Tuesday, February 9, 2010

LEGION : ILHAM DARI KITAB LAMA


ANTARA babak-babak mencemaskan daripada filem Legion.


DALAM filem ini angel atau malaikat diberikan watak yang berbeza, menjadi musuh manusia atau syaitan yang merasuk. Tuhan juga dinaratifkan sebagai sudah bosan dengan tingkah laku manusia. Lalu Dia memerintahkan malaikat merasuk manusia untuk kemudiannya memusnahkan manusia. Ini adalah sebahagian daripada elemen yang mendasari cerita dalam filem Legion ini.

Legion sebuah filem yang lakonlayarnya ditulis oleh Peter Schink dan Scott Stewart sendiri sebenarnya cuba mengambil kisah Legion yang telah menjadi sebahagian daripada budaya popular dalam masyarakat barat yang didasari oleh agama Kristian. Kisah Legion kononnya tercatat dalam Injil Perjanjian Baru yang ditulis oleh Mark, Luke dan Matthew tentang pertemuan Isa dengan seorang lelaki telah dirasuk oleh kuasa syaitan yang apabila ditanya namanya, dia mengatakan Legion dan dia datang dengan banyaknya. Legion kemudiannya menjadi sebahagian daripada budaya popular yang muncul dalam komik, muncul dalam cebisan dalam filem-filem dan buku-buku seram. Sejak sekian lama Hollywood sebenarnya sentiasa terpesona dan memperlihatkan pengaruh kisah daripada kitab-kita agama dan mitos keagamaan dalam filem-filem mereka. Maka tidak hairan jika filem Legion ini juga cuba membawa elemen keagamaan dan juga seram sekaligus.

Bukan sahaja pengaruh keagamaan tetapi saya turut melihat pengaruh daripada filem Terminator (1984, James Cameron) )tentang kemunculan cyborg - The Terminator yang perlu menyelamatkan bayi lelaki dalam kandungan Sarah Connor daripada dimusnahkan oleh watak cyborg yang lain. Bayi lelaki ini dikatakan bakal menyelamatkan umat manusia di masa akan datang. Dalam Legion, watak Charlie (Adrianne Palicki) seorang pelayan restoran Paradise Falls yang terletak di tengah gurun sedang mengandung akibat hubungan haramnya dengan seorang lelaki yang telah meninggalkannya. Dalam kekecohan akibat seorang wanita tua aneh bertindak ganas membunuh beberapa orang pelanggan restoran tersebut, muncul seorang lelaki misteri Michael (Paul Bettany) untuk menyelamatkan mereka semua. Michael sebenarnya adalah Malaikat bersama satu lagi Malaikat, Gabriel (Kevin Durand) telah diperintahkan oleh Tuhan untuk memusnahkanmanusia. Tetapi Michael tidak mematuhi arahan tersebut, memotong sayapnya lalu cuba membantu sekumpulan manusia di restoran tersebut daripada dimusnahkan oleh Gabriel. Tetapi tujuan utama Michael sebenarnya untuk menyelamatkan Charlie dan bayi dalam kandungannya daripada dimusnahkan oleh Gabriel dan sejumlah manusia yang telah dirasuk syaitan lalu menjadi "zombie". Di sini watak Cyborg Terminator dan Michael si malaikat, hampir sama, bermula dengan tujuan untuk memusnahkan tetapi kemudian bertindak sebagai bapa untuk menyelamatkan umat manusia di masa akan datang melalui watak bayi lelaki yang bakal dilahirkan. Seperti Cyborg Terminator, Michael juga akhirnya memusnahkan watak Gabriel.

Legion sebenarnya adalah filem kelas B yang cuba mengangkat tema keagamaan dalam jalur filem seram yang telahpun dibawakan oleh filem-filem kelas A yang lebih besar. Malah idea dan tema keagamaan ini bukanlah perkara baru. Hollywood nyata begitu terpesona dengan persoalan kiamat atau kemusnahan alam. Paling terbaru adalah filem 2012. Lebih malang bagi Legion, ia tidak datang dengan plot yang lebih meyakinkan atau idea yang lebih baru. Hal ini kerana beberapa persoalan utama yang dibangkitkan dalam plot filem ini tidak dijawab dengan meyakinkan. Umpamanya, apa pentingnya kanak-kanak itu untuk menyelamatkan manusia di masa akan datang. Lebih buruk kehadiran para zombie juga kelihatan begitu klise, melucukan selain gagal membantu menguatkan filem ini.

Filem seburuk Legion adalah sebahagian daripada kitaran dalam industri filem Hollywood yang memperlihatkan pusingan bawah setelah filem-filem besar Hollywood menguasai pasaran. Filem jenis ini selalunya hanya layak untuk dipasarkan melalui dvd.

sumber daripada utusan malaysia

No comments: