Sunday, January 31, 2010

CUTI DI SINGAPURA


Pakej beri peluang peserta melawat tempat menarik bersama Imran dan Adiputra

LAGU nyanyiannya, Seribu Tahun dan Selamat Ulang Tahun Sayang begitu mendapat tempat di hati peminat tanah air dan turut mempopularkan Imran Ajmain yang berasal dari Singapura.

Kehadirannya tidak hanya berbekalkan bakat nyanyian dan hasil karya seninya, tetapi turut memberi peluang kepada peminatnya mengenali keunikan Singapura sebagai destinasi percutian baik sebagai syurga beli-belah mahu pun menjamu selera

Malah, Imran, 28, turut mengakui ada peminatnya yang bertanyakan keistimewaan Kota Singa itu.

Baginya, banyak tarikan dan keistimewaan yang pasti menggamit kehadiran pengunjung luar untuk bertandang ke Singapura. Selain penduduknya yang berbilang kaum, keunikan lain Singapura dapat dilihat menerusi kebudayaan, tinggalan sejarah selain syurga beli belah dan makanannya.

“Sekalipun ramai yang saya temui tidak pernah berkunjung ke Singapura, namun mereka tahu antara sajian istimewa yang ada di sini adalah sup tulang merah. Juadah ini boleh dinikmati di Beach Road. Ramai yang bertanyakan rasa dan keenakan sebenar sup itu.


“Bagi mereka yang ingin berkunjung ke Singapura, jangan lepaskan peluang menikmati makanan istimewa yang terdapat di sini seperti ketam masak cili, mee rebus, mee soto, gado-gado, kacang phoul dan sup bola kentang,” terang Imran mengenai sajian yang sering dinikmati di Singapura, khususnya di kalangan masyarakat Melayu.

Menurut Imran, kepuasan menjamu selera tidak lengkap jika keinginan mendapatkan pakaian, beg dan barangan lain yang sudah menjadi satu kemestian, tidak ditunaikan.

Syurga beli-belah Singapura pula tidak hanya tertumpu di Orchard Road, Bugis Street dan Geylang Serai tetapi hampir di setiap kawasan penempatannya turut menawarkan peluang membeli belah bagi pengunjung.

Sudah pasti, antara destinasi beli-belah paling popular di Kota Singa ini adalah Mustafa Shopping Centre di Little India yang menawarkan pelbagai barangan keperluan pada harga yang berpatutan. Pusat beli-belah ini menjadi tumpuan utama bagi mereka mahukan wangian dan barangan keperluan penjagaan diri pada harga murah

Mereka yang mahu mencari barangan elektronik pula tidak harus melepaskan peluang mengunjungi Funan Center.

Tarikan yang dikongsi Imran itu adalah sebahagian pakej pelancongan Uniknya Singapura, dari 7 November hingga 3 Januari depan.

Kempen yang memasuki tahun ketiga itu adalah anjuran Lembaga Pelancongan Singapura (STB) yang bertujuan menggalakkan dan mempromosi Singapura sebagai destinasi percutian sesuai dan menarik untuk sekeluarga, khususnya di kalangan masyarakat Melayu.

Seperti tahun sebelumnya, pelawat beragama Islam boleh menempah pakej-pakej pelancongan halal ke Singapura yang termasuk tarikan popular untuk sekeluarga serta tempat untuk menikmati sajian halal.
Pakej Uniknya Singapura 1 menawarkan percutian tiga hari dua malam di Singapura hanya pada harga RM630 untuk seorang dewasa dan RM470 untuk seorang kanak-kanak.

Pakej ini termasuk kos pergi-balik menaiki bas; penginapan di Hotel Fragrance Imperial atau hotel lain yang setaraf dengannya termasuk sarapan pagi untuk tiga hari, makan tengah hari untuk satu hari dan makan malam untuk satu hari.

Turut disediakan, tiket untuk menaiki Captain Explorer dan FunVee Open Top Bus, tiket masuk ke Jurong Bird Park, Sentosa Merlion Tower, Images of Singapore, Songs of the Sea, Sentosa 4D Magix dan lawatan ke tempat membeli belah kegemaran ramai di Singapura iaitu Orchard Road.

Pakej Uniknya Singapura 2 pula menawarkan percutian tiga hari dua malam pada harga RM659 untuk seorang dewasa dan RM529 untuk seorang kanak-kanak. Pakej kedua ini termasuk kos pergi-balik menaiki bas, penginapan di Hotel Value atau hotel lain yang setaraf dengannya, tiket masuk ke Songs of the Sea di Pulau Sentosa dan lawatan ke Central Business District, City Hall, Merlion Park, The Esplanade, Orchard Road dan Vivo City.


Keistimewaan pakej tahun ini yang berbeza dengan kempen lalu adalah kerana ia disertai dua selebriti popular iaitu Imran dan Adi Putra.

Imran dan Adi Putra akan menemani peserta yang mengikuti pakej pelancongan secara berkumpulan melawat tempat menarik di kampung halaman mereka di Singapura.

Imran akan menemui peserta kumpulan pakej percutian yang bertolak pada 6 November sehingga 8 November, manakala Adi Putra, pelakon TV drama ‘Spa Q’ dan filem ‘1957 Hati Malaya,’ akan menemui kumpulan yang akan ke Singapura pada 21 dan 22 November.

Untuk pelancong Malaysia yang tidak ingin menyertai program melancong secara berkumpulan ini, mereka boleh mengambil kesempatan menerusi tawaran hebat untuk tiket penerbangan, kadar bilik hotel serta tiket masuk ke destinasi kegemaran yang ditawarkan hanya untuk rakyat Malaysia.

Sepuluh destinasi menarik di Singapura akan menawarkan promosi 2+2, yang mana pelancong akan menerima dua tiket masuk percuma untuk kanak-kanak atau orang dewasa dengan pembelian dua tiket masuk orang dewasa ke tarikan itu.

Tempat menarik yang menawarkan promosi 2+2 ini termasuk Singapore Flyer, DUCKtours, City HiPPo, HiPPo River Cruise, Chinatown Heritage Centre, Sentosa Imbiah (Merlion, CineBlast, Butterfly Park, Sentosa Nature Discovery Guided Tour), Sentosa Beach (Segway, Luge, Wave House) dan The MINT Museum of Toys.

Hotel di Singapura seperti Aqueen Hotel Balestier, Link Hotel Singapore, Cityhub Hotel, Value Hotel Thomson, Strand Hotel, dan Classique Hotel turut akan menawarkan harga istimewa untuk rakyat Malaysia.

Tempah bilik untuk malam pertama dan kedua pada kadar yang biasa dan kadar bilik untuk dua malam selanjutnya adalah pada setengah harga. Kadar bilik bermula dari RM175 hingga RM430.

Sempena kempen ini, syarikat penerbangan juga menawarkan promosi penerbangan dari Malaysia ke Singapura pada harga yang berpatutan seperti Firefly yang menawarkan tiket penerbangan percuma dengan pembelian pakej percutian.

Pelancong hanya perlu menentukan hotel pilihan bertaraf tiga hingga lima bintang. Kadar bilik bermula daripada RM485 dan tempoh untuk membuat tempahan mulai 1 November hingga 14 November.

Penerbangan tambang rendah, Air Asia turut menawarkan tiket penerbangan pada harga serendah RM25 (sehala) ke Singapura dari pelbagai destinasi di Malaysia seperti Kuala Lumpur, Kuching, Kota Kinabalu dan Pulau Pinang. Tempoh tempahan bermula 6 November hingga 31 Disember ini.

Maklumat lanjut, hubungi Lembaga Pelancongan Singapura di 03-2142 7133 atau laman web visitsingapore.com/us.

sumber daripada berita harian
Oleh Haryani Ngah

No comments: