Saturday, January 30, 2010

CABARAN KE PUNCAK KILIMANJARO


KEINDAHAN Aconcagoa, Mont. Blanc, Kalapathar, Mera Peak, Island Peak dan Everest adalah antara pemandangan terbaik yang pernah disaksikan sepanjang penglibatan penulis dalam aktiviti daki gunung.

Namun di antara puncak-puncak tertinggi dunia itu tidak ada satu pun yang dapat menandingi keindahan Gunung Kilimanjaro di Tanzania.

Berbeza dengan kebanyakan gunung-gunung di Eropah dan Himalaya yang diselaputi salji, pendakian ke puncak setinggi 5,895 meter itu menyajikan lima pemandangan yang berbeza.

Pendakian dari Machame Gate bermula dengan kehijauan hutan tropika sebelum memasuki kawasan moorland yang ditumbuhi flora dan fauna yang unik.

Seterusnya, perjalanan melalui kawasan Alphine Desert yang dikelilingi hamparan batu Barranco Wall dan Lava Tower, manakala laluan turun ke Mweka Gate pula dipenuhi dengan taman-taman batu (rock garden) yang sungguh indah.

Itulah sebahagian daripada pengalaman yang dapat dikongsi bersama pembaca Utusan Malaysia selepas ekspedisi yang diadakan pada 22 November hingga 4 Disember tahun lalu.

Cabaran itu merupakan sebahagian daripada latihan Projek Everest 2010 anjuran Persatuan Kembara Negara (PKN) pada Mac tahun 2011.

Namun, cabaran untuk mendaki puncak tertinggi di benua Afrika itu bukanlah kerja yang mudah apatah lagi dalam keadaan cuaca yang sangat ekstrem.

Kumpulan kami yang terdiri daripada lapan pendaki termasuk seorang pendaki wanita mengambil masa hampir seminggu di negara itu untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran.

Bagi penulis, ia merupakan percubaan kali kedua menakluk Uhuru Peak. Misi pada 2005 tidak berjaya kerana penulis hanya berjaya sampai ke Stella Point, kira-kira satu kilometer dari puncak.

Berikut adalah catatan perjalanan penulis selaku ketua ekspedisi pendakian Kilimanjaro, baru-baru ini.

Angin sejuk di bawah suhu 10 darjah celsius ini tidak menunjukkan tanda-tanda mahu reda.
Kami tidak mempunyai banyak pilihan dan terpaksa meneruskan pendakian ke Puncak Uhuru.


Perjalanan bermula pada pukul 11 malam.
Perjalanan pada waktu malam memperlihatkan keindahan langit yang dihiasi taburan bintang dan sinaran bulan. Di sepanjang laluan kelihatan lampu-lampu suluh yang dipakai oleh pendaki.

Selain kami, beberapa kumpulan pendaki dari Jerman, Poland dan Amerika Syarikat yang turut memulakan pendakian pada waktu hampir sama.

Berdasarkan pengalaman lalu, pendakian memakan masa lapan jam. Oleh itu, perjalanan empat jam yang pertama dilakukan secara pecut bagi membolehkan ahli kumpulan mendapat rentak masing-masing.

Di laluan yang sesak dengan pendaki-pendaki lain itu, penulis tidak menyedari bahawa pergerakan penulis sebenarnya agak laju, meninggalkan ahli kumpulan jauh di belakang.

Pada masa itu hanya seorang sahaja peserta yang berada di depan iaitu Angah. Penulis memperlahankan langkah sehingga dua pendaki PKN berjaya menghampiri. Maklumat yang disampai ketika itu mengatakan tiga daripada pendaki sudah diserang Penyakit Akut Gunung (AMS).

Kay yang diserang AMS sejak hari kedua pendakian dinasihatkan turun oleh jurupandu. Walaupun sudah beberapa kali muntah, semangatnya masih kental untuk meneruskan pendakian.

Perjalanan diteruskan sehingga 200 meter terakhir sebelum tiba di Stella Point. Laluan dari Kem Barafu itu adalah antara cabaran paling getir di Kilimanjaro.

Fajar yang menyinsing menyambut kehadiran kami sekali gus menyajikan satu pemandangan yang mengasyikkan. Begitu juga sepanjang meniti trek yang mendatar, kami seolah-olah meniti di bawah awan dan kabus yang memutih.

Dalam perjalanan menuju Uhuru Pea, kami berselisih dengan Kay dan satu-satunya peserta wanita Jaja yang sedang melawan arah. Rupa-rupanya keadaan Kay yang semakin teruk tidak membenarkannya tinggal terlalu lama di puncak.

Kami menghabiskan masa kira-kira setengah jam di puncak. Terpegun menyaksikan keindahan bongkah-bongkah ais dan glasier yang menghiasi permukaan gunung-ganang yang menembusi awan.

Dalam perjalanan turun, kami berselisih dengan dua lagi pendaki PKN iaitu Caer dan Awan yang berlenggang tanpa menggalas beg.

Rupa-rupanya kesengsaraan di laluan mendaki bukan sahaja pada kami malah kedua-dua mereka juga seperti tidak tertanggung.

Caer adalah seorang lagi pendaki mangsa AMS yang terpaksa menyerahkan beg kepada jurupandu untuk dibawa turun.

"Saya seperti hilang power. Terpaksa berbaring dan menahan rasa mengantuk yang teramat sangat," ujarnya sambil menguap lantaran cuaca yang terlalu sejuk.

Selang 20 minit, muncul pula Pak Am yang merupakan Ketua Pendaki, juga berlenggang tanpa beg dan baru sahaja menghabiskan masa di Stella Point untuk berehat.

Sememangnya laluan mendaki Kilimanjaro tidak semudah yang disangka. Setelah lapan jam mendaki, seluruh badan terasa penat yang tidak tertahan.

Cerun mencanak bersudut kira-kira 60 darjah perlu dilepasi semasa mendaki dan turun. Laluan yang dipenuhi dengan batu-batu kecil bercampur pasir seringkali memaksa pendaki mengatur langkah dengan lebih cermat dan perlahan.

Namun selepas mengharungi segala pahit getir, kumpulan kami yang dianggotai lapan pendaki mencapai kepuasan yang hanya diketahui oleh mereka yang pernah menjejakkan kaki di puncak itu.

sumber daripada utusan malaysia
Oleh DATUK KHALID YUNUS
Presiden Kelab Kembara Negara

No comments: