NAMA sebenarnya ialah Ummu Kulsum binti Uqbah bin Abi Muith al-Amawiyyah al-Quraisyah. Bapanya merupakan seorang musuh Islam yang kuat. Sementara ibunya bernama Arwa binti Kuraiz merupakan srikandi yang memberi sumbangan kepada Islam.
Ummu Kulsum mempunyai saudara tiri yang bernama Usman bin Affan. Manakala adik-beradik kandungnya sebanyak enam orang iaitu al-Walid, Imarah, Khalid, Ummu Kulsum, Ummu Hakim dan Hindun.
Ummu Kulsum seorang wanita yang berani, cekal dan tabah. Hal ini terbukti semasa Ummu Kulsum di tahan oleh orang kafir Quraisy. Mereka menahan Ummu Kulsum daripada ikut serta berhijrah ke Madinah.
Semasa di Mekah, orang kafir Quraisy telah menyeksa Ummu Kulsum dan wanita Islam yang lain. Namun penyeksaan yang diterima oleh Ummu Kulsum tidak mematahkan semangatnya untuk berhijrah ke Madinah. Pada suatu hari, Ummu Kulsum telah mendapat satu idea. Dia ingin berhijrah ke Madinah sendirian.
"Saya rasa dengan cara ini mungkin saya boleh berhirah ke Madinah," bisik Ummu Kulsum sendirian.
Ummu Kulsum mendapat idea, lalu dia pun pergi ke luar rumahnya menjuju ke kampung yang terletak di padang pasir. Perkampungan itu agak terpencil. Ummu Kulsum pergi ke rumah saudaranya yang tinggal di kampung itu.
"Sudah agak lama awak tidak datang ke sini," kata saudaranya.
"Saya sibuk di rumah. Sekarang ini baru saya ada masa lapang," balas Ummu Kulsum.
Mereka berbual panjang. Kemudian Ummu Kulsum bertanya kepada saudaranya, "Bolehkah saya bermalam di sini?"
Saudaranya pun menjawab, "Boleh, apa salahnya. Awak tinggal di sini lebih lama pun tidak mengapa. Kita ini bersaudara. Elok kita jalinkan tali silaturrahim. Banyak pahala dan berkatnya."
"Terima kasih. Saya bercadang untuk tinggal di sini dua atau tiga hari lagi. Kemudian saya perlu pulang ke rumah semula," jelas Ummu Kulsum.
"Baiklah," jawab saudaranya.
Ummu Kulsum bermalam di rumah saudaranya. Dia berharap rancangannya berhijrah ke Madinah akan berjaya. Sampai masanya, Ummu Kulsum pulang semula ke rumahnya.
Saudaranya juga tidak menghalangnya pulang ke rumah. Selang beberapa hari kemudian, Ummu Kulsum bersiap-siap seperti hendak ke rumah saudaranya lagi.
"Saya harap rancangan saya untuk pergi ke Madinah hari ini akan berjaya," bisik Ummu Kulsum sendirian.
Semasa dia bersiap untuk ke luar rumah, keluarganya menegurnya. "Awak hendak pergi ke rumah saudara awak lagikah?"
Sebelum ini keluarga Ummu kulsum sudah mengetahui bahawa dia pergi ke rumah saudaranya di perkampungan terpencil itu.
"Saya perlu bawa sedikit bekalan makanan," kata Ummu Kulsum.
"Ambil makanan ini," kata keluarganya sambil menghulur bekalan makanan kepadanya.
"Berhati-hati semasa dalam perjalanan ke sana," pesan keluarganya.
Ummu Kulsum terlepas daripada ditahan oleh ahli keluarganya. Dia terus berjalan meninggalkan rumahnya.
Kemudian datang seorang lelaki bertanya kepadanya, "Awak hendak kemana?"
"Ini bukan urusan awak. Mengapa awak ingin tahu?" jawab Ummu Kuslum.
Lelaki itu dengan beraninya berkata, "Awak tidak perlu takut dengan saya. Saya berasal dari Khazaah. Sekiranya awak tidak keberatan, saya sedia membantu awak."
"Lega rasanya bila dapat tahu lelaki ini dari Khazaah," bisik Ummu Kulsum sendirian.
Khazaah adalah satu wilayah pemerintahan Nabi Muhammad. Wilayah itu telah terikat dengan syarat-syarat perjanjian yang ditetapkan oleh Nabi Muhammad.
"Saya adalah wanita Quraisy. Saya ingin berjumpa dengan Nabi Muhammad. Masalah saya sekarang ialah saya tidak tahu jalan hendak ke sana," jelas Ummu Kulsum.
Lantas lelaki itu berkata, "Saya tahu selok-belok jalan ke kota Madinah. Jika awak tidak keberatan saya boleh teman awak ke sana."
"Baik, saya setuju," jawab Ummu Kulsum.
Tanpa berlengah masa, lelaki itu pergi mengambil seekor unta. Unta itu diberikan kepada Ummu Kulsum untuk dinaiki. Mereka meneruskan perjalanan. Akhirnya mereka sampai di kota Madinah.
"Seronoknya saya. Dapat juga saya sampai di kota Madinah ini," bisik Ummu Kulsum sendirian.
"Terima kasih kerana sudi membantu saya," ucap Ummu Kulsum kepada lelaki itu.
"Sama-sama. Semoga awak berjaya berjumpa Nabi Muhammad," kata lelaki itu pula.
Akhirnya Ummu Kulsum berjaya berjumpa dengan Nabi Muhammad.
sumber daripada utusan malaysia
Sunday, January 24, 2010
SUP HARUAN KOLAGEN UNTUK KESIHATAN

SEJAK turun-temurun, ikan haruan telah terkenal sebagai sumber makanan dengan pelbagai khasiat kesihatan yang tidak dapat disangkal lagi. Mempunyai nama saintifik Channa striatus, hidupan air tawar itu menjadi makanan yang sangat popular terutama dari kalangan penduduk Asia.
Antara khasiat kesihatannya adalah seperti mampu menyembuhkan luka, mengurangkan kesakitan selepas pembedahan serta baik untuk ibu bersalin.
Kandungan asid amino dan lemak daripada ikan itu pula baik untuk memulihkan parut luka dengan lebih cepat serta sesuai merawat gastrik.
Di samping itu, ia turut mengandungi vitamin A yang berupaya meningkatkan daya ingatan, penglihatan, menjadikan kulit lebih halus dan mengandungi bahan anti oksida bagi fungsi melambatkan proses penuaan.
Khasiat lainnya adalah seperti asid arasidonik untuk membantu pertumbuhan sel-sel baru serta kolagen bagi pengekalan kulit muda.
Di negara kita, sumber makanan itu kebiasaannya diperolehi dalam bentuk produk pati ikan haruan yang banyak terdapat di pasaran.
Namun, bagi sesetengah individu, mereka mungkin sukar untuk meminum pati tersebut kerana rasa dan baunya yang kurang digemari.
Justeru, bagi memastikan khasiat ikan itu dapat dinikmati dengan cara yang lebih mudah, ia kini dihasilkan dalam bentuk sup segera.
Dikenali sebagai Sup Haruan Kolagen, produk berkenaan telah dihasilkan oleh sebuah syarikat perusahaan industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan, Bio Haruantech (M) Sdn. Bhd.
Menurut Pengarah Urusannya, Mohammad Munir Lukman Hakim, idea menghasilkan sup tersebut timbul setelah mendapati pesakit-pesakit di hospital dan klinik sukar untuk memperolehi ikan haruan.
''Bermula daripada situ, saya mula mengumpul maklumat dan menjalankan kajian bagaimana penghasilan sup ikan haruan. Ia telah mengambil masa selama tiga tahun.
''Selain berkhasiat, sup ini juga mempunyai rasa yang sangat sedap dan sesuai dijadikan makanan harian,'' katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Memasuki pasaran pada tahun 2007, produk yang dipaketkan di dalam tin itu pada mulanya kurang mendapat sambutan.
Mencari kaedah penyelesaian, Mohammad Munir kemudiannya meneruskan kajian selama lebih kurang setahun lagi untuk memperbaiki mutu produk tersebut.
Akhirnya, beliau telah berjaya menghasilkan sup dalam bentuk serbuk dengan kandungan kolagen yang tinggi dan tidak berbau.
Bagi menjamin khasiat sup ini, ia diadun bersama rempah ratus asli yang baik untuk kesihatan seperti kulit kayu manis, lada hitam dan sebagainya.
Kandungannya juga semulajadi tanpa menggunakan bahan pengawet atau pewarna selain mempunyai lebih 50 peratus isi ikan.
Ini kerana, di dalam isi ikan tersebut terdapat sejenis bahan yang diberi nama Glycine iaitu sebahagian daripada komponen kolagen dalam sel kulit manusia.
Bahan ini akan bertindak mempercepatkan percantuman kulit yang terluka dan seterusnya membentuk sel baru.
Bercerita mengenai sumber ikan mentah, beliau memperolehinya daripada beberapa kolam ternakan yang diselia di bawah Jabatan Perikanan.
''Sebelum dijadikan ramuan dalam penyediaan sup, ikan-ikan ini akan menjalani ujian DNA dan ujian mikro terlebih dahulu bagi mengenalpasti nutriennya.
''Saya mendapat bimbingan daripada Jabatan Perikanan dan Universiti Kebangsaan Malaysia dalam proses menjalankan ujian ini,'' jelasnya.
Cara penyediaan sup itu amat mudah di mana pengguna hanya perlu melarutkan serbuknya di dalam 200 mililiter air dan ia boleh dimakan terus.
Ia dijual dengan harga RM16 sekotak di mana setiap kotak mengandungi tiga paket sup.
''Sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Setakat ini kilang kami di Rawang telah mengeluarkan sebanyak 20,000 hingga 30,000 kotak untuk memenuhi permintaan pasaran'' jelasnya.
Dari segi pasaran, beliau ketika ini sedang berusaha membawa masuk produknya untuk dijual di pasar raya besar.
Pada masa akan datang, beliau turut bercadang meneruskan kajian dalam penghasilan produk sup belut pula untuk khasiat kesihatan lelaki.
sumber daripada utusan malaysia
NAZRUL AZIM SHARUDDIN
nazrul.sharuddin@utusan.com.my
AZIZULHASNI JUARA KEIRIN PIALA DUNIA

KUALA LUMPUR – Hasrat tercapai. Impian jaguh basikal trek negara, Azizulhasni Awang menjuarai acara keirin pada saingan akhir Piala Dunia Klasik di Beijing, terlaksana, semalam.
Kemenangan itu sekali gus bermakna Azizulhasni bakal beraksi pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, Mac ini sebagai pemegang jersi putih, iaitu pendahulu keseluruhan acara keirin.
Pada perlumbaan akhir semalam, Azizulhasni yang mewakili pasukan Bike Technologies Australia, berjaya mengetepikan pelumba Australia, Jason Niblett di tempat kedua, manakala tempat ketiga diraih oleh pelumba pasukan Jayco, Daniel Ellis.
Bagaimanapun, hasrat untuk melihat dua lagi pelumba negara menaiki podium, tidak kesampaian apabila Josiah Ng, yang turut berjaya menyertai perlumbaan akhir semalam, sekadar menduduki tempat keenam.
Kejayaan semalam, bermakna, Azizulhasmi, yang terkenal dengan gelaran ‘The Pocketrocketman’ mengulangi pencapaian tahun lalu, apabila menewaskan Gregory Bauge dari Perancis pada perlumbaan akhir untuk meraih pingat emas.
Kemenangan di Beijing itu membolehkan, Azizulhasni, 22, memadamkan kekecewaannya pada dua perlumbaan Piala Dunia Klasik yang disertainya di Manchester, England dan Melbourne, Australia, apabila gagal menjuarai acara tersebut.
Berbanding musim lalu, dia memenangi dua siri Piala Dunia dalam acara keirin, iaitu di Melbourne (Siri Kedua) dan Beijing (Siri Keempat).
Kemenangan itu menyaksikan Azizulhasni menyarung jersi putih, selaku pendahulu pungutan mata keseluruhan acara keirin, apabila beraksi pada Kejohanan Trek Dunia di Pruskow, Poland tahun lepas.
Kedudukan keseluruhan selepas saingan akhir semalam, menyaksikan Azizulhasni menduduki tangga teratas dengan mengumpul 22 mata, walaupun pencabarnya, Levy Maximilian dari Jerman turut meraih mata yang sama, tetapi akur di tangga kedua kerana gagal mencatat sebarang kemenangan pada tiga aksinya di kejohanan tersebut.
Sebelum saingan terakhir Piala Dunia di Beijing, Azizulhasni mengumpul 10 mata untuk berada di kedudukan keenam, manakala pelumba dari Jerman itu mendahului di tempat pertama dengan 15 mata.
Josiah pula menduduki tangga keempat keseluruhan dengan mengutip 13 mata, dan akan menyertai Azizulhasni dalam acara pecut, hari ini.
Kejohanan Dunia tahun ini akan berlangsung di Copenhagen, Denmark pada 24 hingga 28 Mac depan.
Sementara itu pelumba tunggal wanita negara, Fatehah Mustapa yang beraksi dalam acara ujian masa 500 meter, sekadar menduduki tangga ke-15, dengan masa 36.142 saat.
Fatehah, yang mengambil bahagian dalam acara pecut individu kelayakan wanita kelmarin, sekadar menduduki tempat ke-22 dari 25 pelumba, dengan masa 12.174 saat, menyebabkan dia gagal ke pusingan suku akhir.
sumber daripada utusan malaysia
Oleh FERZALFIE
Saturday, January 23, 2010
FATEHAH GAGAL LEPASI PUSINGAN AWAL PIALA DUNIA KLASIK

KUALA LUMPUR - Aksi pembukaan pasukan lumba basikal trek negara dalam saingan siri Piala Dunia Klasik di Beijing semalam agak hambar selepas pelumba tunggal wanita, Fatehah Mustapa (gambar) dan pasukan pecut lelaki, gagal melayakkan diri ke peringkat akhir.
Fatehah yang mengambil bahagian dalam acara pecut individu kelayakan wanita, sekadar menduduki tempat ke-22 dari 25 pelumba, dengan catatan masa 12.174 saat, seterusnya gagal untuk mara ke pusingan suku akhir.
Pelumba kelahiran Terengganu itu sudah beraksi selama dua tahun dalam kejohanan tersebut, dan pemegang rekod kebangsaan acara tersebut dengan catatan 11.379s.
Namun, perjuangan Fatehah dalam kejohanan tersebut bukan hanya tersekat di situ sahaja, dia bakal turun beraksi hari ini dalam acara 500 meter ujian masa.
Sementara itu, pasukan pecut lelaki juga gagal menempatkan diri dalam saingan akhir apabila trio Edrus Yunos, Josiah Ng Onn Lam dan Hafiz Sufian mencatat masa 46.137s untuk menduduki tempat ke-14.
Bagaimanapun, hari yang suram ini dijangka bertukar ceria apabila pelumba trek harapan negara Azizulhasni Awang, bakal memulakan cabaran hari ini bagi acara keirin dalam usaha untuk mengulangi pencapaiannya tahun lepas (musim 2008-2009) apabila menewaskan Gregory Bauge dari Perancis pada pusingan akhir untuk meraih pingat emas.
Walaupun dia akan turun sebagai wakil dari pasukan Bike Technologies dari Australia, kejayaan memang diharapkan dari atlet ini yang dijangka akan menamatkan zaman bujang dengan gadis pilihannya, Athiah Ilyana Abdul Samat, hujung bulan ini.
Pelumba berusia 22 tahun itu, gagal berbuat demikian pada dua siri Piala Dunia Klasik yang disertainya sebelum ini, iaitu di Manchester, England dan Melbourne, Australia.
Azizulhasni kini mengumpul 10 mata untuk berada di kedudukan keenam, manakala pelumba dari Jerman, Maximilian Levy mendahului di tempat pertama dengan 15 mata di dalam acara keirin.
Musim 2009-2010 Piala Dunia Klasik ini Azizulhasni pernah memenangi pingat perak dalam acara keirin, ketika siri kedua di Melbourne, Australia, pada November tahun lepas.
Aksinya sangat cemerlang pada musim 2008- 2009, selepas memenangi dua siri Piala Dunia di dalam acara keirin iaitu Melbourne (siri kedua) dan Beijing (keempat), yang menyaksikannya menyarung jersi putih selaku pendahulu pungutan mata keseluruhan apabila beraksi pada Kejohanan Trek Dunia di Pruskow, Poland tahun lepas.
sumber daripada utusan malaysia
INDIA KINI BERJAGA-JAGA

SEORANG kakitangan syarikat penerbangan berbual menggunakan telefon di hadapan pos kawalan keselamatan India di hadapan lapangan terbang di New Delhi, semalam. - AP
NEW DELHI 22 Jan. - Lapangan-lapangan terbang di India diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga selepas perkhidmatan perisikan menerima maklumat mengenai rancangan militan al-Qaeda untuk merampas sebuah pesawat.
Sekiranya berlaku, ia merupakan serangan keganasan besar pertama di India selepas 10 orang militan mencetuskan huru-hara selama tiga hari di Mumbai pada November 2008, menyebabkan 166 orang terbunuh.
Jurucakap penerbangan, Moushumi Chakravarty berkata, lapangan terbang diarah meningkatkan kawalan semalam selepas kerajaan menerima amaran dari agensi perisikan.
Laporan akhbar The Indian Express yang disahkan oleh Chakravarty, menyatakan pegawai perisikan telah membongkar rancangan militan yang mempunyai hubungan dengan al-Qaeda dan kumpulan Lashkar- e-Taiba (LeT) di Pakistan untuk merampas sebuah penerbangan Air India atau Indian Airlines yang menuju ke sebuah negara jiran di Asia Selatan.
Pegawai tinggi di Kementerian Dalam Negeri, U.K. Bansal berkata, kawalan keselamatan diperketat di semua lapangan terbang dan penumpang perlu melalui pemeriksaan lebih ketat.
The Indian Express melaporkan, marsyal udara juga turut diarahkan di setiap penerbangan di negara ini.
Media India melaporkan, ancaman rampasan pesawat itu dibongkar semasa soal siasat terhadap Amjad Khwaja, ketua militan dari Harkat-ul-Jihad-al-Islami, kumpulan ekstrem yang kerap melancarkan serangan keganasan di India.
Amjad ditahan di Chennai, selatan India minggu lalu dan disoal siasat polis India.
Amaran dikeluarkan beberapa hari selepas Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Robert Gates memberi amaran sindiket kumpulan pengganas berkaitan al-Qaeda cuba mencetuskan perang baru antara India dan Pakistan.
Kedua-dua negara berjiran namun bermusuh dan mempunyai senjata nuklear itu telah berperang sebanyak tiga kali dan usaha untuk menyelesaikan pertikaian antara India dan Pakistan berhubung wilayah Kashmir buntu apabila LeT menyerang Mumbai pada 2008. - AP
sumber daripada utusan malaysia
BEKAS GRADUAN KINI TAUKE TEMPE

Noraini Ahmad (kanan) meninjau perusahaan tempe keluaran Perniagaan D'Sinar sambil diiringi Norhedayah Mesiran di kilangnya di Batu Pahat,baru-baru ini.
TEMPE merupakan makanan tradisi masyarakat Jawa. Setiap kali majlis keraian atau kenduri, pasti tempe tidak ketinggalan dijadikan sebagai salah satu hidangan wajib yang dihidangkan bersama pelbagai juadah lain.
Tempe juga begitu sinonim dengan masyarakat Johor terutama apabila tibanya musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri. Ia merupakan salah satu ramuan untuk memasak juadah hari raya yang dipanggil sayur lodeh di samping menu lain termasuk rendang serta ketupat.
Permintaan terhadap tempe pastinya akan meningkat setiap kali tiba musim perayaan. Tanpa tempe juadah yang terhidang bagaikan tidak lengkap justeru di negeri Johor khususnya di Batu Pahat, menyebabkan pengusaha tempe sering tidak menang tangan.
Kini, zaman telah berubah. Namun tempe tetap menjadi pilihan. Selain menjadi makanan tradisi masyarakat Jawa, tempe kini telah mula dikomersialkan sebagai kerepek tempe yang mudah dan senang didapati meskipun bukan pada musim perayaan.
Menyedari tempe berpotensi besar untuk dikembangkan Norhedayah Mesiran, 34, mengambil inisiatif untuk mengembangkan lagi perusahaan tempe warisan keluarga turun temurun yang dahulunya diusahakan oleh ibunya Mariam Sarkam dan ayahnya Mesiran Rosman.
Sebagai seorang graduan dalam bisnes dari salah sebuah universiti swasta, Norhedayah melihat jauh ke hadapan terhadap potensi produk berasaskan tempe ini. Dengan bantuan seluruh ahli keluarga mereka kini telah selangkah ke hadapan bagi meningkatkan lagi mutu produk.
Bersama adiknya Riduan Mesiran, 29, yang bertindak sebagai Pengurus Operasi mereka telah menubuhkan syarikat Perniagaan D'Sinar yang bertindak sebagai pengeluar dan pengedar kerepek tempe pelbagai perisa.
Jika dahulu ibunya mengusahakan kerepek tempe dengan berbekalkan kudrat empat kerat tanpa bantuan mesin canggih, kini mereka tidak lagi menggunakan ramai pekerja terutama untuk menggoreng tetapi mereka telah mempunyai mesin menggoreng dengan teknologi terkini.
Menurut Nurhedayah, dahulu ibunya hanya membuat tempe biasa yang dibungkus menggunakan daun. Ia sering digunakan dalam pelbagai masakan sejak turun temurun lagi yang merupakan warisan keluarga mereka serta dijual hanya sekitar tempat tinggalnya sahaja.
Bagaiamanapun, sejak lima tahun lalu beliau mula membantu ibunya menguruskan pelbagai hal bagi menjadikan tempe sebagai kerepek dengan pelbagai perisa iaitu ketumbar, kari, lada hitam dan lada serta berusaha untuk dipasarkan lebih jauh.
''Walaupun perusahaan ini sudah lama diusahakan tetapi masih belum dikomersialkan secara besar- besaran. Hanya setelah saya mengambil alih tugas daripada ibu saya barulah saya cuba membuka ruang untuk meluaskan pasaran," jelasnya.
Bermula dengan RM500 sebagai modal pusingan, beliau kini memiliki modal pusingan mencecah RM30,000 sebulan. Bermula dari situ mereka mengembangkan perusahaan tempe dengan menghasilkan kerepek tempe pelbagai perisa.
Paling menarik, kerepek tempe syarikat mereka lengkap dengan sambal kicap tradisi masyarakat Johor manakala perisa tempe pedas ia dicampur kacang tanah dan ikan bilis goreng.
Dahulu, mereka terpaksa menggunakan tenaga pekerja yang ramai untuk melakukan pelbagai kerja seperti memotong dan menggoreng. Kini mereka telah mempunyai dua mesin pemecah kacang soya, satu mesin pemotong, satu mesin untuk mencampurkan adunan (mixer), satu mesin pengisar kering dan satu kuali keluli tahan karat.
Menurut Norhedayah, dia telah mengikuti kursus teknologi makanan di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Johor Bahru untuk menimba ilmu dan meminta khidmat nasihat dalam perusahaan tempe. Ia tidak sia- sia apabila semakin hari perusahaan tempe warisan keluarga ini semakin berkembang.
Ketika memulakan perniagaan ini dahulu mereka hanya mengusahakannya di rumah sahaja dan dibantu oleh dua orang pembantu serta menggunakan tenaga kerja manusia tanpa mesin. Tetapi kini mereka mempunyai bangunan sendiri yang bernilai kira-kira RM40,000.
''Kenangan yang paling menarik ketika mula mengusahakan kerepek tempe ini ialah kami memecahkan kacang soya yang telah siap direbus untuk dibuat tempe menggunakan mesin memproses getah keping dan memotong tempe dengan menggunakan mesin khas," jelasnya.
Meskipun pada awal pembabitannya dia agak gementar, kini dia mampu tersenyum bangga kerana segala usahanya mula membuahkan hasil dan dilengkapi dengan anggota keluarga yang sentiasa memberi sokongan.
Menurut Norhedayah, dia berharap dapat menepis persepsi masyarakat terhadap tempe yang dikaitkan hanya untuk masyarakat Jawa.
Justeru, dia bercita-cita mengetengahkan makanan yang berasaskan soya ini supaya menjadi lebih komersial dan dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat.
Memandangkan tempe biasa yang bersaiz kecil, dia dan kedua orang tuanya mula membuat kajian sendiri bagaimana untuk menghasilkan tempe dalam bentuk bulat agar senang dipotong dan cantik bila digoreng.
Nurhedayah serta kedua-dua orang tuanya berjaya menemui satu teknik menghasilkan tempe berbentuk bulat iaitu seperti bentuk lemang dan ternyata idea mereka berjaya.
Alat pencetak bulat yang dibuat oleh mereka sekeluarga mampu menjadikan kerepek tempe itu nampak lebih komersial.
''Dengan kerepek tempe tiga perisa ini produk tempe warisan ini berjaya dikembangkan hingga memasuki pasaran Singapura, Brunei dan juga Iran," jelasnya.
Bagaimanapun katanya, jumlah permintaan yang semakin tinggi memungkinkan beliau mengambil lebih ramai pekerja kerana pekerja yang ada sekarang tidak mencukupi untuk membuat tempahan yang lebih tinggi.
Setiap paket kerepek berisi setengah kilogram kerepek tempe dijual sekitar RM6. Kerepek itu akan dihantar kepada tujuh pemborong tetap di seluruh negeri Johor juga kepada sebuah koperasi di sekitar daerah ini secara tetap.
Tambahnya, kerepek-kerepek berkenaan boleh tahan lebih tiga bulan. Selama ini mereka tidak pernah mendapat maklum balas negatif daripada mana-mana pihak tentang produk keluarannya.
Nurhedayah yang mengusahakan perusahaan tempe ini bersama keluarganya di No. 148 Kampung Sungai Nibong Darat, Semerah, Batu Pahat berharap agar satu hari nanti kerepek tempe keluaran syarikatnya mampu dinikmati oleh semua masyarakat di dalam dan luar negara.
Untuk itu beliau bercita-cita untuk menambah baik lagi teknologi pembuatan agar ia dapat menambah lagi pengeluaran produk. Di samping itu berusaha untuk membuat pembungkusan yang terbaik serta pelabelan dan penjenamaan agar lebih menarik untuk pasaran global.
Selain kerepek tempe, beliau juga mengusahakan kerepek pisang, keledek, keladi yang mana bahan mentah tidak menjadi masalah kerana ia mudah didapati di sekitar kawasan kampungnya dan secara tidak langsung dapat membantu penduduk kampung menjual hasil pertanian mereka
Kegigihan dan kesungguhan Nurhedayah serta ahli keluarga lainnya mengetengahkan produk berasaskan kayang soya dengan menghasilkan kerepek tempe pelbagai perisa telah menarik minat Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad untuk meninjau perusahaan yang mereka jalankan baru-baru ini.
Kegigihan dan kesungguhan Nurhedayah serta ahli keluarga lainnya mengetengahkan produk berasaskan kayang soya dengan menghasilkan kerepek tempe pelbagai perisa telah menarik minat Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad untuk meninjau perusahaan yang mereka jalankan baru-baru ini.
Dalam lawatan itu Noraini berasa kagum dengan idea anak-beranak ini menghasilkan tempe berbentuk bulat yang mana ia adalah teknologi yang mereka cipta sendiri dan belum pernah terfikir oleh orang lain
''Jika sebelum ini saya hanya lihat tempe dibungkus dengan daun dan surat khabar lama. Tetapi kini saya lihat tempe dibuat dalam bentuk bulat seperti lemang yang pertama kali saya lihat, memang menarik dan sesuai untuk dibuat kerepek secara komersial," jelasnya.
Tambah Noraini, perusahaan tempe warisan keluarga ini merupakan salah satu produk yang mampu menaikkan nama Parlimen Parit Sulong khususnya dan negeri Johor amnya dalam Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS) yang merupakan satu kelainan.
Melihat kelainan dan cita-cita keluarga ini untuk memasarkan produk mereka ke seluruh negara dan luar negara, beliau yakin produk ini boleh pergi jauh kerana ia menepati ciri-ciri kebersihan dan amalan pengilangan yang baik.
''Saya yakin produk ini mampu di eksport ke luar negara kerana ia lain dari yang lain dan pihak pengusaha harus cuba untuk membuat pelabelan dan penjenamaan yang sesuai untuk pasaran antarabangsa," jelasnya.
Tambahnya, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Parit Sulong sedia memberi khidmat nasihat dan bantuan yang sewajarnya bagi membantu Perniagaan D'Sinar mengetengahkan kerepek tempe pelbagai perisa untuk meningkatkan pasaran mereka.
sumber daripada utusan malaysia
SULTAN JOHOR MANGKAT

Jenazah Almarhum Sultan Iskandar dibawa masuk ke kenderaan di Hospital Pakar Puteri untuk dibawa ke Istana Besar, Johor Bahru, sambil diperhatikan oleh kaum kerabat dan petugas istana, malam tadi. – utusan/Raja Jaafar Raja Ali
JOHOR BAHRU 22 Jan. – Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, mangkat malam ini selepas memerintah Johor hampir tiga dekad.
Baginda berusia 77 tahun.
Almarhum mangkat pada pukul 7.15 malam di Hospital Pakar Puteri di sini selepas dimasukkan ke hospital itu semalam kerana gering.
Kemangkatan baginda diumumkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman di sini pada pukul 11.20 malam.
Baginda meninggalkan Sultanah Zanariah serta 10 orang putera dan puteri.
Sultan Iskandar, yang diputerakan di Istana Semayam, Johor Bahru pada 8 April 1932, dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 11 Mei 1981.
Tiga tahun kemudian pada 15 November 1984 baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan.
Petang ini, putera sulung baginda, Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail dimasyhurkan Pemangku Raja dan istiadat mengangkat sumpah diadakan di Istana Besar Johor.
Berita mengenai kegeringan Sultan Iskandar diumumkan oleh Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Tunku Osman Tunku Temenggong Ahmad pada pukul 5 petang.
Almarhum merupakan putera ketiga Almarhum Sultan Ismail ibni Sultan Ibrahim dan cicinda kepada Bapa Johor Moden, Almarhum Sultan Abu Bakar.
Sultan Iskandar, yang merupakan Sultan Johor keempat dalam sejarah Johor moden, menerima pendidikan awal di Johor Bahru, sebelum melanjutkan pelajaran ke Australia dan United Kingdom.
Baginda yang merupakan Kolonel Yang Dipertua, Rejimen Perkhidmatan Khas Malaysia (Komando), sering kelihatan memakai uniform tentera pada upacara rasmi kerana minatnya dalam bidang ketenteraan.
sumber daripada utusan malaysia
Subscribe to:
Posts (Atom)