Wednesday, February 17, 2010

FILEM SERAM YANG SURAM



BIARPUN Hollywood sering disindir sudah kekeringan cerita apabila masih mahu mengulang semula cerita lama, tetapi masih terdapat eksekutifnya yang yakin ada penonton akan terpesona dengan pendekatan sedemikian.

Bagi mereka, bukankah cerita yang ada hari ini sekadar pengulangan cerita-cerita yang sudah selalu diceritakan? Tetapi mengulang tema tentulah juga tidak sama dengan 'membikin semula' filem yang sudah pernah dihasilkan dahulu.

Apabila produksi Hollywood masih ghairah membikin semula filem lama, tentulah ada yang hendak mereka buktikan kepada khalayak baru hari ini.

Filem The Wolfman yang diarahkan oleh Joe Johnston daripada lakon layar tulisan Andrew Kevin Walker dan David Self ini merupakan pembikinan semula filem The Wolfman tahun 1941 arahan George Wagger. Persoalannya, apakah sentuhan dan pendekatan Johnston kali ini mampu memberikan sesuatu yang baru dan lebih menarik daripada filem asal atau mampu memberikan dimensi baru kepada genre ini?

Sebelum filem The Wolfman, kisah manusia serigala jadian ini lebih dahulu memasuki pasaran arus perdana filem Hollywood melalui filem Werewolf in London, 1935.

Bagaimanapun, filem yang dianggap klasik dalam siri manusia serigala jadian ini ialah filem An American Werewolf in London (1981) arahan John Landis.

Filem ini mengisahkan dua pelajar remaja Amerika di London diserang serigala hingga menyebabkan kematian dan trauma hingga bertukar menjadi serigala jadian lalu memburu mangsa di kota London.

The Wolfman bukan sahaja dianggap antara filem serigala jadian terbaik tetapi kesan solekannya yang menukar fizikal manusia menjadi serigala dianggap telah membawa revolusi kepada mekap untuk filem seram dekad 1980-an.

Kisah serigala jadian dalam kehidupan manusia telah menjadi sebahagian daripada mitos masyarakat Barat.

Mitos ini menjadi sebahagian daripada tradisi dalam genre filem seram Hollywood iaitu konsep seram yang menyaksikan transformasi manusia menjadi makhluk menakutkan seperti konsep transformasi dalam filem Frankenstein. Inilah konsep yang diulang dalam filem The Wolfman.

Filem The Wolfman mengambil latar di Blackmoor, England sekitar tahun 1891 yang bermula dengan kematian Ben Talbot akibat diserang oleh mahkluk yang tidak diketahui.

Kematian Ben memaksa Lawrence (Benicio del Toro) kembali dari Amerika. Kepulangan Lawrence ke rumah besar bapanya Sir John Talbot (Anthony Hopkins) itu menyingkap misteri kehidupan bapanya dan kematian ibu serta adiknya, Ben.

Bagaimanapun, Lawrence sendiri kemudiannya cedera parah ketika cuba menyelamatkan kanak-kanak Gipsi daripada serangan serigala. Kesan daripada kecederaan itu telah menukar hidup Lawrence apabila dia kemudian berubah menjadi serigala apabila tiba waktu malam ketika bulan mengambang.

Walaupun Lawrence yang berubah menjadi serigala adalah 'monster' yang ganas dan kejam, tetapi anehnya dia mengenali dan tidak pula menyerang Gwen Conliffe (Emily Blunt) yang pernah menjadi tunang adiknya dan dia sendiri mula menyukainya.

Naratif filem The Wolfman versi Joe Johnston ini tidak ada yang baru dan segar. Malah naratif keseluruhan filem ini gagal. Filem The Wolfman ini bukan sahaja khabarnya terpaksa melalui beberapa penggambaran semula dan penyuntingan semula.

Filem ini seharusnya menjadi ruang untuk memperlihatkan kehebatan lakonan Benicio del Toro dan Anthony Hopkins. Tetapi kemuncak dramatik yang diharapkan tidak berlaku. Sebaliknya, pertempuran antara keduanya dalam adegan akhir yang sudahpun dijangka, lebih diingat sebagai pertempuran antara dua binatang.

Bahkan, transformasi serigala yang berlaku ketika bulan mengambang selain daripada ulangan stereotaip, efeknya tidak mencengkam dan dramatik seperti dilakukan oleh John Landis dalam filem An American Werewolf in London.

Apabila sesebuah filem itu dibikin semula, selain keistimewaan filem yang dahulu, maka filem baru ini seharusnya akan mengemukakan agenda pemikiran dan konflik politik yang baru walaupun landasnya daripada naratif yang lama. Malangnya filem ini sekadar ulangan. The Wolfman hanyalah sebuah filem biasa yang tenggelam dan berakhir dalam kesuraman visualnya.

sumber daripada utusan malaysia

No comments: