Saturday, March 6, 2010

ANUAR AZAM PERTAHAN JERSI HIJAU

Oleh FERZALFIE FAUZI
Anuar Manan (tengah) diapit pelumba Footon-Servetto, Vidal Celis (kiri) dan pelumba Vorarlberg-Corratec, Rene Haselbacher selepas peringkat kelima LTdL dari Muar ke Port Dickson, semalam. - UTUSAN/zulkarnain Mohd. Saidin

PORT DICKSON - Jaguh negara, Anuar Manan berharap dapat mengekalkan jersi hijau sehingga akhir saingan, namun dalam masa yang sama perlu memberi perhatian sepenuhnya kepada pelumba Jayco- Skins, Michael Matthews yang dianggapnya seorang pelumba pecut yang hebat tahun ini.

Menurutnya, cabaran paling sukar iaitu mendaki puncak Genting Highlands hari ini bakal menentukan peluangnya untuk mengekalkan jersi hijau.

''Saya harus kekal berada di kedudukan yang baik kerana sasaran saya adalah untuk memenangi jersi hijau tahun ini selepas 2008 saya hampir melakukannya," katanya di sidang media selepas perlumbaan peringkat kelima tamat semalam.

Jelasnya, musim 2009 bukanlah tahun yang terbaik buatnya, tetapi tahun ini dia melakukan persiapan baik, termasuk mempunyai rakan sepasukan yang bagus dan berpengalaman.

"Pasukan saya (Geumsan Ginseng) juga mempunyai ketua pasukan yang berpengalaman, Shinichi Fukushima. Dia sentiasa memberi arahan dan mengatur strategi melalui walkie-talkie kepada pelumba lain.

"Dalam masa yang sama, saya perlu terus mengawal pergerakan Matthews, dia bukan sahaja dapat mengumpul mata di zon pecutan tetapi pernah muncul juara di perlumbaan peringkat," katanya.

Anuar juga amat berterima kasih kepada pengurusnya, Danny Feng yang sebelum perlumbaan bekerja keras memberitahu pelumba Malaysia yang lain untuk membantunya seterusnya memenangi perlumbaan peringkat kelima.

Dalam pada itu, tidak ramai yang menyedari terdapat seekor cicak mainan plastik tertampal di bahagian depan basikal Anuar.

Bagi Anuar, cicak plastik yang diberi nama 'kamen rider' itu pembawa tuah kepadanya sehingga dapat menjuarai peringkat kelima, semalam.

Bukan sebagai tangkal atau mempercayai perkara tahyul, namun itulah yang dikatakan gaya dan pendirian yang ada kepada Anuar yang mahu terus melekat seperti cicak dengan mencatat sebanyak mana kejayaan yang boleh sepanjang kariernya.

Cicak itu setakat ini banyak membantu Anuar dalam menaikkan semangatnya untuk melakar sejarah sebagai pelumba Asia pertama memenangi jersi hijau (Raja Pecut) keseluruhan di LTdL.

sumber daripada utusan malaysia

No comments: