Sunday, March 7, 2010

PEMBUNUH HARESWARRAL TIDAK BERTAMADUN-KPN

PETALING JAYA 6 Mac - Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menyifatkan mereka yang terlibat membunuh seorang kanak- kanak berusia setahun enam bulan, K. Hareswarral pada Khamis lalu sebagai tidak bertamadun dan zalim.

Tegas beliau, tindakan suspek mendera kanak-kanak lelaki itu sehingga mengakibatkan enam tulang rusuknya patah, hatinya hancur, selain cedera parah di kepala dan kemaluan adalah satu perbuatan yang tidak boleh diterima akal.

"Kekejaman ini langsung tidak menggambarkan sifat ketamadunan manusia di negara ini," katanya kepada pemberita selepas majlis bertemu masyarakat di dataran pusat beli-belah Amcorp Mall di sini hari ini.

Turut hadir, timbalannya, Tan Sri Ismail Omar; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin; Pengarah Jabatan Siasatan Narkotik, Datuk Zul Hasnan Najib Baharudin dan Pengarah Jabatan Siasatan Komersial, Datuk Koh Hong Sun.
Musa mengulas kes kematian Hareswarral yang maut selepas mengalami penderaan fizikal secara serius baru-baru ini.

Seminggu sebelum itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia 3 tahun, Syafiah Humairah Sahari mati dipercayai akibat didera oleh teman lelaki ibunya di Hulu Selangor.

Mengulas lanjut, Musa kecewa dengan sikap penduduk sekitar yang enggan menyalurkan maklumat kepada polis berhubung kejadian itu.

"Saya yakin dalam kes ini (kita) ada banyak saksi, cuma mereka takut untuk tampil. Berdasarkan siasatan awal, kanak-kanak itu dibawa tidak jauh dari kawasan perumahan.

"Kalau benar ada saksi yang tengok kejadian itu dan menghubungi polis, mungkin kanak-kanak itu dapat diselamatkan. Jangan hanya menyesal selepas berlaku.

"Kalau takut sangat, tak perlu dedahkan identiti... cuma bagi maklumat. Itu pun kira dah cukup," jelasnya.

sumber daripada utusan malaysia

No comments: