Wednesday, October 21, 2009

KETENANGAN DI PUNCAK AIR TERJUN BERKELAH

Oleh Mohd. Khirudin Arshat


SEBAHAGIAN daripada peserta Eksplorasi Air Terjun Berkelah dan Abseiling, di Pahang, baru-baru ini.

PERKHEMAHAN di Air Terjun Berkelah di Maran, Pahang tidak pernah menjemukan. Walaupun sebahagian daripada kami sudah beberapa kali bermalam di puncak hutan jenis 'dipterokarp' itu peluang melawat semula lokasi jarang sekali dilepaskan.

Pengalaman berkhemah bersebelahan limpahan air terjun gergasi yang jatuh dari ketinggian kira-kira 30 meter itulah yang membakar semangat rakan-rakan yang belum menjejakkan kaki.
Baru-baru ini, seramai 38 peserta dari Universiti Tenaga Nasional, Bangi dan Universiti Teknologi MARA, Melaka bergabung ke kawasan hutan lipur di Maran itu untuk menyertai aktiviti Eksplorasi Air Terjun Berkelah dan Abseiling.

Selepas taklimat ringkas oleh ketua ekspedisi dan sesi regangan otot, perjalanan dimulakan kira-kira pukul 9.30 pagi. Pemandangan di sepanjang perjalanan diiringi deruan air terjun yang melingkar di sepanjang laluan.

Pengalaman melalui kawasan berbatu di tebing jeram berbatu dan curam itu agak mencabar. Nasib kami baik kerana tiada rintik-rintik hujan pada hari itu, jika tidak perjalanan mungkin lagi sukar dan memakan masa empat hingga lima jam.

Sebelum tiba di tapak perkhemahan, para peserta berhenti di tebing kolam untuk aktiviti pertama program iaitu ujian keyakinan air (water confident).

Aktiviti memberi peluang kepada mereka yang tidak tahu berenang menikmati pengalaman timbul di permukaan air dengan memakai jaket keselamatan.

Pada pukul 12 tengahari, peserta meneruskan perjalanan ke tapak perkhemahan bersebelahan kolam nombor tujuh. Tempatnya agak bersih cuma beberapa himpunan sampah ditinggalkan oleh pendaki yang tidak berhati perut.

Selepas menikmati sepenuhnya keindahan alam di mata mata, peserta mula beralih ke tapak perkhemahan untuk menyediakan khemah, lagipun cuaca ketika itu mula mendung. Keceriaan jelas terpancar di wajah setiap peserta ketika menyediakan masakan pada petang itu.

Aktiviti seterusnya adalah 'Jaket Keselamatan Anda' di mana setiap kumpulan diberikan empat botol air untuk dijadikan 'jaket keselamatan.

Pelbagai cara digunakan untuk memastikan rekaan berfungsi dengan baik.

Pada pagi hari kedua, peserta beralih ke kolam nombor tujuh untuk menikmati sarapan sebelum menghabiskan masa bermandi-manda. Sebahagian daripada peserta yang mengikuti kursus keyakinan air mula menunjukkan keinginan untuk turun berenang dengan jaket keselamatan masing-masing.

Di Air Terjun Berkelah, masa dirasakan seperti begitu pantas masa berlalu. Sebelum memulakan perjalanan turun, peserta mengemaskan tapak dan memastikan tiada sampah yang ditinggalkan. Malah sampah sarap yang ditemui sepanjang perjalanan dikutip dan dibawa turun.

Berhampiran kolam nombor dua, peserta melakukan aktiviti terakhir iaitu abseiling di tebing air terjun yang curam dan licin.

Setelah hampir tiga jam bermain tali, peserta bergerak menuju ke pintu masuk Hutan Lipur Berkelah. Kenderaan pacuan empat roda sudah menunggu untuk membawa kami keluar ke arah Masjid Kampung Gelugor.

sumber daripada utusan malaysia

No comments: