Friday, January 15, 2010

TIADA 'TANGAN GHAIB' DALAM AJL24


KEPUTUSANNYA muktamad. Panel juri yang bijaksana sudah pun melaksanakan tanggungjawab mereka untuk memilih barisan pemenang Anugerah Juara Lagu Ke-24 (AJL24) yang melabuhkan tirainya malam Ahad lalu.

Kemenangan lagu Pergi hasil kolaborasi dua nama besar industri muzik, Pete Teo dan Amran Omar boleh dikatakan keputusan yang agak mengejutkan.

Masakan tidak, sedari awal, ramai yang meramalkan lagu Bencinta ciptaan gandingan mantap, Audi Mok dan Faizal Tahir akan mengungguli AJL24.

Selain Bencinta, lagu Cinta Adam dan Hawa juga telah dicanang dari awal dan dilihat berpotensi untuk merangkul gelaran keramat itu.

Tetapi, sudah tertulis bahawa rezeki tidak berpihak kepada kedua-dua lagu itu untuk bergelar juara dan Bencinta hanya mampu berpuas hati dengan kedudukan tempat ketiga sahaja.

Puas hati atau tidak dengan keputusan AJL24, semuanya harus diterima secara terbuka.
Sehingga ke hari ini juga, pelbagai andaian dan dakwaan nakal mula diperkatakan.

Semuanya mengaitkan kemenangan lagu Pergi kerana ada unsur favouritisme! Kenapa mudah benar kita membuat telahan yang sedemikian.

Tolak ke tepi kalau benar andainya ‘tangan-tangan ghaib’ yang cuba mempengaruhi keputusan AJL kali ini.

Ini kerana bagi Ketua Juri AJL24 yang dilantik, Fauzi Marzuki, soal favouritisme langsung tidak wujud dalam pemilihan pemenang kali ini kerana 14 buah lagu yang bertanding untuk AJL24, semuanya memiliki kualiti yang tersendiri.

Malah katanya, barisan juri berdepan dengan situasi yang menyukarkan untuk memilih pemenang yang benar-benar layak untuk diangkat sebagai juara.

Dalam soal ini, katanya, Pergi memiliki kriteria lengkap sekali gus layak untuk memenangi Juara Lagu.

“Lagu Pergi terserlah dengan sendirinya dan semuanya itu dapat dilihat dari awal lagi sejak penjurian dijalankan.

“Bukan itu sahaja, lagu ini turut memiliki emosi yang bagus dan apa yang penting adalah melodi serta liriknya diadun dengan baik.

“Malah, jika didengar lagu ini dengan teliti, ia miliki momentum untuk membawa penonton merasai apa yang cuba disampaikan menerusi karya ini biarpun ia merupakan sebuah lagu yang cukup ringkas,” katanya Fauzi sewaktu ditemui pada sidang media sejurus selepas AJL24 berakhir.

Kemenangan lagu Pergi itu melayakkan Pete, Amran dan Aizat membawa pulang hadiah kemenangan berupa wang tunai RM35,000 beserta trofi.

Barisan juri yang dipilih untuk mengadili AJL24 terdiri daripada Hazami, Dr. Syed Ahmad Faizal Al-Attas (Pacai), Dr. Wan Zawawi, Fatimah Abu Bakar, Datuk Siti Nurhaliza, Zainal Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan.

Bagi Aizat, membawakan lagu Pergi bukanlah semudah yang disangka. Lagu itu menuntut penghayatan dan emosi yang begitu mendalam untuk menterjemahkan intipati lagu itu kepada khalayak.

Untuk itu, sejak dua minggu lalu sebelum pertandingan berlangsung dia sudah menyiapkan dirinya dari segi mental dan fizikal selain menumpukan aspek vokal untuk persembahannya.

Seperti mana kata Aizat sebelum ini, dia tidak mahu terlalu tertekan memikirkan soal kemenangan kerana dia hanya mahu memberikan persembahan yang dapat diingati dan dikenang.

Aizat yang turut bertanding menerusi lagu ciptaannya sendiri, Kau Aku memberitahu biarpun bertanding dengan dua buah lagu itu, itu bukan alasan untuknya melebihkan mana-mana karya.

“Syukur Alhamdulillah, sudah menjadi rezeki lagu Pergi untuk memenangi AJL kali ini dan saya memang tidak menyangka lagu ini akan menang.

“Ini merupakan kemenangan pertama saya menjuarai mana-mana pertandingan kerana sebelum ini saya memang tidak pernah menang apa-apa (ketawa),” katanya yang masih seperti tidak percaya dengan kemenangan besar pada malam kemuncak itu.

Dari kaca mata Aizat, lagu Pergi serta Kau Aku memiliki keistimewaan tersendiri dan sebagai penyanyi dia tidak memberi keutamaan pada mana-mana lagu sewaktu membuat persembahan.

Kekuatan lagu Pergi ujar anak muda berusia 20 tahun itu terletak pada situasi dan perasaan lagu itu yang mampu membangkitkan rasa kepada pendengar.

“Untuk AJL ini, saya rasa lagu tersebut banyak dibantu oleh muzik orkestra dan mereka yang terlibat secara langsung atau tidak,” katanya yang memberikan persembahan yang cukup menyentuh perasaan menerusi lagu Pergi yang menerapkan elemen 1Malaysia.

Persembahan Aizat pada malam itu dikuatkan lagi dengan penampilan penyanyi India bernama Alinda serta pemain erhu berbangsa Melayu, Endang.

Siapa pun tak dapat menafikan, saat menjuarai AJL merupakan momen paling indah bagi setiap artis yang mengecapi nikmat itu.

Tetapi, ada kalanya kemenangan itu dilihat seperti badi buat sesetengah pemenang yang kerjaya seni mereka tidak sehebat mana selepas menjuarai AJL.

Saat diajukan soal ini kepada Aizat, sebagai seorang anak seni yang masih lagi hijau dalam industri seni, dia mahu memandang semua aspek dari sudut positif.

Kemenangan AJL bukanlah satu titik noktah bagi anak muda ini sebaliknya, dia sendiri sudah merangka perjalanan seninya demi perjuangan serta minatnya dalam dunia nyanyian dan penciptaan lagu.

“Sejak awal menjadi artis, saya sudah tekad dan menanam impian untuk membawa muzik Melayu jauh ke peringkat yang lebih tinggi.

“Malah, saya juga tidak akan lemah semangat untuk terus belajar dalam mendalami ilmu muzik demi kebaikan saya sebagai seorang penyanyi dan komposer.

“AJL bukan garis penamat bagi kerjaya saya kerana perjalanan saya masih terlalu jauh dalam bidang ini dan apa yang saya harapkan adalah sokongan daripada semua pihak untuk saya bertahan lama dalam industri ini,” katanya penuh makna.

Mengulas kemenangannya untuk kategori Persembahan Terbaik menerusi lagu Kau Aku, dia berterima kasih kepada ahli keluarganya dan warga kerja syarikatnya, Kasi Gegar Entertainment yang bertungkus-lumus memerah otak dalam menzahirkan idea persembahannya.

Menampilkan lebih daripada 30 orang pelajar sekolah rendah dan menengah dari beberapa buah sekolah sekitar Kuala Lumpur untuk mengiringi persembahannya, ternyata ia pelaburan yang cukup berbaloi buat Aizat yang memenangi wang tunai RM10,000 dan trofi.

Sementara itu, naib juara yang disandang oleh Yuna menerusi lagu ciptaannya sendiri, Dan Sebenarnya juga tidak menyangka sama sekali akan meraih kemenangan pada malam itu.

Kata anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini peluang menjejakkan kaki ke pentas AJL sudah memadai baginya dan apatah lagi untuk bertanding dengan karya-karya hebat lain membuatkan dirinya benar-benar terharu.

Seperti mana Aizat, pengiktirafan tersebut bagi Yuna merupakan pembakar semangat baginya untuk terus memperkasakan namanya di persada seni tanah air.

Dengan kemenangan itu, Dan Sebenarnya melayakkan Yuna membawa pulang wang tunai RM15,000 dan trofi.

“Kini, saya sudah menjadi artis arus perdana dan bukan lagi artis yang bergerak secara indie. Sudah semestinya saya mahu terus berada lama dalam industri.

“Kerana itu juga, saya mahu terus meningkatkan prestasi saya sebagai penyanyi dan komposer sekali gus ia memberikan tekanan buat saya.

“Saya juga tidak mahu statik dalam muzik serta karya saya dan akan terus bereksperimentasi dengan elemen muzik baru,” jelasnya yang kini sedang sibuk menyiapkan album pertamanya dan juga sedang berunding dengan beberapa buah syarikat rakaman di Amerika Syarikat untuk menjadi artis rakaman di sana.

Biarpun sekadar menduduki tempat ketiga, Faizal ternyata berpuas hati dengan kemenangan Bencinta yang dicipta bersama Audi.

Kata Faizal, dia gembira melihat Bencinta menerima pengiktirafan di AJL memandangkan sebelum ini dia agak skeptikal dengan penerimaan pendengar tempatan terhadap lagu tersebut.

MELOPONG MULUT

Masakan tidak, lagu tersebut memiliki rentak dan ritma yang cukup berbeza dan agresif serta berbeza dengan apa yang pernah dibawakannya sebelum ini.

“Pada awal Bencinta dimainkan di radio, saya menerima pelbagai reaksi terhadap muzik yang saya tampilkan menerusi lagu tersebut.

“Jadi, apabila Bencinta menang tempat ketiga malam ini, saya bersyukur kerana perubahan yang saya lakukan diterima dengan baik oleh peminat dan juri yang menilai karya ini.

“Sebagai pengkarya, saya tidak boleh menghasilkan lagu yang sudah saya lakukan sebelum ini dan harus berani mencuba sesuatu yang baru,” ujarnya yang kini sedang popular dengan lagu terbarunya, Selamat Malam dan akan muncul dengan album keduanya tidak lama lagi.

Hasil kemenangan itu melayakkan Faizal dan Audi memenangi wang tunai sebanyak RM12,000 beserta trofi.

Menyentuh tentang persembahannya, Faizal memberitahu, dia mengambil masa yang lama untuk memberikan jawapan sebelum mengambil keputusan untuk beraksi di pentas AJL24.

Biarpun beraksi dalam kesakitan yang ditanggungnya sejak berbulan-bulan lalu, namun Faizal tetap optimis untuk tampil memberikan persembahan sebaik mungkin.

“Saya hanya memikirkan untuk membuat persembahan sahaja dan apa yang berlaku selepas itu tiada dalam fikiran.

“Mujur saya mempunyai penari yang banyak menghidupkan persembahan biarpun mengikut perancangan awal, saya sudah menyediakan pelan saya untuk menjadikan persembahan saya sesuatu yang besar,” katanya panjang lebar.

AJL24 juga mempamerkan kejutan yang membuatkan penonton melopong mulut apabila Black dinobatkan sebagai Vokal Terbaik.

Masakan tidak, berdasarkan persembahan pada malam itu, nama-nama seperti Alyah, Misha Omar, Aizat dan Hafiz antara yang memberikan mutu vokal yang mantap.

Masih lagi terkejut dengan keputusan itu, Black yang juga juara Mentor 3 itu menyangka kemenangan akan berpihak kepada Misha.

“Tetapi, inilah yang dinamakan rezeki dan penuh jujur saya mengatakan, memang saya idam gelaran ini tanpa memikirkan untuk memenangi kategori lain.

“Bimbang juga tidak mampu beraksi dengan baik memandangkan pada pagi pertandingan, saya tidak sihat kerana demam dan sakit tekak.

“Mujurlah, semuanya berjalan lancar dan saya bersyukur dengan kemenangan ini,” jelas Black yang tidak mempunyai sebarang perancangan lagi dengan wang kemenangan RM10,000 yang dimenanginya itu.

sumber drpd utusan malaysia

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZALshazryn.faizal@utusan.com.myGambar AHMAD ZAKKI JILAN dan NOOR ASREKUZAIREY SALIM

No comments: