Sunday, January 31, 2010

RAKYAT HAITI USAHAKAN SENDIRI BINA RUMAH


SEORANG paderi Katolik mengetuai upacara pengkebumian mangsa-mangsa gempa bumi Haiti yang gagal dikenal pasti identiti dari rumah mayat hospital Port-au-Prince dalam kubur besar di luar bandar itu, kelmarin. - AFP

PORT-AU-PRINCE 30 Jan. - Penat menanti bantuan pembinaan semula Haiti yang masih belum dimulakan, mangsa gempa bumi mula mengumpulkan longgokan kayu dan tin di lereng-lereng bukit yang curam bagi membina kediaman baru di atas rumah mereka yang musnah akibat bencana gempa bumi.

Keengganan untuk menunggu lebih lama itu menggambarkan kemarahan dan kekecewaan di kalangan rakyat Haiti yang mengatakan pemimpin mereka serta sebarang pelan pembinaan semula masih belum dirancang, lebih dua minggu selepas gempa bumi pada 12 Januari lalu, memusnahkan atau merosakkan beribu-ribu rumah di ibu negara itu.

Tidak banyak khemah dibekalkan, runtuhan bangunan masih bertaburan di jalan-jalan raya dan papan tanda merayu bantuan dalam bahasa Inggeris dan bahasa tempatan boleh dilihat di mana-mana.

Menteri Budaya dan Komunikasi Haiti, Marie-Laurence Jocelyn Lassegue berkata, masa sebulan lagi mungkin diperlukan bagi memperoleh 200,000 khemah yang diperlukan rakyat Haiti yang hilang tempat tinggal.

Haiti kini hanya menerima kurang 5,000 khemah.

Di sebuah kawasan yang sesak dan kotor dekat Canape Vert sebuah lokasi yang terjejas akibat gempa bumi, berpuluh-puluh mangsa mengerah tenaga bagi membina kembali kedia

"Saya mempunyai kenangan selama 44 tahun di rumah ini. Saya kahwin di sini, bertemu suami di sini, ibu saya pernah mengikat tocang rambut saya di sini.

"Walaupun tidak selamat, saya tidak dapat bayangkan sekiranya saya terpaksa tinggalkan tempat ini. Biarpun kerajaan akan membantu, masanya sudah lewat. Inilah Haiti," kata Noel Marie Jose, 44.

Proses pembinaan semula, penempatan semula serta perkara berkaitannya adalah keutamaan kerajaan Presiden Rene Preval, namun setakat ini ia hanya dicanangkan tanpa disusuli tindakan.

Kerajaan Haiti hampir lumpuh akibat gempa bumi tersebut di mana kediaman rasmi Istana Presiden turut musnah. - AP

sumber daripada utusan malaysia

No comments: