Monday, January 11, 2010

MENCARI DAMAI ABADI

Manusia tidak dapat mengelakkan diri daripada menghadapi ujian dan dugaan dalam hidup. Ia sudah menjadi lumrah hidup.Para nabi dan rasul juga ditimpa pelbagai kesusahan, penderitaan, ujian dan dugaan.

Mereka menghadapinya dengan dada lapang, dengan iman yang teguh, penuh sabar, yakin dan percaya kepada Allah bahawa segala ujian mengandungi hikmat dan rahsia. Mendekatkan diri kepada ajaran Islam boleh memberi kebahagiaan dan ketenangan jiwa.

Islam menyarankan syarat untuk mendapatkan ketenangan jiwa ialah melatih diri mengerjakan ibadat solat walau dalam apa jua keadaan pun.Ibadat ini mampu mengukuhkan jiwa dan peribadi kita.

Perlu disedari kadangkala manusia tidak berjaya mententeramkan jiwa yang gelisah bagi menghadapi kesusahan dan mengatasi kesedihan walaupun mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi dan kemewahan hidup.

Kehidupan dunia ini akan hilang dan berakhir, akhiratlah yang kekal abadi..

Orang yang mulia dan berpangkat di dunia ini tidak semestinya mulia dan berpangkat pula di akhirat. Boleh jadi orang yang kaya di dunia menjadi miskin kebaikan di akhirat. Orang yang miskin di dunia mungkin kaya pula di akhirat. Orang yang hina di dunia mulia di akhirat.

Manusia di dunia ini bagaikan musafir, dunia hanyalah tempat persinggahan sedangkan akhiratlah tempat menetapnya. Maka sesiapa yang menggunakan segala usaha, masa, kerja dan hartanya semata-mata untuk dunia, kemudian ia pergi meninggalkan dunia ini ke akhirat tanpa membawa sedikit pun amalan. Maka ia bagaikan orang musafir yang membelanjakan segala hartanya di tengah perjalanan, kemudian balik ke negeri dengan tangan kosong. Alangkah ruginya….

BEKERJALAH SEOLAH-OLAH KITA AKAN HIDUP SELAMA-LAMANYA..
BERIBADATLAH SEOLAH-OLAH KITA AKAN MATI ESOK HARI…

No comments: