Sunday, November 8, 2009

PENANDA ARAS CUCI THE MUSICAL


YA, sekiranya anda menonton Cuci The Musical, anda mungkin ketawa sepanjang pementasan. Lawak jenakanya spontan lagi menghiburkan.

Empat sahabat ini - Hans Isaac, Afdlin Shauki, AC Mizal dan Awie - memang 'ngam' bersama. Mereka saling melengkapi.

Seperti dalam filem, cuma bagi Wanda, Cuci yang dipentaskan ini jauh lebih menyeronokkan. Dialognya amat bersahaja. Oleh kerana banyak berlaku ad-lib sepanjang tiga jam pementasannya membuatkan Panggung Sari, Istana Budaya gamat dengan tepukan.

Memang elemen jenaka menjadi tunjang persembahan namun ia bersatu indah dengan elemen emosi.

Dalam seronok ketawa dengan lawak mereka, kita juga berasa sayu dengan impian hidup empat pencuci bangunan ini.

Malah pada setiap watak ada pengaruh masing-masing. Bagi Wanda, Awie memberikan persembahan terbaiknya pada pementasan ini.

Pertama kali di pentas, Awie sangat berkesan dengan watak Jojo yang menjadi tanda aras kemunculannya dalam dunia teater.

Jadi siapa kata Awie hanya hero Melayu yang tipikal? Awie juga pak lawak yang mencuit hati. Juga sebenarnya paling comel (walaupun bertubuh sasa) di pentas itu.

Lawaknya selamba dan gandingan Awie amat serasi dengan Adibah Nor, yang juga memukau dengan vokal dan lakonannya.

Lakonan AC juga memberansangkan. Amat bersahaja dan berkeyakinan. Mungkin juga kerana pengalaman menjayakan pementasan besar selama tiga musim Puteri Gunung Ledang The Musical membuatkan AC sudah biasa di pentas.

Jadi mungkin bagi sesetengah orang, ia keterlaluan tetapi bagi Wanda, mereka dan keseluruhan pementasan ini layak untuk mendapat dua tanda bagus!

Tahniah buat Hans dan Tall Order Productions Sdn. Bhd. yang menerbitkan Cuci The Musical, juga kepada pengarah Harith Iskander dan Datuk Zahim Al-Bakri kerana merealisasikan sebuah lagi pementasan yang ingin kita kenang.

Juga kepada keseluruhan krew baik di depan mahupun belakang pentas yang bekerja keras memastikan kejayaan pementasan sulung ini.

Ini kerana bagi Wanda, keseluruhan pementasan itu sendiri sebenarnya banyak membantu melengkapi antara satu sama lain untuk menghasilkan satu produk yang mengagumkan.

Selain lakonan, tarian dan muzik/lagu, penataan cahaya, latar dan set dan bunyi yang baik turut memberikan kesan.

Paling penting skrip, dialog dan lirik lagu yang memberansangkan. Pementasan ini juga mengambil berat soal koordinasi warna dan merah menjadi latar utamanya.

Lalu sepanjang malam, Vanidah Imran kelihatan amat cantik dengan kostum yang disediakan dan solekan yang dikenakan. Sesungguhnya, sebagai sebuah pementasan teater muzikal, persembahan secara langsung memberikan satu kepuasan maksimum.

Tidak kira sama ada anda boleh menyanyi dengan baik atau tidak, pelakon perlu menyanyi secara langsung kerana ia memberikan jiwa pada pementasan.

Kerana itu, Cuci The Musical berjaya memberikan pengaruhnya yang tersendiri kepada penonton. Itulah baru pementasan sebenar sebuah muzikal. Bukan rakaman (apabila adegan menyanyi).

Lalu Cuci The Musical menjadi antara pementasan teater muzikal tempatan yang terbaik pernah disaksikan. Seperti juga Wanda puas menyaksikan Puteri Gunung Ledang The Musical. Begitu jugalah Wanda seronok dengan Cuci The Musical.
sumber daripada utusan malaysia

No comments: