Saturday, February 6, 2010

TAUFAN OLI RAGUT 1 NYAWA

ANTARA kediaman yang musnah akibat Taufan Oli yang melanda Paea, barat Tahiti, kelmarin. - AFP

PAPEETE, Tahiti 5 Feb. - Seorang lelaki berusia 40 tahun menjadi korban pertama Taufan Oli, setelah ribut itu melanda kepulauan Pasifik Selatan in semalam.Pesuruhjaya Tinggi Perancis, Eric Spitz berkata, mangsa dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir dan tiupan angin sehingga 200 kilometer sejam yang melanda Kepulauan Austral, beratus-ratus kilometer di selatan Tahiti.

Taufan Oli yang melanda kepulauan itu semalam, turut memaksa pemindahan beribu-ribu penduduk dan pelancong ke pusat pemindahan sementara di gereja, sekolah dan rumah ibadat lain.

Kepulauan yang merangkumi Tahiti itu dikategorikan di bawah paras amaran merah sehingga taufan berlalu dengan semua jalan raya ditutup.

Ombak besar turut melanda pantai di ibu negara Tahiti, Papeete, malah, televisyen Perancis juga memaparkan sebuah kapal tentera laut sedang terumbang-ambing di tengah ribut itu.

Kira-kira 3,500 penduduk di Tahiti dan Moorea yang berisiko dihanyutkan atau dilanda banjir telah pun dipindahkan, menurut pegawai.

Sementara itu, kira-kira 50 buah rumah telah musnah di Moorea.

Berpuluh-puluh penduduk dilaporkan mengalami kecederaan di Bora Bora, termasuk seorang mangsa yang mengalami kecederaan parah selepas terjatuh daripada bumbung.

Bora Bora terletak di kepulauan Iles- Sous-le-Vent, manakala Tahiti dan Moorea berada di kepulauan lain yang dikenali sebagai Iles-du-Vent.

Magali Charbonneau, penasihat kanan pegawai atasan di rantau Perancis dalam siaran radio RFO berkata, kesemua penduduk yang dipindahkan telah ditempatkan di gereja-gereja dan sekolah.

Charbonneau meramalkan, ombak besar sehingga lapan meter akan menghempas pantai itu dan menggesa semua keluarga terutama kanak-kanak supaya menjauhi kawasan tersebut.

Ratusan rumah telah musnah manakala sistem komunikasi dan sumber kuasa telah terganggu akibat taufan itu. - AP

sumber daripada utusan malaysia

No comments: