Saturday, January 23, 2010

FATEHAH GAGAL LEPASI PUSINGAN AWAL PIALA DUNIA KLASIK


KUALA LUMPUR - Aksi pembukaan pasukan lumba basikal trek negara dalam saingan siri Piala Dunia Klasik di Beijing semalam agak hambar selepas pelumba tunggal wanita, Fatehah Mustapa (gambar) dan pasukan pecut lelaki, gagal melayakkan diri ke peringkat akhir.

Fatehah yang mengambil bahagian dalam acara pecut individu kelayakan wanita, sekadar menduduki tempat ke-22 dari 25 pelumba, dengan catatan masa 12.174 saat, seterusnya gagal untuk mara ke pusingan suku akhir.

Pelumba kelahiran Terengganu itu sudah beraksi selama dua tahun dalam kejohanan tersebut, dan pemegang rekod kebangsaan acara tersebut dengan catatan 11.379s.

Namun, perjuangan Fatehah dalam kejohanan tersebut bukan hanya tersekat di situ sahaja, dia bakal turun beraksi hari ini dalam acara 500 meter ujian masa.

Sementara itu, pasukan pecut lelaki juga gagal menempatkan diri dalam saingan akhir apabila trio Edrus Yunos, Josiah Ng Onn Lam dan Hafiz Sufian mencatat masa 46.137s untuk menduduki tempat ke-14.

Bagaimanapun, hari yang suram ini dijangka bertukar ceria apabila pelumba trek harapan negara Azizulhasni Awang, bakal memulakan cabaran hari ini bagi acara keirin dalam usaha untuk mengulangi pencapaiannya tahun lepas (musim 2008-2009) apabila menewaskan Gregory Bauge dari Perancis pada pusingan akhir untuk meraih pingat emas.

Walaupun dia akan turun sebagai wakil dari pasukan Bike Technologies dari Australia, kejayaan memang diharapkan dari atlet ini yang dijangka akan menamatkan zaman bujang dengan gadis pilihannya, Athiah Ilyana Abdul Samat, hujung bulan ini.

Pelumba berusia 22 tahun itu, gagal berbuat demikian pada dua siri Piala Dunia Klasik yang disertainya sebelum ini, iaitu di Manchester, England dan Melbourne, Australia.

Azizulhasni kini mengumpul 10 mata untuk berada di kedudukan keenam, manakala pelumba dari Jerman, Maximilian Levy mendahului di tempat pertama dengan 15 mata di dalam acara keirin.

Musim 2009-2010 Piala Dunia Klasik ini Azizulhasni pernah memenangi pingat perak dalam acara keirin, ketika siri kedua di Melbourne, Australia, pada November tahun lepas.

Aksinya sangat cemerlang pada musim 2008- 2009, selepas memenangi dua siri Piala Dunia di dalam acara keirin iaitu Melbourne (siri kedua) dan Beijing (keempat), yang menyaksikannya menyarung jersi putih selaku pendahulu pungutan mata keseluruhan apabila beraksi pada Kejohanan Trek Dunia di Pruskow, Poland tahun lepas.

sumber daripada utusan malaysia

No comments: