Saturday, January 23, 2010

INDIA KINI BERJAGA-JAGA


SEORANG kakitangan syarikat penerbangan berbual menggunakan telefon di hadapan pos kawalan keselamatan India di hadapan lapangan terbang di New Delhi, semalam. - AP

NEW DELHI 22 Jan. - Lapangan-lapangan terbang di India diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga selepas perkhidmatan perisikan menerima maklumat mengenai rancangan militan al-Qaeda untuk merampas sebuah pesawat.

Sekiranya berlaku, ia merupakan serangan keganasan besar pertama di India selepas 10 orang militan mencetuskan huru-hara selama tiga hari di Mumbai pada November 2008, menyebabkan 166 orang terbunuh.

Jurucakap penerbangan, Moushumi Chakravarty berkata, lapangan terbang diarah meningkatkan kawalan semalam selepas kerajaan menerima amaran dari agensi perisikan.

Laporan akhbar The Indian Express yang disahkan oleh Chakravarty, menyatakan pegawai perisikan telah membongkar rancangan militan yang mempunyai hubungan dengan al-Qaeda dan kumpulan Lashkar- e-Taiba (LeT) di Pakistan untuk merampas sebuah penerbangan Air India atau Indian Airlines yang menuju ke sebuah negara jiran di Asia Selatan.

Pegawai tinggi di Kementerian Dalam Negeri, U.K. Bansal berkata, kawalan keselamatan diperketat di semua lapangan terbang dan penumpang perlu melalui pemeriksaan lebih ketat.

The Indian Express melaporkan, marsyal udara juga turut diarahkan di setiap penerbangan di negara ini.

Media India melaporkan, ancaman rampasan pesawat itu dibongkar semasa soal siasat terhadap Amjad Khwaja, ketua militan dari Harkat-ul-Jihad-al-Islami, kumpulan ekstrem yang kerap melancarkan serangan keganasan di India.

Amjad ditahan di Chennai, selatan India minggu lalu dan disoal siasat polis India.

Amaran dikeluarkan beberapa hari selepas Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Robert Gates memberi amaran sindiket kumpulan pengganas berkaitan al-Qaeda cuba mencetuskan perang baru antara India dan Pakistan.

Kedua-dua negara berjiran namun bermusuh dan mempunyai senjata nuklear itu telah berperang sebanyak tiga kali dan usaha untuk menyelesaikan pertikaian antara India dan Pakistan berhubung wilayah Kashmir buntu apabila LeT menyerang Mumbai pada 2008. - AP
sumber daripada utusan malaysia

No comments: