Saturday, November 28, 2009

MENJAGA PENGLIHATAN SEUMUR HIDUP

Menjaga penglihatan seumur hidup

SETAHU saya, pengambilan vitamin antioksida baik untuk menjaga daya penglihatan. Apakah suplemen lain yang boleh diamalkan setiap hari dan boleh memberi sumbangan dalam mengekalkan kesihatan mata?

Jawapan,

Seperti juga kesihatan tubuh yang lain, mata juga memerlukan penjagaan dan nutrien untuk membolehkannya terus berfungsi sepanjang hayat.

Banyak kerosakan mata yang berlaku adalah disebabkan oleh radikal bebas. Kerosakan ini juga disumbangkan oleh toksin persekitaran dan pemakanan yang kurang berkhasiat.

Jangan ambil mudah kerana lama-kelamaan ia akan meningkatkan risiko kerosakan mata seperti kemerosotan makula akibat penuaan (AMD), katarak mahupun glaukoma, iaitu masalah lazim yang mengancam mereka yang berusia, majoritinya 45 tahun dan ke atas.

Tingkatkan pengambilan antioksida. Sayuran mengandungi lutein dan zeaxantin, iaitu pigmen yang terkumpul dengan banyak dalam makula mata yang juga bersifat antioksida berkesan serta berperanan melindungi mata daripada sinaran ultraungu (UV).

Kajian yang dibuat di Massachusetts mendapati bahawa mereka yang mengambil sebanyak 6 miligram (mg) lutein sehari mengalami pengurangan risiko AMD sebanyak 43 peratus berbanding biasa.

Untuk dos yang lebih tinggi dan bekalan berterusan, lutein dan zeaxantin yang diekstrak daripada bunga marigold dalam bentuk suplemen lazimnya menjadi pilihan.

Vitamin seperti beta karoten, vitamin C, E dan zink merupakan antara antioksida yang disarankan untuk menangani kesan radikal bebas.

Pengambilan minyak ikan yang konsisten juga penting untuk penglihatan. Minyak ikan yang kaya dengan omega-3 ada kaitan dengan penglihatan kerana asid lemak seperti DHA mempunyai kadar konsentrasinya yang tinggi dalam retina mata.

Manakala pengambilan bilberi yang kaya dengan antosianin membantu menguatkan kapilari dalam mata, memperbaiki peredaran darah ke retina serta mempercepatkan pemulihan rhodopsin (pigmen ungu) yang digunakan oleh rod mata untuk penglihatan waktu malam.

sumber daripada utusan malaysia

No comments: