Friday, October 16, 2009

SUARA YANG MEMUKAU DUNIA

SUARA Susan Boyle yang luar biasa itu ternyata membuka mata ramai pihak.




KEHADIRANNYA telah mencetuskan fenomena yang cukup luar biasa biarpun dia tidak memiliki paras rupa menawan seperti kebanyakan penyanyi lain.

Di sebalik rupa dan personalitinya yang dikatakan tidak mampu menarik perhatian ramai, hakikatnya kelebihan Susan Boyle terletak pada suara merdunya itu.


Semuanya bermula apabila dia menyertai sesi uji bakat rancangan pencarian bakat popular, Britain's Got Talent pada Ogos tahun lalu.


Sebaik sahaja kelibatnya kelihatan pada sesi uji bakat itu, ramai yang skeptikal dan berpendapat Boyle tidak memiliki bakat luar biasa untuk menarik perhatian ramai.


Malah, mereka turut mencebik dan mengatakan Boyle sama seperti peserta lain yang hanya sekadar hadir untuk meraih simpati dan populariti murahan.


Tetapi bagi empunya diri, dia tidak kisah dengan pandangan sinis dan negatif masyarakat terhadap dirinya kerana apa yang penting baginya adalah untuk menonjolkan bakat nyanyiannya.


Kehadirannya ke uji bakat itu adalah aspirasi daripada penyanyi pujaannya, Elaine Paige dan Boyle sendiri mahu menjadi seorang penyanyi teater muzikal sama seperti Paige.


Segala prasangka terhadapnya berubah dalam sekelip mata sebaik sahaja dia melagukan lagu kegemarannya, I Dreamed A Dream yang merupakan salah satu lagu daripada teater muzikal, Les Misérables.


Hasilnya, persembahannya itu telah ditonton oleh seramai 10 juta penonton sewaktu rakaman uji bakat itu ditayangkan pada 11 April 2009.


Dengan pantas, persembahannya itu terus menjadi bualan hangat dan sebutan ramai lebih-lebih lagi selepas video rakaman itu turut dimuat naik (upload) menerusi YouTube.


Seperti mana jutaan penonton yang menonton persembahannya menerusi televisyen, begitu juga impak yang terhasil menerusi YouTube apabila ia mencatatkan capaian penonton lebih daripada 300 juta tontonan di seluruh dunia.


Lebih membanggakan apabila video uji bakatnya itu telah mencatatkan 2.5 juta penonton hanya dalam tempoh 72 jam selepas ia dimuat naik.


Kehebatan dan keunikan suaranya itu telah berjaya melayakkan Boyle mara ke peringkat akhir apabila mendapat undian yang cukup tinggi daripada penonton.


Namun, rezeki tidak berpihak kepada Boyle untuk bergelar juara apabila ditewaskan oleh pesaingnya iaitu sebuah kumpulan tarian yang menggelarkan diri mereka sebagai Diversity.
Kini, namanya terus mekar dan berada di puncak kegemilangan sehinggakan Boyle sendiri tidak pernah bermimpi untuk mengecapi kejayaan seperti mana yang dikecapinya hari ini.


Boyle adalah simbol kejayaan kepada masyarakat bahawa mimpi sebenarnya boleh menjadi realiti sekali gus mengubah hidup yang selama ini tidak pernah diimpikan.


Memang benar kata orang. Setiap kejayaan yang diraih itu sebenarnya ada harga yang perlu dibayar dan begitu juga dengan Boyle.


Impak daripada Britain's Got Talent telah menyebabkan Boyle berdepan dengan depresi sehingga dia dimasukkan ke klinik psikiatri beberapa hari bagi mendapatkan rawatan serta ketenangan.


Biarpun sudah menjadi seorang yang terkenal, namun bagi wanita bujang berusia 48 tahun ini tetap tegas dengan pendiriannya untuk tidak merubah penampilannya.


"Saya tahu apa yang difikirkan oleh masyarakat di luar sana tentang saya tetapi perlukah saya tunduk pada kehendak mereka?


"Selagi saya boleh menyanyi, saya akan meneruskan minat saya dalam bidang ini. Mereka harus sedar industri ini bukannya sebuah pertandingan ratu cantik," katanya dalam satu temuramah dengan The Sunday Times tidak berapa lama selepas pertandingan Britain's Got Talent berakhir.


Kini, Boyle boleh tersenyum puas dan bangga apabila impiannya untuk merakamkan album akhirnya tercapai juga.


Album perdananya, I Dreamed A Dream yang diterbitkan oleh syarikat rakaman, Sony Music Entertainment itu akan mula berada di pasaran pada 23 November ini.


Sudah pastinya, album ini akan menjadi sebuah album yang ditunggu-tunggu sebelum tahun 2009 melabuhkan tirainya.


Khabarnya, album sulung Boyle ini sudah ditempah tiga bulan sebelum tarikh edaran rasminya lantas menjadikan album I Dreamed A Dream sebagai album pra jual terbaik seperti mana yang dicatatkan menerusi Amazon.com.


Album yang mendapat sentuhan penerbit berkaliber Steve Mac ini memuatkan 11 buah lagu termasuk I Dreamed A Dream, Cry Me A River serta lagu-lagu popular nyanyian Rolling Stones dan Madonna iaitu Wild Horses dan You'll See.


Sebuah lagu baru yang dicipta khusus untuk Boyle iaitu Who I Was Born To Be juga antara 11 lagu di dalam album ini yang dijangka akan meraih perhatian ramai kelak.


"Peluang merakamkan album merupakan cita-cita saya sejak sekian lama dan akhirnya saya berjaya melunaskan impian saya itu.


"Perjalanan hidup saya penuh indah dalam mencari identiti saya sendiri dan saya percaya kebahagiaan serta kegembiraan ada untuk semua orang di luar sana yang berani untuk menukar mimpi mereka menjadi realiti," katanya penuh teruja dan mengharapkan album sulungnya akan mendapat tempat di hati masyarakat.

No comments: