Saturday, November 28, 2009

TUAH WATAK PONTIANAK

AKTOR Inggeris ini pernah memegang watak Cedric Diggory dalam filem Harry Potter and the Goblet of Fire, pada 2005, dan Harry Potter and the Order of the Phoenix (2007). Namun, peminat hanya mula mengenali Robert Pattinson, seterusnya menggilai jejaka berusia 23 tahun ini apabila dia muncul dalam filem Twilight, yang ditayangkan pada penghujung tahun lalu.

Ternyata, watak Edward Cullen yang dilakonkan dalam filem yang dihasilkan berdasarkan buku tulisan Stephen Meyer itu membawa tuah bukan kecil buat pelakon yang juga dikenali sebagai model serta pemuzik ini. Daripada nama yang mungkin hanya dipandang sepintas lalu, kini Pattinson muncul antara bintang lelaki paling dikenali, terutama di kalangan peminat perempuan.

Kegilaan pada jejaka yang dilahirkan dengan nama Robert Thomas Pattinson ini pastinya berterusan apabila filem susulan, New Moon, mula ditayangkan pada 26 November. Dalam kedua-dua filem terbabit, dia bergandingan dengan pelakon Amerika, Kristen Stewart.

Filem kedua yang dipasarkan dengan judul The Twilight Saga: New Moon itu pastinya meletakkan Pattinson pada kedudukan lebih bernilai apabila ia muncul filem yang mencatat rekod baru bagi tayangan tengah malam, 20 November lalu. Sewaktu ditayangkan di Amerika Utara, ia mencatat sejarah sebagai filem terbesar kutipannya pada peringkat domestik, bagi tayangan tengah malam dan hari pembukaan dengan pungutan kira-kira RM244 juta.

Selepas kejayaan filem pertama tahun lalu (kutipan seluruh dunia kira-kira RM1.3 bilion), pengedar filem berkenaan, Summit Entertainment melihat peluang besar untuk terus mengaut laba daripada filem arahan Chris Weitz itu. Justeru, mereka terus menghasilkan susulannya, New Moon, untuk siaran tahun ini, diikuti siri ketiga, Eclipse, yang dijadualkan tayangannya pada Jun tahun depan.

Ketika ini, Eclipse yang sekali lagi mengetengahkan bakat Pattinson dan Stewart, serta seorang lagi pelakonnya, Taylor Lautner, berada pada peringkat pasca produksi selepas penggambarannya diadakan Ogos lalu. Ketiga-tiga filem berkenaan dibuat berdasarkan novel tulisan Meyer.

Sebagaimana peminat pernah kemaruk dengan Leonardo DiCaprio sewaktu zaman kemuncaknya bersama Titanic, begitulah Pattinson berdepan dengan jerit-pekik mereka setiap kali dia muncul pada acara promosi.

Aktor kelahiran London itu sendiri mengaku, banyak sekali peristiwa melucukan berlaku membabitkan peminatnya sejak popularitinya memuncak dengan kelahiran Twilight, setahun yang lalu.

Pelakon yang turut dipanggil dengan nama R-Pattz itu memberitahu David Letterman pada temu bual yang diadakan baru-baru ini, dua tahun lalu dia pernah berdepan seorang peminat perempuan yang menunggu di hadapan apartmennya setiap hari selama tiga minggu, sewaktu dia menjayakan penggambaran sebuah filem di Sepanyol.

Kerana terlalu bosan, dia mengajak peminat itu keluar makan. Kata peminat itu, 'bapanya' mempunyai sebuah restoran, lalu mereka ke sana untuk bersembang sambil menjamu selera. Ketika itu, Pattinson mengambil peluang meluahkan semua masalah dalam hidupnya pada peminat terbabit, hampir dua jam lamanya.

Habis saja bersembang, peminat itu menghulurkan bil. Pattinson terpaksa membayar bil berkenaan dan selepas kejadian terbabit, perempuan itu tidak lagi muncul di depan apartmennya.

BERBAKAT DALAM BIDANG MUZIK

DIKURNIAKAN wajah menarik, dia turut berbakat dalam bidang muzik. Jejaka ini juga mampu bermain gitar dan piano. Malah, dia turut menyanyi dua lagu, Never Think dan Let Me Sign, dalam album runut bunyi filem Twilight. Manakala bagi album runut bunyi How To Be, filem lakonannya pada 2007, dia menyanyikan tiga lagu.

Kata pelakon ini, dia tidak pernah merakamkan muzik selain lagu yang dimuatkan dalam album runut bunyi terbabit. Sebaliknya, dia hanya mengadakan persembahan di pub dan majlis kecil. Kata pemuda ini, muzik hanyalah pelan sokongan sekiranya dia gagal dalam lakonan.

Dengan pakej yang hampir sempurna, serta pernah dilabel jejaka paling seksi oleh beberapa majalah antarabangsa, sudah tentulah ramai peminat perempuan yang bermimpi untuk menjadi teman wanita Pattinson.

Aktor yang dilahirkan pada 13 Mei 1986 ini bagaimanapun lebih suka menutup mulut apabila diajukan soalan mengenai teman wanita. Dia pernah berkata, dia tidak mahu mempunyai apa-apa hubungan istimewa ketika ini, apabila tumpuan seharusnya diberikan kepada kerjaya yang kian memuncak.

Begitupun, dek keakraban yang ditunjukkan bersama Stewart sewaktu menjayakan siri filem terbabit, mula timbul khabar yang mengatakan Pattinson dan pelakon wanita berusia 19 tahun itu sebenarnya lebih daripada rakan karib. Lebih panas, kedua-duanya dikatakan sudah pun mengikat tali pertunangan.

Ketika dia dan Stewart baru saja selesai mengadakan promosi bergerak filem terbabit di New York baru-baru ini, mereka dikatakan menghangatkan lagi spekulasi percintaan yang selama ini digembar-gemburkan media apabila menghabiskan masa bersama-sama walaupun sesudah tamatnya acara promosi.

Pada ketika pelakon lain berpesta selepas majlis tayangan perdana, kedua-duanya pula dilihat cukup intim dan begitu mesra tatkala berjalan-jalan di sekitar kota raya itu pada waktu malam

sumber daripada berita harian

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

No comments: