula pada 23 Mei 2003 dan berakhir pada 3 Oktober 2009 dan ia merupakan julung-julung kali diadakan serta terbesar pernah dianjurkan pihak surau hasil sumbangan ikhlas daripada orang ramai.

“Ini hanya salah satu aktiviti dijalankan di surau ini dan ia merupakan satu program yang baik walaupun majoriti penyertaan terdiri daripada kalangan orang sudah berumur malah bukan juga pertama kali berkhatam,” katanya yang sudah lebih 10 tahun bertugas sebagai imam di situ.

Tambahnya, walaupun surau itu turut menganjurkan tadarus al-Quran pada setiap bulan Ramadan namun majlis tersebut cukup istimewa apabila melihat kumpulan peserta yang kebanyakannya orang veteran bersungguh-sungguh dan komited mengikuti kelas.

Dalam pada itu, Saidin gembira apabila berjaya menggalas tanggungjawab selama lebih enam tahun dan pada masa sama semua anak muridnya mampu membaca dengan lancar.

“Tentu sekali saya gembira pada hari ini, dengan majlis khatam al-Quran diadakan secara beramai-ramai ini, saya berasa cukup tersentuh dengan sikap setiap peserta yang begitu komited dan bersedia menerima teguran daripada saya.

“Semua peserta diajar daripada asas untuk membaca al-Quran iaitu bermula dengan membaca muqaddam iaitu alif, ba dan ta bagi memastikan sebutan mereka betul dan lancar sebelum kita beralih ke kitab suci al-Quran dan seterusnya hingga khatam,” jelas beliau.

Ditanya adakah sukar mengajar pelajar yang berstatus warga emas dan sama ada beliau mengunakan rotan bagi membetulkan pelajarnya, Saidin sambil tersenyum menjawab, kebanyakan peserta mempunyai pengalaman membaca al-Quran, jadi tiada sebarang rotan digunakan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa surau berkenaan yang juga salah seorang peserta khatam, Hashim Ahmad, 59, berkata, beliau gembira kerana hasil usaha semua pihak untuk menjayakan program seumpama itu akhirnya berjaya dicapai.

Justeru, katanya, program tersebut tidak akan berhenti setakat itu sahaja tetapi akan terus digiatkan dari semasa ke semasa.

Kelas kedua bagi kelas belajar kitab suci al-Quran itu akan dimulakan sebelum akhir bulan ini dengan penyertaan terbuka secara percuma kepada sesiapa yang berminat.

“Walaupun kami tidak menerima sebarang peruntukan untuk surau daripada mana-mana pihak, namun kita masih mampu menjalankan pelbagai aktiviti selain daripada khatam al-Quran antaranya kelas fardu ain hasil sumbangan orang ramai.

“Justeru, saya berharap banyak lagi program dapat dianjurkan surau ini terutama mencari ramuan bagi menggamit golongan muda untuk bersama-sama mengunjungi ke surau ini sekali gus mampu membuatkan mereka mendekatkan diri dengan Allah SWT,” katanya.

sumber daripada utusan malaysia
Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my

No comments: