Friday, January 15, 2010

'HARTAWAN' LEBANON DITAHAN

Izany Abdul Ghany menunjukkan sebahagian wang kertas palsu yang ditemui daripada ‘hartawan’ Lebanon, Dr. Elie pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 14 Jan. – Selepas mencetuskan kontroversi kerana menyatakan hasrat untuk menderma RM1.01 bilion kepada Majlis Kanser Negara (MKN), empat tahun lalu, lelaki Lebanon yang mengaku sebagai ‘hartawan’, Dr. Elie Yousef Najem ditahan polis kerana memiliki wang palsu AS$66.02 juta (RM220.6 juta).

Lelaki berusia 50 tahun itu ditahan pada pukul 12 tengah malam, bersama wang tersebut di tingkat 17, sebuah hotel di Bukit Bintang, 10 Januari lalu.

Elie menyewa bilik hotel tersebut dua hari sebelum itu kerana menghadiri perbicaraan satu kes mahkamah setelah didakwa membeli peralatan pejabat menggunakan wang palsu pada 2005.

Segala-galanya bermula apabila ‘hartawan’ itu memberi upah sebanyak AS$500 (RM1,668) kepada seorang pekerja wanita di hotel berkenaan kerana membersihkan biliknya.

Wanita berusia 20-an itu menukar wang tersebut di sebuah premis pengurup wang yang kemudian mendapati ia adalah palsu.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany, wanita berkenaan lalu memaklumkan kepada penyelia hotel berkenaan.

“Mereka kemudian melaporkan kepada pihak polis. Polis telah melancarkan serbuan tengah malam hari kejadian dan menemui sebuah beg pinggang berwarna hitam mengandungi sejumlah wang palsu.

“Wang tersebut terdiri daripada 60 keping wang AS$1 juta selain 60 keping wang AS$100,000 dan 40 keping AS$500,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Katanya, berikutan itu, polis telah menahan lelaki berkenaan bagi menyiasat motif sebenar suspek memiliki wang palsu. Ketika ditahan, dia tinggal seorang diri.

Izany memberitahu, Elie berada di negara ini sejak tujuh tahun lalu dan pasport miliknya telah ditahan pihak mahkamah berikutan perbicaraan kesnya sedang berjalan.

Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 489 (c) Kanun Keseksaan kerana memiliki wang palsu.

Pada 2006, Elie pernah mendakwa memiliki kekayaan bernilai AS$46 bilion (RM175 bilion) dan menyatakan hasratnya menderma RM1.01 bilion kepada Makna.

Lelaki Lebanon itu pernah disiasat oleh polis ekoran wujudnya ‘unsur-unsur mencurigakan’ mengenai dirinya terutama apabila ada pihak tampil dengan lima laporan polis terhadapnya termasuk kes penipuan dan cabul.

Elie berkahwin dengan seorang warga tempatan, Farinnie Mohd. Farid, 19, pada 2005.

Farinnie bagaimanapun memfailkan tuntutan cerai secara fasakh di bawah Seksyen 52 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, tahun lalu.
Oleh WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS
sumber drpd utusan malaysia

No comments: