Wednesday, October 21, 2009

DERA ANAK ; WANITA DAN TEMAN LELAKI DITAHAN

KUALA LUMPUR 20 Okt. - Pembohongan seorang ibu yang mengaku anak perempuannya berusia tiga tahun mati akibat didera amah gagal setelah siasatan polis mendapati dia tidak pernah mempunyai pembantu rumah itu.

Perbuatannya itu terbongkar setelah polis yang menjalankan siasatan terhadap kes tersebut mendapati keterangan yang diberikannya bercanggah.

Segala-galanya bermula apabila kanak-kanak malang itu dibawa untuk menjalani rawatan di Hospital Kajang pada 13 Oktober lalu.

Mangsa yang cedera teruk di seluruh anggota badan termasuk kemaluannya bagaimanapun meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital tersebut.

Berikutan itu satu laporan telah dibuat oleh ibu mangsa di Balai Polis Kajang.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Shakaruddin Che Mood berkata, namun setelah siasatan dijalankan keterangan diberikan suspek didapati bercanggah.

''Malah keterangan wanita itu mencurigakan sejak dia mula membuat laporan di Balai Polis Kajang. Dalam laporannya dia mengatakan anaknya mati akibat didera oleh pembantu rumah.

''Tetapi siasatan yang dilakukan selepas itu mendapati suspek tidak mempunyai pembantu rumah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, berikutan itu, suspek yang tinggal di Kondominium Reniville, Taman Puteri Batu 9, Cheras, ditahan di rumahnya pada keesokan harinya.

Tambahnya, turut ditahan teman lelakinya berusia 24 tahun yang dipercayai menjaga mangsa ketika suspek keluar bekerja.

Katanya, pemeriksaan mendapati lelaki terbabit memasuki negara ini menggunakan visa sebagai pelajar di sebuah kolej swasta di ibu negara.

''Kedua-dua suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

sumber daripada utusan malaysia

No comments: