Saturday, November 14, 2009

MEMUDAHKAN PROSES BERSALIN

kesakitan semasa proses kelahiran terubat apabila bayi selamat dilahirkan. - Gambar hiasan


Kesakitan dan keletihan adalah satu fenomena biasa yang dialami oleh setiap bakal-bakal ibu dalam proses melahirkan bayi ke dunia ini.

Walaupun itu dikatakan nikmat sebenarnya bersalin, namun ada sesetengah wanita yang tidak dapat menahan kesakitan atau menghadapi masalah semasa proses bersalin lalu memilih untuk menggunakan teknologi yang boleh mengurangkan dan melegakan azab yang dihadapi.

Seiring dengan perkembangan zaman dan kemajuan dalam dunia perubatan, ada bakal ibu memilih untuk bersalin secara pembedahan atau menikmati kecanggihan ubat-ubatan dengan fungsi untuk mengurangkan sakit bersalin.

Sebab itu bakal ibu zaman ini sudah terlalu biasa dengan istilah-istilah seperti caesarean, induce, epidural, vasektomy, etonox,episiotomi, opiate, bersalin di dalam air dan pelbagai lagi teknik rawatan bagi membantu memudahkan proses bersalin.

Sebelum menentukan pilihan kaedah melegakan kesakitan ketika bersalin bakal ibu perlu berbincang dengan doktor untuk mengenalpasti yang mana paling sesuai untuk dirinya.

Ini kerana, setiap kaedah mempunyai kebaikan dan keburukan dan harus mempertimbangkan semuanya serta membuat keputusan sendiri kerana segalanya akan memberi kesan kepada diri bakal ibu juga nanti.

Antara kaedah memudahkan proses bersalin:

Suntikan opiate
Sejenis suntikan ubat pelali yang diberikan pada otot di kawasan punggung.


Penyedutan entonox
Campuran oksigen dan nitrus oksida yang disedut dengan menggunakan topeng muka ketika kontraksi.


Suntikan epidural
Jarum yang berongga dicucuk antara dua ruas tulang belakang ke dalam ruang epidural dan satu tiub plastik dimasukkan melalui jarum tersebut. Ubat bius dimasukkan melalui tiub itu sepanjang masa bersalin.


Episiotomi
Apabila kepala bayi telah kelihatan, ada risiko perineum (kawasan antara vulva dan rektum) akan koyak. Jika doktor merasa risiko berlakunya koyakan agak tinggi, episiotomi mungkin diperlukan. Ini merupakan potongan yang dibuat pada perineum, setelah diberi bius setempat, untuk mengelakkan kerosakan teruk akibat koyakan yang tidak terkawal.


Doktor akan membaiki kawasan tersebut dengan beberapa jahitan selepas kelahiran bayi anda, tanpa mengira sama ada ia terjadi akibat terkoyak ataupun episiotomi. Lazimnya dengan kelahiran kedua dan seterusnya, episiotomi sudah tidak diperlukan lagi.

Pembedahan caesarean
Doktor mungkin menasihatkan anda untuk menjalani pembedahan caesarean dalam keadaan-keadaan tertentu, sama ada secara pilihan atau kecemasan semasa dalam bilik bersalin kerana sebab berikut:


l bayi berkedudukan songsang
l proses bersalin yang terlalu lama tanpa sebarang kemajuan
l kadar degupan jantung bayi semakin menurun ketika bersalin
l saluran kelahiran terlalu sempit

l masalah kesihatan ibu, seperti tekanan darah tinggi


sumber daripada utusan malaysia

ISRAEL USIR PENDUDUK PALESTIN


Berlanty Azzam menceritakan pengalamannya digari tangan dan ditutup matanya sebelum dia dibawa dengan jip askar oleh tentera Israel dari Tebing Barat ke Genting Gaza pada waktu tengah malam. - AP

BAITUL MAQDIS 13 Nov. - Seorang pelajar wanita Palestin yang mendakwa tangannya digari, matanya ditutup dan dibawa ke Genting Gaza oleh tentera Israel pada waktu tengah malam pada akhir bulan lalu, meminta Mahkamah Agung Israel membenarkan dia kembali ke Tebing Barat untuk meneruskan pengajiannya

Insiden itu mendedahkan kebimbangan yang serius di kalangan beribu-ribu rakyat Palestin yang berasal dari Gaza yang kini tinggal di Tebing Barat yang menghadapi ''tindakan pengusiran mengejut'' oleh tentera Israel.

Ketika ditahan oleh tentera Israel di pusat pemeriksaan di Tebing Barat, Berlanty Azzam, 21, hanya tinggal dua bulan untuk menamatkan pengajian ijazah dalam bidang perniagaan di Universiti Bethlehem.

Setelah melihat kad pengenalan Berlanty dikeluarkan di Gaza, tentara Israel menahannya dan menyumbat beliau ke bahagian belakang belakang jip tentera.

Apabila tentera Israel melepaskannya keluar dari jip itu pada waktu tengah malam, Berlanty terkejut mendapati dia berada di sempadan antara Gaza dan Israel.

"Saya benar-benar terkejut dan saya tidak tahu nak kata apa. Saya cuba tanya pihak tentera apakah alasan mereka berbuat demikian dan mereka menjawab, 'tidak, awak sudah sampai di Gaza dan awak mesti keluar." kata Berlanty mengingati peristiwa tersebut.

Yadin Elam, peguam kumpulan Hak Asasi Manusia Gisha Israel yang mewakili Berlanty berkata, insiden tersebut dilakukan tentera Israel setiap hari sebagai usaha untuk menyingkirkan ''secara paksa'' rakyat Palestin dari Tebing Barat ke Gaza.

Elam menganggarkan pada masa ini lebih 25,000 rakyat Palestin yang tinggal di Tebing Barat berada dalam bahaya untuk diusir ke Gaza kerana kad pengenalan mereka mempunyai alamat di Gaza.

Kumpulan Hak Asasi Manusia dan ahli-ahli fakulti universiti semalam telah meminta Mahkamah Agung agar membenarkan Berlanty kembali ke Tebing Barat.

Elam semasa perbicaraan berhujah, Israel telah mencabul undang-undang Hak Asasi Manusia dengan menafikan hak Berlanty untuk mendapatkan peguam sebelum dia diusir.

Mahkamah Agung Israel pada 2007 memutuskan bahawa pelajar-pelajar dari Gaza perlu mendapatkan permit jika mereka mahu belajar di Tebing Barat.

Elam berkata, ketika Berlanty mendaftar di Universiti Bethlehem pada 2005, peraturan penggunaan permit belum dilaksanakan. Ketika itu dia memiliki permit empat hari untuk memasuki Israel, jadi dia boleh memasuki Tebing Barat semula.

"Bagaimana mereka boleh mengusirnya (Berlanty) kerana tidak memiliki permit sedangkan peraturan itu belum lagi dilaksanakan?," soal Elam.

Tentera Israel mendakwa Berlanty tinggal di Tebing Barat secara haram dan dia perlu kembali semula ke Gaza.

Mahkamah semalam mengarahkan kes itu dirujuk di mahkamah tentera untuk pembicaraan pada minggu depan.

"Apa yang penting dan menjadi keutamaan saya sekarang ialah untuk kembali meneruskan pengajian.

"Pengajian saya sudah hampir tamat, saya hanya mahu kembali ke Bethlehem untuk menamatkan pengajian," katanya. - AP

sumber daripada utusan malaysia

AMERIKA RAMPAS EMPAT MASJID


Bangunan yang didakwa menempatkan Yayasan Alavi yang kini kosong di Carmichael, California. Pendakwa Raya Persekutuan AS sedang mengambil langkah untuk merampas bangunan tersebut serta empat masjid dan sebuah menara 36 tingkat di New York yang dimiliki oleh yayasan tersebut yang disyaki menyalur wang secara haram kepada kerajaan Iran. - AFP

NEW YORK 13 Nov. - Pendakwa raya Persekutuan Amerika Syarikat (AS) sedang mengambil langkah untuk merampas empat buah masjid dan sebuah bangunan pencakar langit setinggi 36 tingkat di bandar raya ini daripada sebuah pertubuhan Islam, yang disyaki berada di bawah kawalan kerajaan Iran.

Yayasan Alavi telah menyalurkan dana secara haram kepada kerajaan Iran, menurut seorang pegawai di pejabat Peguam Negara AS bagi Daerah Selatan New York, Preet Bharara, semalam.

Bharara memfailkan aduan sivil kepada sebuah Mahkamah Persekutuan di sini untuk merampas akaun-akaun bank serta sebuah syarikat milik Yayasan Alavi, selain menara 36 tingkat tersebut, hartanah di Virginia dan pusat-pusat Islam yang menempatkan masjid di bandar raya New York dan negeri-negeri Maryland, Texas dan California.

Rampasan itu melibatkan sejumlah lapan hartanah dan sembilan akaun bank
Dalam aduan setebal 97 muka surat itu, pendakwa raya menuduh para pegawai tinggi Iran termasuk bekas Perdana Menteri, Tahmasb Mazaheri dan duta-dutanya ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terlibat dalam urus niaga yayasan tersebut.

"Yayasan Alavi sebenarnya bertindak bagi pihak kerajaan Iran," menurut kenyataan Bharara.
Tindakan itu dijangka memburukkan lagi hubungan antara Washington dengan Teheran, yang dituduh membiayai kumpulan pengganas dan merancang membina bom nuklear dengan berselindung di sebalik program nuklear untuk kegunaan awam.

Presiden Barack Obama semalam melanjutkan sekatan ekonomi ke atas Iran setahun lagi, dengan memberitahu Kongres 'hubungan kita dengan Iran belum pulih seperti biasa'.

Langkah untuk menyita tempat-tempat ibadat Syiah itu adalah sangat luar biasa bagi penguatkuasa undang-undang AS disebabkan kebebasan beragama yang termaktub dalam Perlembagaan AS.

Ia juga diambil ketika umat Islam di negara ini masih bimbang mereka akan menjadi sasaran serangan berikutan kejadian tembakan di pangkalan tentera Fort Hood, Texas pada minggu lepas, didakwa dilakukan oleh seorang pakar psikiatri tentera yang beragama Islam. - AFP

sumber daripada utusan malaysia

Friday, November 13, 2009

KHASIAT SURAH AL-KAUTHAR

Surah ini paling pendek, hanya mengandungi 3 ayat & diturunkan di Makkah dan bermaksud sungai di syurga. Kolam sungai ini diperbuat daripada batu permata nan indah dan cantik.

Rasanya lebih manis daripada madu, warnanya pula lebih putih daripada susu dan lebih wangi daripada kasturi.

Surah ini disifatkan sebagai surah penghibur hati Nabi Muhammad s.a.w. kerana diturunkan ketika baginda bersedih atas kematian 2 orang yang dikasihi iaitu anak lelakinya Ibrahim danbapa saudaranya Abu Talib.

Pelbagai khasiat terkandung di dalam surah ini dan boleh kita amalkan:-

1) Baca surah ini ketika hujan dan berdoa, mudah-mudahan Allah s.w.t. makbulkan doa kita.
2) Jika kita kehausan dan tiada air, bacalah surah ini dan gosok di leher, Insya'allah hilang dahaga.
3) Jika sering sakit mata, seperti berair, gatal, bengkak, sapukan air mawar yang sudah dibacakan surah ini sebanyak 10x pada mata.
4) Jika rumah dipercayai terkena sihir, baca surah ini 10x, mudah-mudahan Allah s.w.t. bagi ilham pada kita dimana letaknya sihir itu.
5) Jika membacanya 1,000x rezeki kita akan bertambah.
6) Jika rajin membacanya, hati kita akan menjadi lembut dan khusyuk ketika menunaikan solat.
7) Jika orang teraniaya dan terpenjara membacanya sebanyak 71x, Allah s.w.t. akan memberikan bantuan kepadanya kerana dia tidak bersalah tetapi dizalimi.

BONGKAH AIS GERGASI HANYUT DEKAT AUSTRALIA

Gambar yang diambil pada 6 November 6, 2009 dan dikeluarkan semalam oleh bahagian antartika Australia merakamkan satu bongkah ais gergasi berukuran kira-kira 50 meter tinggi dan 500 meter panjang ditemui hanyut dekat pulau Macquarie, Australia. - AFP

SYDNEY 12 Nov. - Sebuah bongkah ais besar dikesan dekat sebuah pulau di kedudukan antara Antartika dan Australia, satu pemandangan yang jarang-jarang dilihat di perairan utara Australia.

Sekumpulan penyelidik daripada Bahagian Antartika Australia yang bertugas di Pulau Macquarie kira-kira 1,500 kilometer di tenggara Tasmania pada awalnya melihat bongkah ais itu kira-kira lapan kilometer dari barat laut pantai di pulau itu.

Bongkah ais itu yang dianggarkan berukuran 50 meter tinggi dan 500 meter panjang berkemungkinan adalah sebahagian daripada beberapa bongkah ais besar yang pecah di Rose Ice Shelf di Antartika antara 2000 dan 2002, menurut glasiologis Bahagian Antartika Australia, Neal Young.

Katanya, beberapa buah bongkah ais telah perlahan-lahan hanyut dari arah utara menuju ke pulau itu sejak beberapa tahun lepas, tetapi ia dikatakan sesuatu yang luar biasa untuk ia bergerak jauh menghala ke perairan utara yang lebih panas.

Para saintis itu percaya bahawa bongkah ais itu akan pecah dan mencair dengan cepat semasa ia meneruskan 'perjalanannya' ke arah perairan utara.

"Bagaimanapun, sebelum ia mencair, ia mungkin boleh mengundang bahaya kepada kapal-kapal yang melalui kawasan perairan itu," katanya. - AP

sumber daripada utusan malaysia

UNIMAS CIPTA MESIN PETIK LADA HITAM

Mohammad Shahril Osman menunjukkan cara memandu mesin memetik lada hitam semasa pameran Pecipta di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tanaman lada hitam biasanya ditanam di kawasan lereng bukit menyukarkan tugas-tugas memetik buahnya.

Biasanya pekerja perlu menggunakan tangga yang diangkut setiap kali memetik lada hitam di pokok yang berbentuk kon dan ditanam kawasan bukit yang tinggi.

Tinggi pokok di antara empat hingga enam meter dan lebat dengan daun merumitkan lagi tugasan memetik.

Justeru Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dengan kerjasama Lembaga Lada Malaysia (MPB) menjalankan kajian menghasilkan prototaip mesin memetik lada hitam.

Pensyarah Kanan, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Fakulti Kejuruteraan, Unimas, Mohammad Shahril Osman berkata, kajian bermula apabila melihat majoriti pekerja ladang lada hitam terdiri daripada warga emas dan pekerja asing.

"Dengan adanya mesin memetik lada hitam, kami berharap tugasan memetik lebih mudah dan menarik lebih ramai generasi muda bergiat dalam pertanian," katanya semasa ditemui di pameran Pecipta di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kajian yang dijalankan memberikan tumpuan kepada menghasilkan mekanisme yang boleh memetik lada hitam dengan lebih mudah dan mesra pengguna.

Mohammad Shahril berkata, projek berkenaan adalah untuk mencipta dan membina serta membangunkan fabrikasi prototaip mesin memetik buah lada hitam.

"Pada mesin menuai berkenaan kami membina casis bagi meletakkan peralatan mekanikal kenderaan seperti tayar, badan, motor elektrik dan lengan menuai.

"Lengan menuai yang mempunyai gunting di hujungnya dan boleh ditanggalkan terletak di bahagian belakang mesin memetik," jelas beliau.

Protaip mesin memetik, jelas Mohammad Shahril boleh digunakan di kawasan rata dan sedikit berbukit.

Buat masa ini Unimas menggunakan tenaga elektrik bagi menjalankan mesin berkenaan bagi mengurangkan pencemaran.

Mesin berkenaan bukan saja hanya memetik lada hitam tetapi juga sebagai mesin rumput serta menyembur racun perosak.

Selepas ujian prototaip di kawasan ladang lada hitam, Unimas akan meningkatkan lagi prototaipnya dengan beberapa ciri lain.

Mohammad Shahril berkata, buat masa ini mesin memetik lada hitam akan digunakan di ladang MPB sebelum dikomersialkan.

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN
sumber daripada utusan malaysia

GURU ROGOL, LIWAT 5 MURID DITAHAN

Oleh SOPI SAMAILE
pengarang@utusan.com.my

KUCHING 12 Nov. – Perbuatan kejam seorang guru lelaki yang dipercayai merogol serta meliwat lima orang muridnya sejak tiga tahun lalu berakhir apabila dia ditahan polis, kelmarin.

Guru berusia 27 tahun itu diberkas setelah polis menerima laporan yang dibuat oleh pihak sekolah tempat dia mengajar di Lubok Antu.

Perlakuan jenayah guru itu dipercayai bermula sejak tahun 2006 apabila dia dikatakan merogol dan meliwat lima murid perempuan berusia antara tujuh hingga 10 tahun.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, Deputi Supritendan Mat Jusoh Muhammad berkata, polis menahan suspek di rumahnya berdasarkan laporan yang dibuat oleh pihak sekolah.

“Kesemua mangsa dipercayai telah dirogol serta diliwat oleh suspek secara berasingan sejak 2006.

“Suspek yang juga penduduk tempatan kini ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mat Jusoh memberitahu, kesemua mangsa telah dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Katanya, pada masa ini, pihaknya sedang melakukan siasatan sebelum mengemukakan laporan kes itu kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk pendakwaan.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut berhubung kes itu kerana siasatan masih dijalankan.

sumber daripada utusan malaysia