Sunday, October 18, 2009

PASUKAN KELAB TETAP GERUN AKSI PASUKAN GERGASI

Oleh SAYED HESHAM IDRIS

sukan@utusan.com.my


KUALA LUMPUR - Prestasi memuncak pasukan lawan tidak menghalang pasukan bertaraf kelab, Johor FC dan KM Naza memasang impian untuk melepasi peringkat suku akhir saingan Piala Malaysia yang bermula Selasa ini.

Berdepan naib juara Liga Super, Perlis di Stadium JCORP, Pasir Gudang, Johor FC mahu mencari bekalan selesa menjelang perlawanan suku akhir kedua di tempat lawan di Stadium Utama Negeri, Kangar, Sabtu ini.

Pendatang baru, KM Naza pula berhati-hati dengan ketajaman jentera serangan Negeri Sembilan yang meledak 15 gol dalam saingan peringkat kumpulan apabila beraksi di laman lawan, Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban.


Aksi di di gelanggang sendiri bakal menjadi kelebihan jurulatih Johor FC, Ramlan Rashid untuk memburu sebanyak mungkin gol serta memastikan gawang mereka tidak dibolosi.

Namun, ia bukan tugas mudah kerana berdasarkan pertembungan dalam Liga Super, Perlis menang kedua-dua perlawanan dengan Johor FC.

"Rekod pertembungan kami dengan Perlis kurang baik musim ini. Kami kalah 2-1 di tempat sendiri, dan kemudian sekali lagi kalah 1-0 di Kangar.

"Saya mengharapkan bahang semangat aksi dalam kempen Piala Malaysia mampu menukar keputusan tersebut apabila kami berdepan Perlis Selasa ini,'' katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia semalam.

Ramlan mengakui, Perlis sebuah pasukan yang matang kerana dibarisi pemain berpengalaman dan menyifatkan kelebihan memihak kepada Perlis.

"Mereka mempunyai penjaga gol kebangsaan, Mohd. Farizal Marlias, penyerang berpengalaman yang masih lagi beraksi untuk skuad kebangsaan, Nizaruddin Yusof dan pemain lincah, K. Soley.

"Mungkin suasana ketika peringkat saingan kalah mati ini dapat menaikkan semangat dan persembahan kami.

"Aksi separuh akhir ini merupakan langkah pertama kami dalam memperbaiki pencapaian musim lalu apabila mara ke peringkat separuh akhir,'' katanya.

Sementara itu, jurulatih KM Naza, Mohd. Nizam Adha Yusof pula mengakui 'gerun' dengan keupayaan jentera serangan Negeri Sembilan yang menjaringkan 15 gol dan hanya sekali dibolosi ketika saingan peringkat kumpulan.

Statistik itu katanya, membuktikan Negeri Sembilan berada pada puncak prestasi.

"Agak menakutkan apabila saya melihat statistik jaringan mereka. Lantaran memang sukar untuk kami menjadikan aksi di Paroi nanti sebagai peluang untuk mencari kelebihan menjelang perlawanan kedua di tempat sendiri.

"Sebaliknya, saya jangkakan Negeri Sembilan yang akan bermati-matian untuk memburu gol sebagai bekalan selesa sebelum perlawanan suku akhir kedua di Alor Setar nanti.

"Namun, kami juga ada kelebihan sendiri kerana selepas kalah pada perlawanan pertama (peringkat kumpulan) kepada Selangor, kami menang tiga perlawanan. Apa yang melegakan, kami menjaringkan tiga gol di setiap perlawanan yang kami menangi.

"Kami akan berhati-hati di Paroi nanti dengan mempertaruhkan Akmal Rizal yang masih memiliki sentuhan berbisa seperti dahulu,'' katanya.

Tambah Nizam, dalam masa yang sama KM Naza mahu menyekat penjaring terbanyak Negeri Sembilan ketika saingan peringkat kumpulan, Mohamad Zaquan Adha Abdul Razak yang meledak enam gol.

"Selain Zaquan, kami juga perlu mengambil perhatian terhadap lain-lain pemain berpengalaman Negeri Sembilan seperti Shukor Adan, Idris Karim serta Rezal Zambery Yahya.

"Apa yang dapat saya katakan, kami akan mencuba yang terbaik di Paroi nanti,'' kata Nizam lagi.

sumber daripada utusan malaysia

No comments: