Thursday, November 5, 2009

JAIS BERKAS BOMOH EKOR BERSAMA 14 PELANGGAN

Anggota Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memeriksa peralatan dan menyoal seorang lelaki yang didakwa menjadi ‘bomoh’ sewaktu membuat serbuan di sebuah rumah di Batu 5, Kampung Johan Setia, Klang, semalam. – utusan/Mohd Shaharani Saibi


KLANG 4 Nov. – Hanya dengan menggosok duit lama seorang lelaki dikatakan mampu memperoleh nombor ekor.

Kononnya dia juga boleh berinteraksi dengan hantu jerangkong serta mengadun minyak pengasih.

Lelaki berusia 66 tahun yang mengusahakan tanaman nanas itu, tidak putus-putus dikunjungi pelanggan pada waktu malam.

Rata-rata yang datang ingin mencari penawar penyakit, melariskan perniagaan dan ada juga yang bergelar Datuk mahu menang dalam pilihan raya.

Bagaimanapun, kegiatan bomoh palsu yang bergelar Wak itu tidak bertahan lama kerana dia ditahan oleh sepasukan anggota Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di rumahnya di Batu 5, Kampung Johan Setia di sini pada pukul 9.30 malam tadi.

Bomoh itu pernah ditangkap serta dijatuhkan hukuman pada tahun 1995 atas kesalahan yang sama dan malam tadi dia ditahan bersama 14 orang pelanggan yang ingin mendapatkan khidmatnya.

Pelanggan bomoh beristeri dua dan memiliki 10 orang anak itu terdiri daripada sembilan lelaki dan lima wanita.

Penolong Pengarah Perhubungan Awam dan Penerbitan JAIS, Mohamad Hidayat Abdul Rani berkata, pihaknya menahan bomoh tersebut selepas membuat intipan sejak Ogos lalu hasil maklumat orang ramai.

Beliau berkata, serbuan disertai 40 anggota JAIS dan polis.

Menurutnya, beberapa peralatan yang digunakan lelaki itu seperti limau nipis, kertas rokok daun, duit lama, pisau, kendi, kertas mentera, kain kuning turut dirampas.

“Kita tahan lelaki tersebut kerana terlibat dengan kegiatan yang memesongkan akidah mengikut Seksyen 4 Enakmen Jenayah Syariah yang boleh dihukum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 jika sabit kesalahan.

“Pelanggan bomoh berkenaan pula boleh didakwa mengikut Seksyen 46 kerana bersubahat atau Seksyen 52 enakmen yang sama kerana percubaan melakukan perjudian. Sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara dua tahun atau denda RM3,000,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan malam tadi.

Tambahnya, bomoh terbabit dan semua pelanggannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang sebelum dihantar ke pejabat JAIS untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, pihaknya akan menyiapkan kertas siasatan sebelum mendakwa kesemua mereka yang terlibat.

Sementara itu, bomoh tersebut ketika ditemui berkata, dia memperoleh lebih RM100 sebulan biarpun tidak menetapkan sebarang bayaran setiap kali merawat pelanggannya.

“Mereka datang pada sebelah malam dan meminta bantuan daripada saya, jadi saya tolonglah. Saya juga tak pernah tanya apa pekerjaan mereka tetapi pernah juga ada ahli politik bergelar Datuk datang minta tolong saya buat agar pengundi suka dia dan dia boleh menang pilihan raya,” dakwanya.

Dia mendakwa, kadang-kadang dia hanya menulis nombor yang terlintas di fikirannya. Bomoh itu berkata, dia pernah membeli nombor ekor tetapi tidak pernah mengena.

Ditanya tidakkah dia takut ditangkap kerana melakukan perbuatan khurafat ini, dia memberitahu, selepas ditangkap kali pertama, kegiatan tersebut dihentikan sementara.

sumber daripada utusan malaysia

No comments: