Sunday, March 14, 2010

TADIKA : 3 LELAKI DITAHAN

JOHOR BAHRU 13 Mac - Polis hari ini menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes serangan tiga murid Tadika Sinario, Muar pada Rabu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, ketiga-tiga lelaki yang berusia antara 25 dan 29 tahun itu ditahan di sekitar Muar pada awal pagi ini.

"Polis tidak menolak kemungkinan seorang daripadanya adalah suspek. Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pos Polis Komuniti (CPP) di Taman Bestari Indah Ulu Tiram dekat sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, Ketua Polis Johor Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff dan Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Ismail Ibrahim.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi Rabu lalu, tiga murid tadika Sinario di Muar, Nur Nadhirah Nabilah Mohd. Yusri, 6, Alex Tan Kar Eik, 6, dan Vincent Tee Hui Seng, 6, cedera di kepala akibat diketuk dengan tukul besi oleh seorang lelaki dipercayai kurang siuman.

Dalam kejadian di tadika yang terletak di Jalan Abdul Rahman itu, pengetuanya, Voon Siew Kuin turut cedera di bahu kanan dan tangan kiri.

Semasa kejadian, suspek dikatakan memanjat pagar tadika sebelum memasuki sebuah kelas lalu memukul dan mencederakan murid terbabit.

Selepas menerima rawatan di hospital, Kar Eik dan Hui Seng dibenarkan pulang ke rumah setelah kecederaan masing-masing bertambah baik.

Bagaimanapun, Nur Nadrah Nabila pula difahamkan masih menunggu laporan kesihatan daripada doktor sebelum menjalani pembedahan dalam waktu terdekat kerana kaki kirinya masih lemah untuk berjalan.

Musa memberitahu, polis masih menyiasat motif sebenar serangan itu dan pada masa yang sama meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenainya.

"Biarlah polis menyiasat terlebih dahulu," katanya.

Sementara itu, sumber memberitahu, lelaki-lelaki berkenaan ditahan secara berasingan pada pukul 12.20 pagi berhampiran Bangunan Mara di Jalan Maharani dan Jalan Daud.

Menurutnya, seorang daripadanya memiliki rekod jenayah berkaitan kes samun manakala seorang lagi suspek berkaitan kes dadah.

"Siasatan awal mendapati dua daripadanya memiliki rekod pesakit mental dan pernah menjalani rawatan di Hospital Muar sebelum ini," katanya.

sumber daripada utusan malaysia

No comments: