Tuesday, November 17, 2009

SKUAD NS DAPAT DURIAN RUNTUH


Mohamad Hasan menyerahkan wang tunai RM300,000 kepada ketua pasukan, Rezal Zambry Yahya sambil diperhatikan rakan sepasukan di Seremban, semalam.

SEREMBAN - Apa yang dijanji telah pun dikotakan. Selepas memperoleh RM150,000 kerana layak ke separuh dan akhir Piala Malaysia, semalam Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) menyampaikan insentif dan imbuhan bonus sebanyak RM300,000 kepada pemain dan pengurusan kerana menjulang Piala Malaysia.

Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, 'hadiah' wang tunai itu juga termasuklah RM100,000 yang akan disumbangkan oleh Menteri Besar Incorporated (MBI) atau Menteri Besar, Negeri Sembilan (Pemerbadanan).

''Sehingga kini kesemua pemain dan pengurusan telah pun menerima insentif dan bonus sebanyak RM450,000 daripada PBNS," katanya pada majlis penyampaian penghargaan itu kepada pemain di Klana Resort di sini, semalam.

Hadir sama Naib Presiden PBNS, Datuk Ismail Lasim, Setiausaha Kehormat PBNS, Datuk Abd. Halim ABd Latif, jurulatih Wan Jamak Wan Hasan serta kesemua pemain kecuali S. Kunalan dan pasangan kembar Mohd. Aidil Zafuan Radzak dan Mohd. Zaquan Adha Radzak, yang kini menyertai skuad negara beraksi pada kelayakan Piala Asia 2011 di Uzbekistan.

Mohamad juga berkata, selain hadiah wang tunai itu, kesemua pemain akan dibawa ke Bandung, Indonesia bagi menjalani latihan persiapan menghadapi Piala Sumbangsih awal Januari depan.

''Di Bandung, mereka akan mengadakan empat perlawanan persahabatan dengan pasukan tempatan. Ini bagi menilai prestasi pemain dalam menghadapi Selangor, yang juga juara Liga dalam perlawanan pembukaan liga di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi," katanya.

Bagaimanapun, kesemua pemain akan dibenarkan bercuti selama 10 hari selepas siri jelajah dan perarakan kejuaraan Malaysia berakhir minggu ini di Port Dickson dan sekembalinya nanti, mereka akan membentuk satu pasukan yang mantap bagi menghadapi liga musim 2010.

''Kita tidak melakukan banyak perubahan dan hampir kesemua pemain sedia ada dikekalkan.

Buat masa ini, kita telah menyenaraikan 20 pemain, dengan lima lagi kekosongan akan diisi dari masa ke semasa.

''Mengenai Hairudin Omar, PBNS memang berminat untuk mendapatkan khidmatnya dan telah pun menawarkan tempat untuknya bermain dengan pasukan ini. Terpulanglah kepadanya untuk membuat keputusan segera," katanya.
Bagi musim akan datang, jurulatih Wan Jamak juga dikekalkan untuk terus membimbing skuad negeri ini selepas prestasi cemerlangnya membawa pulang Piala Malaysia yang kita nantikan sejak 61 tahun lalu.
Untuk itu juga, Mohamad berkata mulai musim hadapan pasukan negeri akan mengenakan jersi baru berwarna kuning apabila bermain di gelanggang sendiri dan menggunakan jersi merah apabila beraksi di tempat lawan.

sumber daripada utusan malaysia
Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
sukan@utusan.com.my

No comments: