Tuesday, October 20, 2009

GADUH: 2 MAUT, 1 PARAH

Oleh ASSIM HASSAN
assim.hassan@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 19 Okt. - Sekumpulan lelaki sedang minum di bawah sebatang pokok, selepas menghadiri sambutan Deepavali di sebuah rumah di Flat Desa Puteri, Sri Petaling, awal pagi ini.

Perbualan mereka itu terganggu apabila sekumpulan lelaki bermotosikal tiba-tiba lalu di kawasan itu sambil mengeluarkan bunyi ekzos kenderaan yang agak bising.

Terganggu dengan tindakan kumpulan itu, lelaki yang sedang minum kemudian menegur kumpulan tersebut. Lalu timbullah pertikaman lidah yang akhirnya membawa kepada insiden ngeri dan meragut dua nyawa.

Dalam kejadian itu, kumpulan lelaki yang sedang minum di bawah pokok tersebut diserang oleh remaja bermotosikal menyebabkan dua daripada mereka maut manakala seorang lagi parah.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, mangsa, B. Gunalan, 23, ditemui mati di sebuah bilik milik saudaranya di flat terbabit manakala mayat rakannya S. Chaudry, 32, ditemui di persimpangan jalan kira-kira 600 meter dari tempat kejadian.

Seorang lagi rakan mereka yang masih belum dikenal pasti berusia 33 tahun, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ahmad Amir Mohd. Hashim berkata, ketika kejadian, kedua-dua mangsa bersama tiga lagi rakannya sedang minum di bawah pokok berhadapan flat terbabit.

Menurutnya, tiba-tiba, tiga lelaki bermotosikal berhenti berhampiran flat itu sambil membunyikan ekzos motosikal masing-masing sehingga mengganggu mangsa bersama rakan-rakannya.

Katanya, keadaan menjadi kecoh apabila berlaku perang mulut antara mereka. Suspek yang dilihat telah beredar kemudian datang semula bersama dua orang lagi rakannya.

''Mangsa kemudian diserang dan ditetak dengan menggunakan parang namun berusaha melarikan diri ke rumah saudaranya di flat berkenaan sebelum menemui maut.

''Seorang lagi mangsa, Chaudry pula cuba melarikan diri dan ditemui mati kira-kira 600 meter dari tempat kejadian,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Ahmad Amir, terdapat kesan-kesan pergaduhan termasuk serpihan botol-botol pecah dan tompokan darah di tempat kejadian.

Berikutan itu, beliau memberitahu, polis menahan seorang lelaki berusia lingkungan 20-an yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan itu.

Katanya, penahanan suspek berikutan penemuan sebuah motosikal yang ditinggalkan di tempat kejadian dan hasil pemeriksaan polis, motosikal itu dimiliki oleh suspek.

Bagaimanapun, beliau menambah, pihaknya tidak menemui sebarang senjata yang digunakan untuk menyerang ketiga-tiga mangsa.

''Kita sedang memburu empat lagi rakan suspek yang melarikan diri bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,'' katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Sementara itu, adik Chaudry, Visa Letchumy, 31, berkata, ekoran kejadian itu, abangnya tidak berkesempatan melihat anak ketiganya yang dijangka lahir hujung minggu ini.

Dia yang terkejut apabila mendapat berita tersebut kira-kira pukul 3 pagi daripada adik lelakinya, tidak menyangka Chaudry maut selepas menghadiri majlis rumah terbuka Deepavali di rumah rakannya.

''Kami diberitahu oleh rakan Chaudry, dia ditetak ketika cuba meleraikan pergaduhan tersebut,'' katanya ketika ditemui di bilik mayat PPUKM hari ini.

sumber daripada utusan malaysia

MENJEJAK KEINDAHAN SAKURA JEPUN

Oleh SITI ZALEHA JORIMAI
Gambar Ehsan JASON KO



Bergambar di hadapan Istana Osaka yang menyimpan banyak sejarah era pahlawan Jepun, Sogun.

NAMPAKNYA tidak ada satu pun negara yang terlepas daripada kesan perubahan cuaca dunia termasuklah negara semaju dan secanggih Jepun.

Pepohon sakura yang menjadi kebanggaan rakyat negara itu tidak berbunga pada waktu yang diharapkan pada awal April lalu sedangkan musim sejuk sepatutnya sudah berakhir bagi memberi laluan kedatangan musim bunga.

Pelancong yang datang hanya mampu memandang kudup-kudup bunga sakura yang enggan mekar kerana suhu masih terlalu dingin dan pancaran matahari tidak cukup untuk menghangatkan persekitaran.

Situasi itu turut mengecewakan sedikit kumpulan wartawan dari Malaysia yang mengikuti lawatan dua pemenang Young Designer Award 2008 anjuran Nippon Paint Malaysia ke Tokyo dan Osaka.

Tersenarai sebagai antara kota termahal di dunia, Tokyo sememangnya layak dengan gelaran itu kerana di sini segala-galanya mahal bukan saja kepada pelancong bahkan sebilangan penduduk tempatan.

Bahkan menurut pemandu pelancong kami semakin ramai penduduk Tokyo yang hidup bergelandangan di kaki lima jalan raya dan kadar bunuh diri juga dikatakan meningkat ekoran tekanan pergolakan ekonomi dunia ketika ini.

Sebagai kota termahal bukan menghairankan kalau sukar untuk melihat ruang kosong di tengah-tengah hutan batu ini kerana tanah terlalu berharga untuk dibazirkan dan dibiarkan ditumbuhi semak belukar - bagi yang cintakan kehijauan destinasi anda bukan di sini.

Sebagai kota termahal ia juga memberi kelebihan kerana telah menjadikan orang Jepun sebagai masyarakat yang kuat berkerja dan sangat berdisiplin dalam semua aspek.

"Tanpa disiplin tidak mungkin kita boleh hidup di Tokyo dan kehidupan akan jadi kelam-kabut kerana segalanya ada peraturan biarpun sekecil memijak rumput di taman," kata seorang.

Dalam pada itu bagi yang menghargai kecanggihan teknologi, kecekapan pengurusan, keindahan seni dan untuk membeli-belah pasti akan terpesona dengan apa yang ada di kota ini.

'Kaki' membeli-belah kunjungan ke Tokyo tidak lengkap jika tidak menjejak kaki ke Shijuku. Ia dikenali sebagai pusat gajet dunia kerana segala gajet terkini ada di sini. Tempoh sehari tidak akan mencukupi untuk singgah dari satu ke kedai ke satu kedai.

Jadi supaya tidak membuang masa dan kaki tidak lenguh lebih elok kenal pasti dahulu apa yang hendak dibeli dan tuju lorong barang yang dicari.

Bagi yang inginkan membeli-belah cara mewah pula, bergerak saja ke Ropingi Hill. Kawasan pusat belah belah golongan elit Jepun ini kalau di Kuala Lumpur mungkin menyamai kawasan Star Hill, Bukit Bintang kerana segala jenama mewah dan terkenal 'berhimpun' di sini.

Dalam pada itu rasa terkilan tidak dapat menyentuh kelopak-kelopak sakura berakhir apabila rombongan bergerak ke Osaka menaiki keretapi laju dari Stesen Shinagawa Tokyo (antara stesen keretapi bawah tanah terbesar dan tersibuk di dunia).

Tiga jam dalam keretapi dengan tambang 12,000 Yen untuk sampai ke Stesen Shin Osaka, perjalanan melalui kawasan-kawasan luar bandar dengan landskap menghijau cukup mempesona.

Tatkala ini terbayang semula drama-drama bersiri Jepun yang kerap ditayangkan di stesen TV kita. Terasa bertuah kerana dapat menyaksikan dengan 'mata kepala' sendiri.

Malah menurut pemandu pelancong yang kami panggil Turbo ini, jika bertuah dan cuaca cukup baik boleh melihat puncak Gunung Fuji yang menjadi kebanggaan rakyat Jepun itu. Nyata kami tidak cukup bertuah.

Di Osaka cuaca lebih panas dan impian untuk menyaksikan sakura mekar berkembang menjadi kenyataan sebaik menjejak kaki di Istana Osaka.

Sememangnya tidak lengkap 'penjelajahan' di Osaka tanpa singgah ke istana yang dulu dikenali sebagai Ozakajo. Ia merupakan istana paling terkenal dan memainkan peranan penting dalam menyatukan rakyat Jepun ketika era pemerintahan Azuchi-momoyama sekitar abad ke 16.

Terletak di kawasan seluas kira-kira satu kilometer persegi istana ini mengandungi 15 struktur yang telah digazetkan sebagai aset budaya oleh kerajaan Jepun termasuk kuil Toyokuni yang dibina bagi memperingati pemerintahan Maharaja Toyotomi Hideyoshi sekitar tahun 1583.

Istana ini dibuka kepada orang awam dan menjadi tumpuan ketika musim perayaan terutama ketika musim bunga sakura berkembang

Dianggarkan kawasan tersebut mempunyai lebih 4,500 batang pokok sakura yang berkembang serentak pada musim bunga. Selain itu tarikan utamanya sudah tentu menara istana berbentuk pagoda yang tersergam indah.

Penjelajahan ke kota Osaka diteruskan ke satu lagi lokasi menarik yang rugi dilepaskan terutama di kalangan mereka yang gemar membeli-belah iaitu daerah Shinsaibshi.

Penulis sendiri terpegun dan hilang kata-kata seketika sebaik memasuki salah satu lorong di daerah ini. Terlalu ramainya manusia sehingga tidak terpandang yang lain.

Sememangnya Shinsaibashi merupakan kawasan membeli-belah terbesar di Osaka bahkan antara yang terbesar di seluruh Jepun.

Cari apa saja pastinya ada di sini daripada pakaian, kasut, cenderamata yang pelik-pelik, makanan hinggalah kepada barangan tempatan dan berjenama.

Bagi yang baru pertama kali ke Osaka, satu lagi destinasi yang disaran ialah Muzium Nippon yang terletak di ibu pejabat syarikat tersebut di Jalan Oyodokita.

Merakam sejarah panjang 120 tahun sejak syarikat itu ditubuhkan oleh dua beradik pada 1881. Pelbagai catatan sejarah menarik dan tentang penemuan-penemuan baru terakam di sini.

sumber daripada utusan malaysia





NS, 3 KELAB TUMPUAN SUKU AKHIR

Oleh HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - KL PLUS, KM Naza dan Johor FC terus cuba menjejak kejayaan MPPJ bergelar kelab pertama menjulang Piala Malaysia pada 2003 manakala kekebalan Negeri Sembilan turut teruji lagi pada suku akhir pertama persaingan berprestij bola sepak negara, malam ini.

Masih ada maruah bola sepak Kuala Lumpur, Kedah dan Johor yang terpikul di bahu anak buah Mat Zan Mat Aris, Nidzam Adzha Yusof dan Ramlan Rashid namun persoalannya, apakah perjuangan mereka direstui penyokong pasukan negeri itu yang telah kecundang di peringkat kumpulan?

Status dan nama mereka mungkin berlainan malah tidak segah negeri namun jika mutu permainan bola sepak yang dipaparkan itu sentiasa meningkat dan terpuji, tiada salahnya peluang dan sokongan peminat di Cheras, Paroi dan Pasir Gudang dialihkan kepada tiga kelab ini.

Reputasi tanpa kalah milik juara Kumpulan B Si Rusa bimbingan Wan Jamak Wan Hassan pasti dicemburui KM Naza yang turut mengidam gelaran 'Pemusnah Gergasi' terus dilabelkan pada mereka selepas menumbangkan Selangor 3-2 di Alor Setar, minggu lalu.

Malah perlu diingat bahawa Merah Kuning, pemenang tiga piala musim ini, nyaris kecundang kerana ditinggalkan dua gol oleh kelab Kedah ini di Stadium Shah Alam sebelum terpaksa tuan rumah mengerah pengalaman dan memulihkan ketahanan mental mereka untuk menang 3-2.

Misi Negeri Sembilan mempertahankan reputasi itu sebenarnya lebih perit daripada memburunya apatah lagi KM Naza membariskan orang lama seperti B. Rajnikandh, Anuar Jusoh, Liew Kit Kong dan Akmal Rizal Rakhli yang mungkin mempunyai resipi tertentu untuk dihidangkan secara 'mengejut' di Paroi.

Namun pandangan jurulatih Selangor, K. Devan agak berlainan kerana menganggap Terengganu yang bakal dihadapinya di Shah Alam, jauh lebih handal daripada ketiga-tiga lawan anak buahnya dalam Kumpulan D lalu termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah.

"Kami menang 3-1 di Shah Alam dan kalah 2-1 di Kuala Terengganu dalam kedua-dua pusingan Liga Super musim ini namun inilah sebenarnya pasukan yang wajar diberikan lebih perhatian berbanding tiga pasukan peringkat kumpulan lalu.

"Kami mahu menyerang habis-habisan kerana perlukan bekalan gol yang selesa sebelum bertandang ke sana tetapi kami percaya lawan akan lebih banyak bertahan dalam pertemuan pertama ini," kata Devan kepada Utusan Malaysia, semalam.

Dia cukup arif bahawa Ken Worden akan memainkan peranan penting dalam mendidik barisan belakangnya menutup segala ruang buat Safee Sali, Amirulhadi Zainal, Amri Yahyah, Rudie Ramli dan R. Surendren kerana setiap inci yang terbolos bererti bahaya besar buat Terengganu.

Turut menarik dalam peringkat kalah mati Piala Malaysia ini ialah kemaraan KL PLUS yang memintas Perlis sebagai juara Kumpulan A di samping gandingan berbisa Fadzli Saari-Haris Safwan Kamal yang terus ditagih untuk menggoncang Kelantan.

"Selain mereka saya harapkan kelebihan gelanggang sendiri mampu membantu kami mendapatkan modal suku akhir pertama walaupun saya tahu penyokong Kelantan akan hadir lebih ramai di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

"Saya percaya mungkin jika Khalid Jamlus tidak diturunkan pun, pelawat masih memiliki ramai pemain kebangsaan dan berpengalaman seperti Nor Farhan Muhammad dan Indra Putra Mahayuddin, jadi kami akan sentiasa berhati-hati dan sedia menghadapi apa sahaja," katanya

sumber daripada utusan malaysia

Sunday, October 18, 2009

NICOL JUMPA OMNEYA DI FINAL

KUALA LUMPUR - Juara bertahan, Datuk Nicol David melangkah ke perlawanan akhir selepas menumpaskan pemain England, Laura Lengthorn Massaro pada separuh akhir kejohanan Skuasy Terbuka Hong Kong, semalam.

Pemain nombor satu dunia itu menewaskan Messaro dengan keputusan straight set 11-6, 11-5 dan 12-10 dalam perlawanan yang berlangsung di dalam gelanggang kaca.

Nicol yang mempertahankan gelaran kejohanan itu buat kali keempat berturut-turut akan bertemu pemain dari Mesir, Omneya Abdel Kawy pada perlawanan akhir hari ini.

"Perlawanan di gelanggang kaca ini sesuatu yang baru buat kami berdua tetapi Messaro lebih cepat menyesuaikan diri.

"Saya hanya dapat membiasakan diri dan mengejar permainan menjelang berakhirnya set pertama.

"Messaro membuat beberapa kesilapan yang membantu saya. Pada set ketiga Messaro memberi tentangan dengan beberapa pukulan yang baik. Saya hanya bertahan dan gembira dapat mengatasinya," kata Nicol. - Bernama

PASUKAN KELAB TETAP GERUN AKSI PASUKAN GERGASI

Oleh SAYED HESHAM IDRIS

sukan@utusan.com.my


KUALA LUMPUR - Prestasi memuncak pasukan lawan tidak menghalang pasukan bertaraf kelab, Johor FC dan KM Naza memasang impian untuk melepasi peringkat suku akhir saingan Piala Malaysia yang bermula Selasa ini.

Berdepan naib juara Liga Super, Perlis di Stadium JCORP, Pasir Gudang, Johor FC mahu mencari bekalan selesa menjelang perlawanan suku akhir kedua di tempat lawan di Stadium Utama Negeri, Kangar, Sabtu ini.

Pendatang baru, KM Naza pula berhati-hati dengan ketajaman jentera serangan Negeri Sembilan yang meledak 15 gol dalam saingan peringkat kumpulan apabila beraksi di laman lawan, Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban.


Aksi di di gelanggang sendiri bakal menjadi kelebihan jurulatih Johor FC, Ramlan Rashid untuk memburu sebanyak mungkin gol serta memastikan gawang mereka tidak dibolosi.

Namun, ia bukan tugas mudah kerana berdasarkan pertembungan dalam Liga Super, Perlis menang kedua-dua perlawanan dengan Johor FC.

"Rekod pertembungan kami dengan Perlis kurang baik musim ini. Kami kalah 2-1 di tempat sendiri, dan kemudian sekali lagi kalah 1-0 di Kangar.

"Saya mengharapkan bahang semangat aksi dalam kempen Piala Malaysia mampu menukar keputusan tersebut apabila kami berdepan Perlis Selasa ini,'' katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia semalam.

Ramlan mengakui, Perlis sebuah pasukan yang matang kerana dibarisi pemain berpengalaman dan menyifatkan kelebihan memihak kepada Perlis.

"Mereka mempunyai penjaga gol kebangsaan, Mohd. Farizal Marlias, penyerang berpengalaman yang masih lagi beraksi untuk skuad kebangsaan, Nizaruddin Yusof dan pemain lincah, K. Soley.

"Mungkin suasana ketika peringkat saingan kalah mati ini dapat menaikkan semangat dan persembahan kami.

"Aksi separuh akhir ini merupakan langkah pertama kami dalam memperbaiki pencapaian musim lalu apabila mara ke peringkat separuh akhir,'' katanya.

Sementara itu, jurulatih KM Naza, Mohd. Nizam Adha Yusof pula mengakui 'gerun' dengan keupayaan jentera serangan Negeri Sembilan yang menjaringkan 15 gol dan hanya sekali dibolosi ketika saingan peringkat kumpulan.

Statistik itu katanya, membuktikan Negeri Sembilan berada pada puncak prestasi.

"Agak menakutkan apabila saya melihat statistik jaringan mereka. Lantaran memang sukar untuk kami menjadikan aksi di Paroi nanti sebagai peluang untuk mencari kelebihan menjelang perlawanan kedua di tempat sendiri.

"Sebaliknya, saya jangkakan Negeri Sembilan yang akan bermati-matian untuk memburu gol sebagai bekalan selesa sebelum perlawanan suku akhir kedua di Alor Setar nanti.

"Namun, kami juga ada kelebihan sendiri kerana selepas kalah pada perlawanan pertama (peringkat kumpulan) kepada Selangor, kami menang tiga perlawanan. Apa yang melegakan, kami menjaringkan tiga gol di setiap perlawanan yang kami menangi.

"Kami akan berhati-hati di Paroi nanti dengan mempertaruhkan Akmal Rizal yang masih memiliki sentuhan berbisa seperti dahulu,'' katanya.

Tambah Nizam, dalam masa yang sama KM Naza mahu menyekat penjaring terbanyak Negeri Sembilan ketika saingan peringkat kumpulan, Mohamad Zaquan Adha Abdul Razak yang meledak enam gol.

"Selain Zaquan, kami juga perlu mengambil perhatian terhadap lain-lain pemain berpengalaman Negeri Sembilan seperti Shukor Adan, Idris Karim serta Rezal Zambery Yahya.

"Apa yang dapat saya katakan, kami akan mencuba yang terbaik di Paroi nanti,'' kata Nizam lagi.

sumber daripada utusan malaysia

SALAM CERIA


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Saturday, October 17, 2009

SULTAN ABDUL HAMID II - DERITA DALAM BUANGAN

Tidak dapat dibayangkan bagaimana sedih dan kecewanya sultan terakhir Daulah Uthmaniyah Turki, Sultan Abd Hamid 11 menghadapi saat-saat genting ketika diturunkan dari takhtanya oleh rejim sekular Mustafa Kemal Ataturk dan kemudian beliau diasingkan dengan hinanya ke Salonika (Yunani).

Beberapa waktu kemudian Sultan Abd Hamid dipindahkan pula ke istana tua Belarbe, Istanbul, bukan sebagai raja yang kembali berkuasa, tetapi sebagai tahanan dalam istana hingga wafat pada 10 Februari 1918 dalam keadaan sepi dan kecewa pada ketika negaranya, Turki bertukar pemerintahan dari Daulah Uthmaniah yang beribu negara di Istanbul kepada pemerintahan perwakilan yang membentuk parlimen di Ankara di mana Ataturk mengisytiharkan dirinya sebagai presiden republik Turki.

Maka lenyaplah kuasa Daulah Uthmaniyah pada 1924. Sultan Abd Hamid 11 adalah pemerintah Daulah Islamiyah dari generasi yang ke-27.

Ketika merenung laut Marmara yang membiru, tidak jauh dari Dolmabance, salah sebuah istana lama Sultan Abd Hamid di Istanbul pada suatu pagi beberapa waktu lalu, saya teringat catatat hariannya yang telah dibukukan di mana menceritakan detik-detik akhir kejatuhannya dengan sangat pedih dan getir. Iaitu kisah bagaimana ia dibuang negeri ke Salonika bersama putera puterinya, diasingkan di istana tua, dihina dan beberapa kali percubaan membunuhnya oleh ejen tentera Ataturk.


Catatan hariannya itu, antara lain menyebutkan bahawa penggulingan kerajaan Uthmaniah adalah disebabkan:

* Konspirasi jahat dari negara kafir – Inggeris, Perancis, Itali, Prusia, Rusia dan lain-lain yang menghendaki hancurnya Daulah Uthmaniah.

* Pecah belah yang ditaja oleh negara Barat melalui nasionalisme yang mengakibatkan negara Balkan seperti Serbia, Montenegro, Bosnia Herzegovena, Crosia, Kosovo, Bulgaria, Hungary, Rumania, Albania, termasuk Yunani, membebaskan diri dari ikatan Daulah Uthmaniah. Begitu juga perbuatan negara Arab – Mesir, Hejaz, dan Nejd, Lebanon juga keluar dari Daulah Uthmaniah kerana dihasut oleh Inggeris.

* Tentangan dari organisasi massa seperti Turki Muda, Persatuan dan Kemajuan, dan orgaisasi wanita yang menuntut kebebasan dan hak sama, yang didukung oleh negara asing, semuanya untuk menghancurkan Daulah Uthmaniah.

* Kekuatan Yahudi dan Freemason yang mahu mendirikan negara Yahudi di Al-Quds (Palestin).


Dari catatan harian Sultan Abd Hamid II ini, kita boleh mendapat pelajaran sejarah yag amat berharga, terutamanya detik-detik akhir kehidupan seorang khalifah.

Semasa dalam tahanan di istana tua itu, Sultan Abd Hamid dan keluarganya dihina denga amat sangat oleh para pengawal tentera. Mereka tidak dibenarkan membaca akhbar dan mendengar radio, diberi makanan sekadarnya, tidak dibenarkan keluar istana. Bahkan berlaku suatu peristiwa jahat para pegawai tentera yang menjaganya. Pada suatu malam Aidiladha, askar yang mengawal cuba melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap puteri Sultan, bernama Sydiyah.

Tentera pegawal itu menimbulkan perkhabaran bahawa mereka merancang akan meletakkan gas di bawah kamar puteri Sydiyah dan ketika istana itu terbakar, puteri sultan itu akan lari mendapatkan askar yang berkawal untuk meminta perlindungan. Di situlah dirancangkan perbuatan tidak senonoh terhadap puteri Sydiyah dan akan dihebahkan kepada akhbar di Istanbul untuk memalukan sultan dan keluarganya. Namun perancangan itu gagal.

Cubaan membunuh

Catatan harian Sultan Abd Hamid itu menyebutkan peristiwa percubaan askar pengawal untuk membunuhnya di istana tua tempat ia dikurung. Ini berlaku, menurut pembantu khas Sultan, Ali Said Bek, ketika Sultan Abd Hamid pergi bersolat Jumaat di kota Istanbul. Selepas solat beliau menaiki kenderaan untuk pulang ke istana. Di tengah jalan beliau bertemu dengan Syeikhul Islam Jamaluddin Afandi dan berbincang panjang mengenai pelbagai masalah Turki.

Akhirnya Sultan terlambat pulang ke istana dan ini menyelamatkannya dari menjadi korban ledakan bom yang dirancang diletakkan di istana untuk membunuhnya ketika pulang dari solat Jumaat. Ledakan bom oleh orang Armenia itu sangat dahsyat. Bangunan tempat Sultan tinggal telah terbakar, banyak mangsa yang hangus dan berjatuhan, serpihan kaca bertaburan.


Sultan Abd Hamid waktu itu dalam perjalaan pulang ke istana dan amat terkejut dengan peristiwa itu.

Beliau menceritakan bahawa sama ada ketika dalam pembuangan di Salonika atau di istana tua di Istanbul, beliau dan keluarganya tidak dibenarkan keluar, malah ke perkarangan istana kecuali untuk solat Jumaat di luar istana. Makanan beliau dan putera puterinya dicatu, sementara mutu makanan juga sangat rendah, seluruh hartanya pula dirampas oleh tentera Ataturk.

Hari-hari yang dilalui oleh Sultan Abd Hamid dalam buangan dan pengasingan sangat menyedihkan. Ia dan keluarganya sentiasa diancam akan dibunuh, istana tua itu akan diletupkan. Dan sangat malang, kata catatan Sultan Abd Hamid lagi, bahawa ada di kalangan pegawai kerajaan baru Turki yang khianat kepada negara, seperti Mahmud Syaukat Pasha dan beberapa orang lagi yang telah menjadi orang suruhan Yahudi dan Freemason serta British.

Pada suatu pagi selepas solat Subuh, Sultan memanggil puteranya, Abdul Rahman. Dialah waris terpenting selepas ketiadaan Sultan. Kepada Abd Rahman, Sultan memberitahu dengan nada sedih bahawa: “Kita akan memberikan semua harta kita kepada pihak tentera kerana tentera memaksa kita menyerahkannya.”


Puteranya itu menangis teresak-esak. Dia menjadi amat takut dengan para tentera yang ganas itu. Beberapa hari berikutnya di lobi Deutche Bank, di Istanbul, berlaku upacara penyerahan secara paksa semua harta, termasuk wang Sultan Abd Hamid kepada pihak berkuasa tentera. Putera puteri Sultan tidak dibenarkan menyaksikan upacara itu. Putera kelima Sultan, Abied cuba juga untuk melihat upacara penyerahan harta ayahandanya itu tetapi dihalang oleh para pegawai tentera dan bank.

Tidak benarkan Yahudi beli tanah Arab

Sikap tegas Sultan Abd Hamid terhadap Yahudi dan Inggeris menyebabkan dua pihak itu memusuhinya. Sultan Abd Hamid tidak membenarkan tanah orang Arab Palestin dijual kepada Yahudi. Menurut catatan seorang ahli sejarah Turki, Jamal Quthaiy bahawa setelah persidangan zionisme ke tiga di Zurich pada tahun 1896, wakil Yahudi, Immanuel Krusow, telah mencadangkan kepada Sultan Abd Hamid supaya menjual tanah pertaniannya di Palestin (ketika itu Palestin di bawah riayah Turki) kepada Yahudi. Namun permintaan Yahudi itu ditolak oleh Sultan Abd Hamid menyebabkan Yahudi sangat marah.Ini menyebabkan wakil Yahudi itu berikrar untuk datang lagi dan akan berusaha menghancurkan pemerintahan Uthmaniah.

Ada beberapa orang pegawai kerajaan Ataturk seperti Ali Mohsen Bek, yang menunjukkan simpati dan membantu Sultan Abd Hamid menulis memoirnya di istana. Tetapi setelah pihak atasan mengetahui hal ini lalu mereka dipenjarakan. Lebih malang lagi usaha Sultan menulis memoirnya dianggap sebagai perbuatan jenayah oleh tentera.


Ada sesetengah pemimpin negara Arab menganggap Sultan Abd Hamid II sebagai seorang diktator ketika memerintah Turki. Ini akibat hasutan Barat, khususnya British dan Yahudi. Namun bagi rakyat Palestin, Sultan Abd Hamid sangat besar jasanya kerana Khilafah Uthmaniah Turki itu melindungi kepentingan rakyat Palestin. Sementara kebanyakan umat Islam hingga kini, masih mengenang jasa kerajaan Uthmaniah melindungi Islam

sumber daripada internet tp x pasti yang mana 1