Sunday, March 7, 2010

ANUAR HAMPIRI GELARAN RAJA PECUT

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

ANUAR Manan (depan) mengangkat tangan sambil memegang jersi menandakan Jersi Biru sebagai pendahulu acara pecut LTdL masih menjadi miliknya walaupun menduduki tempat ke-77 pada peringkat keenam dari Putra Jaya ke Genting Highlands, semalam.

GENTING HIGHLANDS - Selepas mencipta sejarah menjadi pelumba tempatan pertama menjuarai peringkat perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) kelmarin, Anuar Manan semakin yakin untuk mencipta satu lagi sejarah sebagai pelumba Asia pertama memenangi jersi hijau atau Raja Pecut pula.

Pelumba Geumsan Ginseng itu melaungkan keyakinan selepas berjaya menamatkan perlumbaan paling sukar peringkat pendakian dari Putrajaya ke Genting Highlands, semalam.

Walaupun menduduki tempat ke-77, Anuar memungut dua mata di zon pecutan pertama (Kajang) untuk 11 mata mengatasi pencabar terdekat, Michael Matthews (Jayco Skins).

Perlumbaan semalam dimenangi oleh pelumba ISD-Neri, Jose Rujano Guillen sekali gus merampas jersi kuning dari pelumba Tabriz Petrochemical, Tobias Erler.

Mengulas perlumbaan paling sukar semalam, Anuar ternyata tidak gusar selepas berjaya menghabiskan perlumbaan peringkat keenam itu.

Tekadnya kini untuk muncul memenangi peringkat terakhir dari Kuala Kubu Bharu ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, hari ini.

"Perlumbaan esok bakal memberi kelebihan buat saya kerana laluan landai.

''Dalam masa yang sama saya, perlu memberi sepenuh tumpuan kepada Matthew, jika dia berhasrat untuk meraih mata di zon pecutan saya akan cuba memberi tentangan kepadanya," katanya.

Anuar mahu mengulangi taktik tidak mahu mempersia-siakan tenaga begitu sahaja demi untuk memberi henjutan pada akhir perlumbaan.

Katanya, dalam masa yang sama rakan-rakannya bakal memberi bantuan bagi meraih mata di zon pecutan, seterusnya memastikan kemenangan pada peringkat ketujuh LTdL 2010, hari ini.

"Persediaan saya tahun ini memang amat berbeza itu, yang menyebabkan saya meletakkan sasaran tinggi memenangi salah satu peringkat dan menggondol jersi hijau.

"Saya akui prestasi saya sangat baik selepas menjalani latihan di kawasan berbukit di Thailand. Ini menyebabkan saya tidak gentar ketika di zon pendakian seperti hari ini," katanya.

Sasaran Anuar seterusnya ialah mencipta kejayaan pada saingan lain, terutama Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Dubai April ini.

"Saya sudah biasa untuk melakukan serangan ketika beraksi dalam perlumbaan, itu yang menyebabkan saya mampu memperoleh mata ketika melakukan breakaway.

"Saya juga boleh mendaki sedikit demi sedikit berbanding sebelum ini, di mana saya hanya memberi tumpuan kepada pendakian," katanya.

Anuar juga berkongsi pengalamannya ketika bersaing dengan Matthews di zon pecutan pertama pada perlumbaan semalam, di mana dia berjaya mengalahkan pelumba kelahiran Australia itu.

"Selepas saya berjaya mengalahkannya, saya lihat dia sedikit marah lalu menghampiri kepada saya dan berkata, dia tidak mahu lagi bersaing dalam baki zon pecutan berikutnya," kata pelumba kelahiran Kuala Ibai, Terengganu.

sumber daripada utusan malaysia

No comments: