Saturday, February 27, 2010

DETIK PARANG DIACU SUKAR DILUPAKAN



Ratnawati Jamil menerangkan kepada pemberita kejadian rompakan yang berlaku di rumahnya di Jalan Pegaga, Kota Damansara, Kuala Lumpur, semalam.

PETALING JAYA 26 Feb. - Seorang penulis kanan di sebuah anak syarikat Kumpulan Media Prima, Ratnawati Jamil tidak dapat melupakan detik-detik cemas apabila sebilah parang diacu pada leher anak bongsunya, ketika rumah mereka dipecah masuk tiga penjenayah kelmarin.

Ratnawati yang bertugas di syarikat Primework Studios memberitahu, ketika itu, penjenayah tersebut meletakkan parang pada leher anaknya yang berusia tujuh tahun sambil meminta dia menyerahkan semua barangan berharga.

"Saya tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya berserah kepada Tuhan. Semasa itu, saya hanya fikir nyawa anak saya hampir melayang.

"Sehingga kini, saya masih tidak dapat melupakan insiden itu. Setiap kali saya cuba melelapkan mata, saya masih terbayang kejadian itu," kata wanita berusia 47 tahun ini menceritakan kejadian di rumahnya di Seksyen 8, Kota Damansara kelmarin.

Dalam kejadian itu, Ratnawati kerugian kira-kira RM40,000 selepas rumahnya dimasuki tiga penjenayah bersenjatakan parang.

Beliau yang merupakan bekas Editor Majalah MASSA terbitan Utusan Melayu (M) Berhad ditemui pada majlis Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed bersama penduduk Kota Damansara di sini hari ini.

Menurut Ratnawati, kejadian itu akan dijadikan sebagai pengajaran supaya lebih berhati-hati dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang masa.

"Saya tetap akan tinggal rumah ini walaupun saya dan keluarga trauma selepas diserang penjenayah tersebut. Namun, saya meminta penjenayah itu tidak menyimpan dendam terhadap saya dan keluarga," katanya.

Sementara itu Arjunaidi berkata, setakat hari ini polis belum melakukan sebarang tangkapan berhubung kes tersebut.

Katanya, polis telah mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kejadian itu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam tempoh sebulan, empat kejadian samun dilaporkan berlaku di kawasan perumahan ini.

"Berdasarkan siasatan awal, modus operandi keempat-empat kes ini hampir sama dan kejadian berlaku sebelum pukul 10 malam.

"Bagaimanapun ini tidak bermakna kesemua kejadian itu dilakukan kumpulan sama," jelasnya.
Tambah beliau, pengawal keselamatan di kawasan itu hanya akan bertugas dari pukul 11 malam hingga 7 pagi


sumber daripada utusan malaysia

No comments: