Tuesday, February 9, 2010

PELAWAT KE PERANCIS DILARANG MEMEKAI BURQA

PARIS 8 Feb. - Rakyat asing yang mahu tinggal di Perancis perlu menandatangani satu kontrak yang mengakui pemakaian burqa adalah diharamkan sama sekali di negara itu, kata seorang menteri hari ini.

Menteri Keluarga, Nadine Morano berkata, klausa 'pengharaman burqa' dan satu peruntukan kedua yang menolak pencabulan hak ke atas wanita, harus ditambah kepada 'kontrak integrasi' yang perlu ditandatangani setiap pendatang baru sejak tahun 2007.

Kerajaan negara tersebut sedang menyusun draf perundangan untuk mengharamkan pemakaian purdah selepas satu laporan Parlimen bulan lalu mencadangkan pengharaman memakai burqa di sekolah, hospital, pejabat kerajaan dan pengangkutan awam.

Morano berkata, kontrak yang perlu ditandatangani pendatang baru itu kini hanya menyatakan perkahwinan paksa dan poligami tidak dibenarkan di Perancis kerana 'kesamaan hak antara lelaki dan wanita adalah prinsip utama dalam masyarakat Perancis'.

Menteri tersebut memberitahu radio Perancis bahawa, klausa yang mengharamkan pemakaian burqa juga perlu ditambah kepada peruntukan berkenaan.

"Saya juga mahu menambah bahawa pencabulan hak ke atas wanita adalah sama sekali dilarang," katanya.

Morano berhasrat mencadangkan perubahan itu pada satu persidangan yang diadakan kerajaan hari ini berhubung perdebatan selama tiga bulan berkaitan identiti Perancis yang telah menimbulkan kebimbangan tentang penghijrahan dan Islam.

Perdana Menteri Francois Fillon minggu lalu berkata, beliau akan menandatangani satu dekri yang melarang pemberian hak kerakyatan Perancis kepada lelaki yang memaksa isteri mereka memakai purdah atau burqa.

Presiden Nicolas Sarkozy sebelum ini menyatakan, burqa tidak 'dialu-alukan' dalam pemerintahan sekular Perancis dan beliau menyokong perundangan mengharamkannya, walaupun Sarkozy pernah memberi amaran yang menentang stigma terhadap orang Islam.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, terdapat antara lima hingga enam juta orang penganut Islam di Perancis. Kerajaannya kini sedang berdebat mengenai langkah-langkah untuk mengharamkan purdah walaupun hanya kira-kira 1,900 wanita dilapor memakai burqa.-AP

sumber daripada utusan malaysia

No comments: