Wednesday, February 17, 2010

FILEM SERAM YANG SURAM



BIARPUN Hollywood sering disindir sudah kekeringan cerita apabila masih mahu mengulang semula cerita lama, tetapi masih terdapat eksekutifnya yang yakin ada penonton akan terpesona dengan pendekatan sedemikian.

Bagi mereka, bukankah cerita yang ada hari ini sekadar pengulangan cerita-cerita yang sudah selalu diceritakan? Tetapi mengulang tema tentulah juga tidak sama dengan 'membikin semula' filem yang sudah pernah dihasilkan dahulu.

Apabila produksi Hollywood masih ghairah membikin semula filem lama, tentulah ada yang hendak mereka buktikan kepada khalayak baru hari ini.

Filem The Wolfman yang diarahkan oleh Joe Johnston daripada lakon layar tulisan Andrew Kevin Walker dan David Self ini merupakan pembikinan semula filem The Wolfman tahun 1941 arahan George Wagger. Persoalannya, apakah sentuhan dan pendekatan Johnston kali ini mampu memberikan sesuatu yang baru dan lebih menarik daripada filem asal atau mampu memberikan dimensi baru kepada genre ini?

Sebelum filem The Wolfman, kisah manusia serigala jadian ini lebih dahulu memasuki pasaran arus perdana filem Hollywood melalui filem Werewolf in London, 1935.

Bagaimanapun, filem yang dianggap klasik dalam siri manusia serigala jadian ini ialah filem An American Werewolf in London (1981) arahan John Landis.

Filem ini mengisahkan dua pelajar remaja Amerika di London diserang serigala hingga menyebabkan kematian dan trauma hingga bertukar menjadi serigala jadian lalu memburu mangsa di kota London.

The Wolfman bukan sahaja dianggap antara filem serigala jadian terbaik tetapi kesan solekannya yang menukar fizikal manusia menjadi serigala dianggap telah membawa revolusi kepada mekap untuk filem seram dekad 1980-an.

Kisah serigala jadian dalam kehidupan manusia telah menjadi sebahagian daripada mitos masyarakat Barat.

Mitos ini menjadi sebahagian daripada tradisi dalam genre filem seram Hollywood iaitu konsep seram yang menyaksikan transformasi manusia menjadi makhluk menakutkan seperti konsep transformasi dalam filem Frankenstein. Inilah konsep yang diulang dalam filem The Wolfman.

Filem The Wolfman mengambil latar di Blackmoor, England sekitar tahun 1891 yang bermula dengan kematian Ben Talbot akibat diserang oleh mahkluk yang tidak diketahui.

Kematian Ben memaksa Lawrence (Benicio del Toro) kembali dari Amerika. Kepulangan Lawrence ke rumah besar bapanya Sir John Talbot (Anthony Hopkins) itu menyingkap misteri kehidupan bapanya dan kematian ibu serta adiknya, Ben.

Bagaimanapun, Lawrence sendiri kemudiannya cedera parah ketika cuba menyelamatkan kanak-kanak Gipsi daripada serangan serigala. Kesan daripada kecederaan itu telah menukar hidup Lawrence apabila dia kemudian berubah menjadi serigala apabila tiba waktu malam ketika bulan mengambang.

Walaupun Lawrence yang berubah menjadi serigala adalah 'monster' yang ganas dan kejam, tetapi anehnya dia mengenali dan tidak pula menyerang Gwen Conliffe (Emily Blunt) yang pernah menjadi tunang adiknya dan dia sendiri mula menyukainya.

Naratif filem The Wolfman versi Joe Johnston ini tidak ada yang baru dan segar. Malah naratif keseluruhan filem ini gagal. Filem The Wolfman ini bukan sahaja khabarnya terpaksa melalui beberapa penggambaran semula dan penyuntingan semula.

Filem ini seharusnya menjadi ruang untuk memperlihatkan kehebatan lakonan Benicio del Toro dan Anthony Hopkins. Tetapi kemuncak dramatik yang diharapkan tidak berlaku. Sebaliknya, pertempuran antara keduanya dalam adegan akhir yang sudahpun dijangka, lebih diingat sebagai pertempuran antara dua binatang.

Bahkan, transformasi serigala yang berlaku ketika bulan mengambang selain daripada ulangan stereotaip, efeknya tidak mencengkam dan dramatik seperti dilakukan oleh John Landis dalam filem An American Werewolf in London.

Apabila sesebuah filem itu dibikin semula, selain keistimewaan filem yang dahulu, maka filem baru ini seharusnya akan mengemukakan agenda pemikiran dan konflik politik yang baru walaupun landasnya daripada naratif yang lama. Malangnya filem ini sekadar ulangan. The Wolfman hanyalah sebuah filem biasa yang tenggelam dan berakhir dalam kesuraman visualnya.

sumber daripada utusan malaysia

Sunday, February 14, 2010

THE BEAUTY OF SUNSET


SAKITNYA MATI...

Allah merahsiakan saat kematian kita, adalah untuk melihat sejauh mana kita melaksanakan amalan yang telah ditetapkan kepada kita dan sedalam mana pula kita meninggalkan larangannya. Manusia yang hatinya sentiasa ingatkan mati, akan melaksanakan tugas yang telah diamanahkan kepadanya dengan lebih jujur, bersungguh-sungguh dan ikhlas untuk mendapat keredhaan Allah. Manusia begini sentiasa merasai setiap tingkah lakunya diperhatikan oleh Allah SWT. Dan ia juga mengetahui setiap tanggungjawab dan amanah yang dipikul akan ditanya satu persatu oleh Allah di akhirat kelak.

Kesakitan bila nyawa dicabut oleh malaikatul maut tidak dapat dibayangkan sama sekali. Walau bagaimanapun Nabi ada bersabda, maksudnya: "Bahawa Rasulullah mengingatkan tentang mati dan keseksaannya, maka sabda Baginda: Iaitulah sakitnya 300x tetakan pedang." Bayangkanlah jika kita ditetak atau dipukul dengan kayu, rotan mahupun besi bukan banyak, cuma sekali saja, itupun sudah tidak dapat digambarkan kesakitannya. Inikan pula ditetak dengan 300x tetakan.

Bayangkanlah sendiri. Cuba kita tanggalkan pula kuku daripada isinya, pastinya sakit tidak tertahan. Daging disiat-siat dan dilapah hidup-hidup, dahaga yang amat sangat sehingga air lautan di dunia ini tidak mampu menghilangkannya. Semuanya ini cuma secebis dari perbandingan kesakitan maut,malah beribu-ribu kali lebih sakitnya daripada itu. Oleh itu, untuk meringankan keseksaan roh ketika dicabut oleh malaikat maut, maka digariskan beberapa amalan tertentu yang perlu diamalkan. Antaranya:-

Sebelum tidur:

1] Bacalah surah Al-Ikhlas tiga kali
2] Selawat ke atas Nabi
3] Membaca tasbih

Amalan harian:

1] Sentiasa membaca Al-Quran
2] Memelihara solat terutama solat fardu
3] Menghormati (jangan bercakap) waktu azan diperdengarkan
4] Membaca tasbih
5] Membanyakkan sedekah
6] Sentiasa berzikir menyebut Allah

Amalan yang perlu dijauhi:

1] Dusta
2] Khianat
3] Mengadu domba
4] Kencing berdiri

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Bersuci kamu sekalian dari buang air kecil kerana sesungguhnya kebanyakkan seksa kubur itu dari sebab buang air kecil."

Pada suatu hari malaikatul maut datang untuk bertemu dengan Nabi Idris as lalu Nabi Idris meminta agar malaikatul maut mencabut nyawanya dan kemudian Allah menghidupkannya kembali. Permintaan ini dilakukan untuk Nabi Idris as mengetahui kesakitan sakaratul maut agar taqwanya lebih mendalam dan teguh lagi. Maka Allah memberikan wahyu kepada malaikatul maut supaya mencabut nyawa nabi Idris dan meninggalkan ketika itu juga. Malaikatul maut menangis dan memohon kepada Allah supaya Dia (Allah) menghidupkan kembali Nabi Idris lalu dimakbulkan Allah.

Setelah di dapati Nabi Idris as sudah hidup kembali, malaikatul maut bertanya: "Ya saudaraku, bagaimana rasanya kesakitan maut?" Jawab Nabi Idris: "Sesungguhnya ibarat terkelupasnya kulit dalam keadaan hidup-hidup, maka rasa sakit menghadapi maut itu lebih dari 1000 kali sakitnya." Kata malaikat maut: "Secara berhati-hati dan tidak kasar yang telah saya lakukan khusus mencabut nyawa engkau itu, belumlah pernah aku lakukan terhadap seseorang pun."

Diriwayatkan lagi bahawa Nabi Isa as telah menghidupkan beberapa orang yang telah mati dengan keizinan Allah. Maka sebahagian orang kafir berkata: "Sesungguhnya engkau telah menghidupkan orang-orang yang telah mati yang masih baru, yang mungkin mereka itu belum benar-benar mati. Maka cuba hidupkan untuk kami orang yang telah mati seperti zaman yang awal dulu." Kata Nabi Isa as: "Cubalah kamu pilihkan?" Mereka berkata:Hidupkanlah untuk kami anak Nabi Nuh as (Sam bin Nuh)."

Maka Nabi Isa as pergi ke kuburnya, lalu mengerjakan solat dua rakaat dan berdoa kepada Allah. Dan Sam bin Nuh dihidupkan kembali, tetapi rambut dan janggutnya sudah beruban. Nabi Isa as hairan kenapa jadi begitu. Berkata Sam bin Nuh: "Saya telah mendengar panggilanmu dan saya mengira hari kiamat telah tiba, maka rambut dan janggut saya berubah menjadi putih seperti ini dari sebab takutnya hari kiamat. Berkata Nabi Isa as: "Sudah berapa tahun kau meninggal dunia?" Kata Sam: "Semenjak 4000 tahun lalu maka belumlah hilang sakit dari sakaratul maut."


sumber daripada internet

Friday, February 12, 2010

PANDUAN MENGENALI LELAKI BAIK


Lelaki jujur tidak gemar kalau dia dicurigai. Dia juga tidak suka dikatakan sedang menyembunyikan sesuatu. Lelaki jujur biasanya cemerlang dalam pelajaran ataupun pekerjaan. Dia tidak punya masa untuk bermain sembunyi-sembunyi. Dia suka berterus terang dan dia mahu orang mempercayai kata-katanya. Kalau dia dicurigai dia boleh berasa amat kecewa dan boleh bertindak.

Misalnya, seorang suami yang memang tiada apa-apa skandal di luar, jika isterinya tidak habis-habis melemparkan kata-kata curiga, dia boleh bertindak betul seperti apa yang dikatakan oleh isterinya itu. Aku jujur pun isteri aku kata aku tak jujur. Baiklah aku tak payah jujur. Dikhuatiri kata-kata begini mula terdapat di dalam hatinya. Dia mungkin tidak bertindak songsang pada waktu terdekat, tetapi apabila titik hitam mula terbentuk di hatinya lambat laun, ia mungkin terjadi.

Begitu juga seorang lelaki jujur dalam kategori tunang ataupun teman. Orang jujur memang tidak patut dicurigai. Sebenarnya bukan orang jujur saja, siapapun tidak suka jika dia dikatakan tidak baik, meskipun dia memang tidak baik. Jadi, cuba bayangkan perasaan seorang yang baik tetapi asyik dicurigai.

Persoalannya bagaimanakah hendak mengenali lelaki baik? Memang sukar namun kita perlu berpegang pada satu-satu prinsip untuk dijadikan panduan. Kita boleh kata tak semestinya begitu dan tak semestinya begini, tapi jika kita terus berkata begitu, kita tidak akan mencapai kesudahan. Kita akan menjadi seorang jurutikai dan tiba-tiba tanpa kita sedar dia sudah pun meninggalkan kita kerana tidak tahan dengan kerenah kita.

Oleh itu, jadikan apa yang akan saya paparkan di bawah ini sebagai panduan saja. Tidak semestinya betul, harus salah. Lelaki itu jujur jika:

1. Dia seorang yang cemerlang dalam usaha yang dilakukannya. Tidak semestinya betul tetapi kita boleh berpegang lelaki yang sibuk membina kecemerlangan diri memang tidak sempat untuk membina cinta-cinta palsu. Mana mungkin seorang yang sibuk menguruskan perniagaan ataupun tekun melakukan kerjanya ataupun seorang pelajar yang sibuk menelaah ada masa untuk mempermainkan wanita.

2. Dia seorang yang kuat pengamalan agamanya. Tidak semestinya betul sebab orang yang kuat beribadah pun tidak terlepas daripada godaan syaitan, malah semakin besar serbannya semakin besar pula syaitannya. Namun, tentulah lebih ramai yang sempurna hasil kuat peribadahan agamanya berbanding yang ambil tidak peduli dengan agamanya.

3. Dia seorang yang amat mengambil berat tentang keluarganya. Seorang lelaki yang baik pasti seorang yang amat disenangi oleh seluruh ahli keluarganya.Tumpuannya pada kerjaya, keluarga dan TUHAN.

Gabungan ketiga-tiga aspek ini menjadikan seseorang lelaki itu sempurna. Dia sudah tentu tidak punya masa untuk menjalin hubungan-hubungan luar biasa sebab kesibukannya bersama kerjaya, keluarga dan TUHAN.

Kerjaya menjadikannya seorang yang sibuk untuk mengejar matlamat, keluarga sandarannya untuk menjadi seorang penyayang dan bertanggungjawab. TUHAN pula menjadi pengharapannya demi kehidupan yang lebih baik dan sempurna serta kekal abadi. Apakah anda fikir seorang lelaki yang mempunyai tiga aspek begini masih patut dicurigai?

Ramai suri rumah akhirnya ditinggalkan kerana terlalu prasangka, menyangka yang bukan-bukan serta merangsang suami dengan tuduhan-tuduhan tidak berasas. Nasihat saya, berilah kepercayaan padu kepada suami anda selagi belum terbukti sesuatu. Selagi ia berlegar dalam pemikiran ia tidak perlu dilayan.

Selamat membina perhubungan intim danjadilah orang yang ceria serta bahagia sepanjang hidup kita. Saling mempercayai lebih bagus daripada saling mencurigai.Wallahu'alam. ..

sumber: Dr.tuah

MATI...BERSEDIAKAH ANDA?


TANDA-TANDA KEMATIAN

Adapun tanda-tanda kematian mengikut ulamak adalah benar dan wujud cuma amalan dan ketakwaan kita sahaja yang akan dapat membezakan kepekaan kita kepada tanda-tanda ini. Rasulullah SAW diriwayatkan masih mampu memperlihat dan menceritakan kepada keluarga dan sahabat secara lansung akan kesukaran menghadapi sakaratul maut dari awal hinggalah akhirnya hayat Baginda.

Imam Ghazali rahimahullah diriwayatkan memperolehi tanda-tanda ini sehinggakan beliau mampu menyediakan dirinya untuk menghadapi sakaratul maut secara sendirian. Beliau menyediakan dirinya dengan segala persiapan termasuk mandinya, wuduknya serta kafannya sekali, cuma ketika sampai bahagian tubuh dan kepala sahaja beliau telah memanggil abangnya, iaitu Imam Ahmad Ibnu Hambal untuk menyambung tugas tersebut.

Beliau wafat ketika Imam Ahmad bersedia untuk mengkafankan bahagian mukanya. Adapun riwayat-riwayat ini memperlihatkan kepada kita sesungguhnya Allah SWT tidak pernah berlaku zalim kepada hambanya. Tanda-tanda yang diberikan adalah untuk menjadikan kita umat Islam supaya dapat bertaubat dan bersedia dalam perjalanan menghadap Allah SWT.


Walaubagaimanapun semua tanda-tanda ini akan berlaku kepada orang-orang Islam sahaja manakala orang-orang kafir iaitu orang yang menyekutukan Allah nyawa mereka ini akan terus di rentap tanpa sebarang peringatan sesuai dengan kekufuran mereka kepada Allah SWT. Adapun tanda-tanda ini terbahagi kepada beberapa keadaan :

Tanda 100 hari sebelum hari mati.

Ini adalah tanda pertama dari Allah SWT kepada hambanya dan hanya akan disedari oleh mereka yang dikehendakinya. Walaubagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma samada mereka sedar atau tidak sahaja. Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar. Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan-akan mengigil. Contohnya seperti daging lembu yang baru saja disembelih dimana jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar. Tanda ini rasanya lazat dan bagi mereka yang sedar dan berdetik di hati bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran tanda ini. Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian , tanda ini akan lenyap begitu sahaja tanpa sebarang manfaat. Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini maka ini adalah peluang terbaik untuk memanfaatkan masa yang tinggal untuk mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.

Tanda 40 hari sebelum hari mati

Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah SWT. Maka malaikat maut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita, antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa. Akan terjadi malaikat maut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika. Adapun malaikat maut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.

Tanda 7 hari

Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba-tiba ianya berselera untuk makan.


Tanda 3 hari

Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu diantara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti. Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu dimana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.

Tanda 1 hari

Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.

Tanda akhir

Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikatmaut untuk menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula.



Sesungguhnya marilah kita bertaqwa dan berdoa kepada Allah SWT semuga kita adalah di antara orang-orang yang yang dipilih oleh Allah yang akan diberi kesedaran untuk peka terhadap tanda-tanda mati ini semoga kita dapat membuat persiapan terakhir dalam usaha memohon keampunan samada dari Allah SWT mahupun dari manusia sendiri dari segala dosa dan urusan hutang piutang kita.

Walaubagaimanapun sesuai dengan sifat Allah SWT yang maha berkuasa lagi pemurah lagi maha mengasihani maka diriwatkan bahawa tarikh mati seseorang manusia itu masih boleh diubah dengan amalan doa iaitu samada doa dari kita sendiri ataupun doa dari orang lain. Namun ianya adalah ketentuan Allah SWT semata-mata. Oleh itu marilah kita bersama-sama berusaha dan berdoa semuga kita diberi hidayah dan petunjuk oleh Allah SWT serta kelapangan masa dan kesihatan tubuh badan dan juga fikiran dalam usaha kita untuk mencari keredhaan Allah SWT samada di dunia mahupun akhirat. Wallahualam


Apa yang baik dan benar itu datangnya dari Allah SWT dan apa yang salah dan silap itu adalah dari kelemahan saya sendiri.

* Mohon ditegur atau dikomen oleh ustaz-ustaz atau yang arif sekiranya saya salah memberikan info
Amirullah
~ Ilmu hak bersama.. ~
sumber daripada internet

Tuesday, February 9, 2010

PELAWAT KE PERANCIS DILARANG MEMEKAI BURQA

PARIS 8 Feb. - Rakyat asing yang mahu tinggal di Perancis perlu menandatangani satu kontrak yang mengakui pemakaian burqa adalah diharamkan sama sekali di negara itu, kata seorang menteri hari ini.

Menteri Keluarga, Nadine Morano berkata, klausa 'pengharaman burqa' dan satu peruntukan kedua yang menolak pencabulan hak ke atas wanita, harus ditambah kepada 'kontrak integrasi' yang perlu ditandatangani setiap pendatang baru sejak tahun 2007.

Kerajaan negara tersebut sedang menyusun draf perundangan untuk mengharamkan pemakaian purdah selepas satu laporan Parlimen bulan lalu mencadangkan pengharaman memakai burqa di sekolah, hospital, pejabat kerajaan dan pengangkutan awam.

Morano berkata, kontrak yang perlu ditandatangani pendatang baru itu kini hanya menyatakan perkahwinan paksa dan poligami tidak dibenarkan di Perancis kerana 'kesamaan hak antara lelaki dan wanita adalah prinsip utama dalam masyarakat Perancis'.

Menteri tersebut memberitahu radio Perancis bahawa, klausa yang mengharamkan pemakaian burqa juga perlu ditambah kepada peruntukan berkenaan.

"Saya juga mahu menambah bahawa pencabulan hak ke atas wanita adalah sama sekali dilarang," katanya.

Morano berhasrat mencadangkan perubahan itu pada satu persidangan yang diadakan kerajaan hari ini berhubung perdebatan selama tiga bulan berkaitan identiti Perancis yang telah menimbulkan kebimbangan tentang penghijrahan dan Islam.

Perdana Menteri Francois Fillon minggu lalu berkata, beliau akan menandatangani satu dekri yang melarang pemberian hak kerakyatan Perancis kepada lelaki yang memaksa isteri mereka memakai purdah atau burqa.

Presiden Nicolas Sarkozy sebelum ini menyatakan, burqa tidak 'dialu-alukan' dalam pemerintahan sekular Perancis dan beliau menyokong perundangan mengharamkannya, walaupun Sarkozy pernah memberi amaran yang menentang stigma terhadap orang Islam.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, terdapat antara lima hingga enam juta orang penganut Islam di Perancis. Kerajaannya kini sedang berdebat mengenai langkah-langkah untuk mengharamkan purdah walaupun hanya kira-kira 1,900 wanita dilapor memakai burqa.-AP

sumber daripada utusan malaysia

LEGION : ILHAM DARI KITAB LAMA


ANTARA babak-babak mencemaskan daripada filem Legion.


DALAM filem ini angel atau malaikat diberikan watak yang berbeza, menjadi musuh manusia atau syaitan yang merasuk. Tuhan juga dinaratifkan sebagai sudah bosan dengan tingkah laku manusia. Lalu Dia memerintahkan malaikat merasuk manusia untuk kemudiannya memusnahkan manusia. Ini adalah sebahagian daripada elemen yang mendasari cerita dalam filem Legion ini.

Legion sebuah filem yang lakonlayarnya ditulis oleh Peter Schink dan Scott Stewart sendiri sebenarnya cuba mengambil kisah Legion yang telah menjadi sebahagian daripada budaya popular dalam masyarakat barat yang didasari oleh agama Kristian. Kisah Legion kononnya tercatat dalam Injil Perjanjian Baru yang ditulis oleh Mark, Luke dan Matthew tentang pertemuan Isa dengan seorang lelaki telah dirasuk oleh kuasa syaitan yang apabila ditanya namanya, dia mengatakan Legion dan dia datang dengan banyaknya. Legion kemudiannya menjadi sebahagian daripada budaya popular yang muncul dalam komik, muncul dalam cebisan dalam filem-filem dan buku-buku seram. Sejak sekian lama Hollywood sebenarnya sentiasa terpesona dan memperlihatkan pengaruh kisah daripada kitab-kita agama dan mitos keagamaan dalam filem-filem mereka. Maka tidak hairan jika filem Legion ini juga cuba membawa elemen keagamaan dan juga seram sekaligus.

Bukan sahaja pengaruh keagamaan tetapi saya turut melihat pengaruh daripada filem Terminator (1984, James Cameron) )tentang kemunculan cyborg - The Terminator yang perlu menyelamatkan bayi lelaki dalam kandungan Sarah Connor daripada dimusnahkan oleh watak cyborg yang lain. Bayi lelaki ini dikatakan bakal menyelamatkan umat manusia di masa akan datang. Dalam Legion, watak Charlie (Adrianne Palicki) seorang pelayan restoran Paradise Falls yang terletak di tengah gurun sedang mengandung akibat hubungan haramnya dengan seorang lelaki yang telah meninggalkannya. Dalam kekecohan akibat seorang wanita tua aneh bertindak ganas membunuh beberapa orang pelanggan restoran tersebut, muncul seorang lelaki misteri Michael (Paul Bettany) untuk menyelamatkan mereka semua. Michael sebenarnya adalah Malaikat bersama satu lagi Malaikat, Gabriel (Kevin Durand) telah diperintahkan oleh Tuhan untuk memusnahkanmanusia. Tetapi Michael tidak mematuhi arahan tersebut, memotong sayapnya lalu cuba membantu sekumpulan manusia di restoran tersebut daripada dimusnahkan oleh Gabriel. Tetapi tujuan utama Michael sebenarnya untuk menyelamatkan Charlie dan bayi dalam kandungannya daripada dimusnahkan oleh Gabriel dan sejumlah manusia yang telah dirasuk syaitan lalu menjadi "zombie". Di sini watak Cyborg Terminator dan Michael si malaikat, hampir sama, bermula dengan tujuan untuk memusnahkan tetapi kemudian bertindak sebagai bapa untuk menyelamatkan umat manusia di masa akan datang melalui watak bayi lelaki yang bakal dilahirkan. Seperti Cyborg Terminator, Michael juga akhirnya memusnahkan watak Gabriel.

Legion sebenarnya adalah filem kelas B yang cuba mengangkat tema keagamaan dalam jalur filem seram yang telahpun dibawakan oleh filem-filem kelas A yang lebih besar. Malah idea dan tema keagamaan ini bukanlah perkara baru. Hollywood nyata begitu terpesona dengan persoalan kiamat atau kemusnahan alam. Paling terbaru adalah filem 2012. Lebih malang bagi Legion, ia tidak datang dengan plot yang lebih meyakinkan atau idea yang lebih baru. Hal ini kerana beberapa persoalan utama yang dibangkitkan dalam plot filem ini tidak dijawab dengan meyakinkan. Umpamanya, apa pentingnya kanak-kanak itu untuk menyelamatkan manusia di masa akan datang. Lebih buruk kehadiran para zombie juga kelihatan begitu klise, melucukan selain gagal membantu menguatkan filem ini.

Filem seburuk Legion adalah sebahagian daripada kitaran dalam industri filem Hollywood yang memperlihatkan pusingan bawah setelah filem-filem besar Hollywood menguasai pasaran. Filem jenis ini selalunya hanya layak untuk dipasarkan melalui dvd.

sumber daripada utusan malaysia