Saturday, February 6, 2010

CHONG WEI TIADA TANDINGAN


Lee Chong Wei tidak menghadapi banyak masalah ketika menyingkirkan pemain muda negara, Mohd. Arif Latif untuk ke separuh akhir Grand Prix Kebangsaan Akhir di Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/NASIRRUDDIN YAZID

JOHOR BAHRU - Datuk Lee Chong Wei terus memburu satu lagi pencapaian terhebat dalam sejarah badminton tempatan apabila melangkah ke separuh akhir Grand Prix Kebangsaan Akhir untuk menghampiri kejuaraan kelapan berturut-turut semalam.

Selepas tamat tiga perlawanan pertama, jaguh No. 1 dunia itu terlalu unggul apabila menjinakkan semua lawan dengan mudah, dan mangsa terbaru adalah pemain pelapis negara, Mohd. Arif Abdul Latif yang ditewaskan 21-9, 21-17 untuk muncul juara Kumpulan A.

Chong Wei kini bakal diuji rakan seperguruan, Chan Kwong Beng, yang semakin menunjukkan peningkatan prestasi dan menjadi calon terbaik untuk mengisi skuad Piala Thomas.

Kwong Beng, yang menjadi rakan sparring Chong Wei sejak dua tahun lalu menjuarai Kumpulan C selepas mengejutkan pemain pelapis kebangsaan, Liew Daren 21-16, 22-20.

Satu lagi separuh akhir menemukan pemain senior, Kuan Beng Hong dan pemain pelapis No. 1 negara ketika ini, Tan Chun Seang.

Sementara itu beregu No. 2 negara, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Abdul Latif mengotakan janjinya untuk menggunakan Grand Prix Kebangsaan Akhir sebagai medan pemulih imej apabila melangkah ke separuh akhir selaku juara B.

Disingkirkan daripada skuad ke Seluruh England tidak mematahkan semangat bekas juara Terbuka Indonesia dan Singapura itu apabila menewaskan beregu senior, Chan Chong Ming-Chew Choon Eng 24-22, 21-18.

Fairuzizuan-Zakry kini akan diuji satu lagi pasangan veteran negara, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah di separuh akhir hari ini, manakala Mak Hee Chun-Tan Wee Kiong dan Goh Wei Shem-Vountus Indra Mawan menempah satu lagi slot separuh akhir.

Separuh akhir perseorangan wanita pula menyaksikan dominasi empat pemain kebangsaan diketuai Lydia Cheah yang akan bertemu Sonia Cheah, manakala Yang Li Lian menentang Tee Jing Yi.

Dalamberegu wanita, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui unggul menjuarai Kumpulan A untuk berdepan Goh Liu Ying-Nairul Suhada Abdul Latif.

sumber daripada utusan malaysia
Oleh HANIZA HASSAN
sukan@utusan.com.my

No comments: