Sunday, March 14, 2010

CHONG WEI HAMPIRI GELARAN ALL ENGLAND

Oleh NORZIE MOHD. KHASBI


LEE Chong Wei mara ke perlawanan akhir All England selepas menewaskan jaguh Denmark, Peter Hoeg Gade 21-17, 21-14 di Birmingham, semalam. - Yonex/Khalid Redza


BIRMINGHAM, England - Datuk Lee Chong Wei hanya selangkah lagi dipisahkan daripada kejuaraan badminton All England pertamanya selepas melayakkan diri ke perlawanan akhir buat kali kedua berturut-turut di Arena Tertutup Birmingham, semalam.

Tanpa kelibat musuh ketatnya dan juara empat kali, Lin Dan yang kalah mengejut kepada rakan senegara, Bao Chunlai di suku akhir, jaguh No. 1 dunia itu menjadi pilihan utama untuk muncul juara pada ulang tahun ke-100 kejohanan.

Sama ada menentang jaguh China, Bao Chunlai atau pemain utama Jepun, Kenichi Tago pada final hari ini, Chong Wei memiliki rekod pertemuan lebih baik ke atas kedua-dua pemain.

Semalam, Chong Wei membuktikan dia berada pada fizikal terbaik selepas mudah mengetepikan jaguh Denmark, Peter Hoeg Gade 21-17, 21-14 dalam masa 47 minit.

"Saya sangat.. sangat menginginkan kejuaraan All England dan akan mengeluarkan segala yang ada untuk cuba menang esok.

"Saya berdepan peluang keemasan untuk membawa pulang kejuaraan buat kali pertama, saya tidak akan mensia-siakan kesempatan ini,'' kata Chong Wei, yang kalah kepada Lin Dan pada perlawanan akhir tahun lalu.

Kata Chong Wei, dia lebih mengenali corak permainan Chunlai berbanding Tago kerana sering bertemu pemain China itu dari zaman remaja, namun sama ada berdepan Chunlai atau Tago di final, ia sama sekali tidak mudah.

"Kalau berjumpa Chunlai, kami saling mengenali kerana kerap bertemu dari zaman remaja lagi, dia pemain kental dan berada pada prestasi baik di sini. Selain mengalahkan Lin Dan, Chunlai juga baru kembali daripada menjuarai Terbuka Jerman.

"Tago pula agak baru buat saya tetapi sebagai pemain baru dia sangat berani hingga berjaya mara ke separuh akhir,'' kata Chong Wei, yang memburu kejuaraan Siri Super ketiga berturut-turut selepas menjuarai Terbuka Korea dan Malaysia.

Walaupun mempamerkan aksi meyakinkan ketika menjinakkan Gade, juara All England 1999, Chong Wei agak cemas di awal permainan apabila ketinggalan 3-5, 4-6 dan 7-10.

Namun begitu, tindakan Chong Wei mempercepatkan permainan sukar dikejar Gade. Dia tidak lagi menoleh ke belakang sebaik berjaya menyamakan kedudukan 10-10.

Di set kedua Gade, 34, tidak terkejar dengan permainan pantas Chong Wei, yang bermain kemas di jaring dan sering mengelirukan lawan menerusi pukulan lintang.

"Memang saya agak tertekan apabila Gade mendahului di awal saingan, saya beraksi lebih berhati-hati kerana tidak cukup berani untuk menyerang.

"Tetapi bila berjaya mengejar mata, saya mendapat keyakinan. Strategi saya berjaya, saya banyak bermain di jaring, jadi dia menyukarkan Gade untuk memaksa saya melakukan pukulan tinggi,'' jelas Chong Wei.

Kali terakhir Malaysia menjuarai gelaran perseorangan lelaki All England adalah menerusi Muhammad Hafiz Hashim pada 2003 manakala pasangan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong muncul juara beregu pada 2007.

Sementara itu, China sudahpun mengesahkan kejuaraan beregu wanita apabila pasangannya bertemu sesama sendiri di final.

Juara Olimpik dan pilihan pertama, Du Jing-Yu Yang akan berdepan Cheng Shu-Zhao Yunlei untuk menentukan kejuaraan.

Turut mara ke final adalah beregu veteran Denmark, Mathias Boe-Carsten Mogensen yang mengalahkan pasangan China, Guo Zhendong-Xu Chen 21-16, 21-16 dalam beregu lelaki

sumber daripada utusan malaysia

No comments: