Saturday, November 14, 2009

ISRAEL USIR PENDUDUK PALESTIN


Berlanty Azzam menceritakan pengalamannya digari tangan dan ditutup matanya sebelum dia dibawa dengan jip askar oleh tentera Israel dari Tebing Barat ke Genting Gaza pada waktu tengah malam. - AP

BAITUL MAQDIS 13 Nov. - Seorang pelajar wanita Palestin yang mendakwa tangannya digari, matanya ditutup dan dibawa ke Genting Gaza oleh tentera Israel pada waktu tengah malam pada akhir bulan lalu, meminta Mahkamah Agung Israel membenarkan dia kembali ke Tebing Barat untuk meneruskan pengajiannya

Insiden itu mendedahkan kebimbangan yang serius di kalangan beribu-ribu rakyat Palestin yang berasal dari Gaza yang kini tinggal di Tebing Barat yang menghadapi ''tindakan pengusiran mengejut'' oleh tentera Israel.

Ketika ditahan oleh tentera Israel di pusat pemeriksaan di Tebing Barat, Berlanty Azzam, 21, hanya tinggal dua bulan untuk menamatkan pengajian ijazah dalam bidang perniagaan di Universiti Bethlehem.

Setelah melihat kad pengenalan Berlanty dikeluarkan di Gaza, tentara Israel menahannya dan menyumbat beliau ke bahagian belakang belakang jip tentera.

Apabila tentera Israel melepaskannya keluar dari jip itu pada waktu tengah malam, Berlanty terkejut mendapati dia berada di sempadan antara Gaza dan Israel.

"Saya benar-benar terkejut dan saya tidak tahu nak kata apa. Saya cuba tanya pihak tentera apakah alasan mereka berbuat demikian dan mereka menjawab, 'tidak, awak sudah sampai di Gaza dan awak mesti keluar." kata Berlanty mengingati peristiwa tersebut.

Yadin Elam, peguam kumpulan Hak Asasi Manusia Gisha Israel yang mewakili Berlanty berkata, insiden tersebut dilakukan tentera Israel setiap hari sebagai usaha untuk menyingkirkan ''secara paksa'' rakyat Palestin dari Tebing Barat ke Gaza.

Elam menganggarkan pada masa ini lebih 25,000 rakyat Palestin yang tinggal di Tebing Barat berada dalam bahaya untuk diusir ke Gaza kerana kad pengenalan mereka mempunyai alamat di Gaza.

Kumpulan Hak Asasi Manusia dan ahli-ahli fakulti universiti semalam telah meminta Mahkamah Agung agar membenarkan Berlanty kembali ke Tebing Barat.

Elam semasa perbicaraan berhujah, Israel telah mencabul undang-undang Hak Asasi Manusia dengan menafikan hak Berlanty untuk mendapatkan peguam sebelum dia diusir.

Mahkamah Agung Israel pada 2007 memutuskan bahawa pelajar-pelajar dari Gaza perlu mendapatkan permit jika mereka mahu belajar di Tebing Barat.

Elam berkata, ketika Berlanty mendaftar di Universiti Bethlehem pada 2005, peraturan penggunaan permit belum dilaksanakan. Ketika itu dia memiliki permit empat hari untuk memasuki Israel, jadi dia boleh memasuki Tebing Barat semula.

"Bagaimana mereka boleh mengusirnya (Berlanty) kerana tidak memiliki permit sedangkan peraturan itu belum lagi dilaksanakan?," soal Elam.

Tentera Israel mendakwa Berlanty tinggal di Tebing Barat secara haram dan dia perlu kembali semula ke Gaza.

Mahkamah semalam mengarahkan kes itu dirujuk di mahkamah tentera untuk pembicaraan pada minggu depan.

"Apa yang penting dan menjadi keutamaan saya sekarang ialah untuk kembali meneruskan pengajian.

"Pengajian saya sudah hampir tamat, saya hanya mahu kembali ke Bethlehem untuk menamatkan pengajian," katanya. - AP

sumber daripada utusan malaysia

No comments: